Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jambatan di Baltimore runtuh: 5 lagi kejadian jambatan tumbang dilanggar kapal

Kejadian di mana kapal berlanggar dengan objek yang tidak bergerak jarang berlaku, namun insiden serupa pernah berlaku beberapa kali sebelum ini. 

Anggaran Waktu Membaca:
Jambatan di Baltimore runtuh: 5 lagi kejadian jambatan tumbang dilanggar kapal

Sebuah kapal kargo merempuh Jambatan Francis Scott Key pada 26 Mac 2024 di Baltimore, Maryland menyebabkannya runtuh. (Gambar: AFP)

SINGAPURA: Kamera CCTV merakamkan detik-detik Jambatan Francis Scott Key di Baltimore, Maryland,  Amerika Syarikat runtuh selepas kapal kontena Dali yang berdaftar di Singapura melanggar struktur sokongan jambatan itu.

Dalam beberapa saat sahaja, perlanggaran itu menyebabkan jambatan tersebut tumbang dan kenderaan terjunam ke dalam Sungai Patapsco yang sejuk. Enam orang - pekerja yang berada di jambatan ketika kejadian - kemudiannya dianggap sudah mati oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat.

Kesemua 22 anak kapal selamat dan tiada kecederaan dilaporkan, dengan kapal itu masih di lokasi perlanggaran dan dalam keadaan stabil.

Meskipun kejadian di mana kapal berlanggar dengan objek yang tidak bergerak jarang berlaku, insiden serupa pernah berlaku beberapa kali sebelum ini. 

Berikut ini lima insiden lain di seluruh dunia yang melibatkan jambatan runtuh akibat dilanggar kapal:

5 JAN 1975: JAMBATAN TASMAN, AUSTRALIA

Kapal pengangkut Lake Illawarra melanggar  beberapa struktur sokongan Jambatan Tasman di Hobart, Tasmania, menyebabkan sebahagian besar jambatan runtuh ke atas kapal dan ke Sungai Derwent.

Kapal itu telah terpesong dari laluan sebahagiannya disebabkan arus kuat dan kelalaian kapten kapal.

12 orang terbunuh dalam kemalangan itu, termasuk tujuh kru di atas kapal itu dan lima penumpang dari empat kereta yang terhumban ke dalam sungai.

Jambatan itu dibina semula dan dibuka pada tahun 1977, sementara jambatan tambahan Bowen juga dibina untuk mengurangkan kesan sebarang kegagalan Jambatan Tasman berfungsi pada masa hadapan.

9 MEI 1980: JAMBATAN SUNSHINE SKYWAY, AMERIKA SYARIKAT

Kapal pengangkut bernama Summit Venture melanggar tiang sokongan jambatan di Teluk Tampa Florida semasa ribut yang berlaku secara tiba-tiba, menyebabkan sebahagian besar jambatan runtuh.

Kemalangan yang berlaku pada waktu sibuk sebelah pagi itu menyebabkan tujuh kenderaan termasuk sebuah bas dinaiki 26 penumpang terjatuh ke dalam sungai. Seramai 35 orang maut akibat runtuhan itu.

Sebuah jambatan baru dibina, manakala jambatan lama itu  ditukar menjadi jeti memancing.

15 SEP 2001: TAMBAK QUEEN ISABELLA, AMERIKA SYARIKAT

Empat tongkang yang sarat dengan muatan melanggar salah satu tiang sokongan tambak di Texas, menyebabkan jambatan itu runtuh. Kesannya menyebabkan lubang sebesar 49 meter.

Memandangkan bahagian yang runtuh itu berada di bahagian tertinggi tambak, ramai pemandu  gagal menyedari lubang tersebut.  Lapan orang terbunuh dalam kemalangan itu.

Laporan oleh Pengawal Pantai Amerika Syarikat kemudiannya mendapati kapten bot tunda tongkang bertanggungjawab atas kemalangan itu.

Jambatan itu dibuka semula pada November 2001 dan kemudiannya dinamakan Jambatan Peringatan Ratu Isabella sebagai menghormati mangsa kemalangan itu.

JUN 15, 2007: JAMBATAN JIUJIANG, CHINA 

Jambatan Jiujiang di wilayah Guangdong, China sebahagiannya runtuh selepas sebuah kapal pengangkut kargo bernama Nanguiji 035 tersasar dari saluran navigasi utama dan melanggar salah satu tiang utama jambatan itu, menyebabkan bahagian jambatan sepanjang 1,600 meter runtuh ke dalam Sungai Xijiang.

Kesemua 10 anak kapal itu diselamatkan, tetapi lapan lagi yang berada di jambatan tersebut terbunuh selepas kenderaan mereka terjunam ke dalam sungai.

20 MAC 2009: JAMBATAN FERI POPP, AMERIKA SYARIKAT

Sebuah bot tunda yang menarik lapan tongkang melanggar Jambatan Feri Popp di Mississippi, menyebabkan dua bahagian jambatan itu terjunam ke dalam teluk.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam kemalangan itu dan jambatan tersebut dibuka semula pada April 2009.
 

Sumber : Today/SU/su
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan