Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jambatan hidupan liar, pejalan kaki Taman Alam Semula Jadi Bukit Batok siap jelang 2026

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sebatang jambatan untuk hidupan liar dan pejalan kaki akan dibina di Upper Bukit Timah Road menjelang tahun 2026.

Ia akan menghubungkan Taman Alam Semula Jadi Bukit Batok dengan Hutan Simpanan Bukit Timah melalui laluan kembara Koridor Kereta Api.

Jambatan pejalan kaki eko itu bertujuan menambah baik habitat hidupan liar dengan menghubungkan dua ruang hijau. Antara lain, ia juga demi mengurangkan risiko haiwan dilanggar kenderaan apabila ia melintasi jalan raya Upper Bukit Timah yang sibuk.

Pengumuman projek itu dibuat oleh Lembaga Taman Negara (NParks) pada Sabtu (27 Mei) menyusuli kejayaan jambatan Eco-Link@BKE, khusus buat hidupan liar, yang dibina pada 2013.

NParks menyatakan sehingga kini, sekitar 100 spesies hidupan liar dirakamkan melintasi jambatan berkenaan. Lawatan berpandu ke sana juga dianjurkan sekali-sekala untuk para pengunjung.

Perancangan bagi jambatan baru tersebut masih dilakarkan. Maka itu, tempat sebenar di mana jambatan itu akan dibina belum dapat ditentukan buat masa ini.

Menurut satu kajian yang dikenali sebagai latihan profil ekologi, yang selesai dijalankan pada 2022, NParks telah mengenal pasti koridor ekologi tersebut untuk haiwan melintasi antara ruang hijau yang merentasi kawasan Hutan Simpanan Bukit Timah hingga ke Kawasan Tadahan Air Barat.

NParks menarik perhatian bahawa jambatan tersebut bertujuan memudahkan pergerakan yang selamat bagi spesies hidupan liar antara ruang-ruang hijau itu. Ini sekali gus membolehkan ia untuk berkembang maju dengan memperluaskan habitat dan kumpulan genetiknya serta meningkatkan daya tahan jangka panjangnya.

'KETERHUBUNGAN YANG LANCAR'

Menekankan keperluan jambatan tersebut, NParks menyatakan bahawa haiwan yang diperhatikan merentasi Upper Bukit Timah Road, yang terletak di antara Hutan Simpanan Bukit Timah dengan Taman Alam Semula Jadi Bukit Batok, menyebabkan berlakunya kemalangan kenderaan.

"Jambatan baru tersebut direka bagi penggunaan kedua-dua pejalan kaki serta hidupan liar dan akan menyediakan orang awam dengan keterhubungan yang lancar antara dua ruang hijau itu," jelas NParks.

Hutan Simpanan Bukit Timah dan Taman Alam Semula Jadi Bukit Batok adalah kawasan biodiversiti teras yang menjadi rumah kepada lebih 1,250 spesies tumbuhan dan lebih 1,800 spesies hidupan liar, tambah agensi tersebut.

Jambatan pejalan kaki eko itu akan melengkapi langkah-langkah sedia ada yang dilaksanakan bagi membantu hidupan liar bergerak antara Taman Alam Semula Jadi Thomson, Old Upper Thomson Road dan Koridor Alam Semula Jadi Bukit Batok.
 
Sumber : Today/AY/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan