Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jambatan Baltimore runtuh: MPA akan sokong Pengawal Pantai Amerika Syarikat dalam siasatan

 Jabatan Pengangkutan Maryland berkata "sekurang-kurangnya tujuh orang" terhumban dari Jambatan Francis Scott Key yang runtuh; dua berjaya diselamatkan, seorang daripadanya "dalam keadaan amat serius".  

Anggaran Waktu Membaca:
Jambatan Baltimore runtuh: MPA akan sokong Pengawal Pantai Amerika Syarikat dalam siasatan

Sebuah kapal kargo merempuh Jambatan Francis Scott Key pada 26 Mac 2024 di Baltimore, Maryland menyebabkannya runtuh. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 26 Mar 2024 09:34PM Dikemas Kini : 27 Mar 2024 12:01AM

SINGAPURA: Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) pada Selasa (26 Mac) menyatakan pihaknya akan menyiasat pelanggaran jambatan besar di Amerika Syarikat melibatkan sebuah kapal yang berdaftar di Singapura.

Kapal kontena Dali berlanggar dengan jambatan Francis Scott Key itu di Baltimore, Maryland pada pukul 1.30 pagi (1.30 tengah hari waktu Singapura), sekali gus menyebabkan jambatan itu runtuh.

Sehingga 20 orang serta beberapa kenderaan dipercayai terhumban ke dalam air, menurut Jabatan Bomba Baltimore.

Dua orang diselamatkan, seorang daripadanya dalam "keadaan amat serius" manakala yang lagi satu tidak cedera.

Jabatan Pengangkutan Maryland berkata "sekurang-kurangnya tujuh orang" terhumban dari Jambatan Francis Scott Key yang runtuh. Pasukan penyelam dan penyelamat berada di tempat kejadian untuk mengesan kesemua mangsa.

Sementara itu, Gabenor Maryland Wes Moore telah mengisytiharkan darurat di negeri Amerika Syarikat itu berikutan insiden berkenaan.

"MPA sedang berhubung dengan Pengawal Pantai Amerika Syarikat dan syarikat pengurusan kapal tersebut untuk menyediakan bantuan yang diperlukan," jelas penguasa itu.

"Sebagai negara bendera, MPA akan memberikan kerjasama penuh kepada Pengawal Pantai Amerika dalam siasatannya. MPA juga akan menyiasat kejadian itu."

Data pemantauan kapal menunjukkan bahawa kapal Dali berdaftar dengan syarikat Grace Ocean Pte Ltd, manakala pengurusnya adalah Synergy Marine Group.

Menurut MPA, Dali merupakan kapal kontena seberat 95,000 tan kasar yang beroperasi dengan 22 anak kapal di atas kapal tersebut ketika kejadian berlaku.

Synergy Marine Corp menyatakan anak kapalnya, termasuk kedua-dua malim kapalnya, telah diambil kira dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Kapal berkenaan telah disewa oleh syarikat perkapalan Denmark Maersk dan  dalam perjalanan dari Baltimore ke Colombo, Sri Lanka sebelum melanggar jambatan tersebut.

Sebagai negara asal kapal Dali itu, Singapura bertanggungjawab untuk menjalankan siasatan ke atas nahas Baltimore itu.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan