Skip to main content

Singapura

Jamaluddin dipenjara 3 minggu, denda S$6,000 kerana rasuah

Seorang lelaki berusia 59 tahun dijatuhi hukuman penjara selama tiga minggu dan didenda S$6,000 kerana memberikan kontrak-kontrak kepada syarikat pembekal bagi mendapatkan wang rasuah.

Anggaran Waktu Membaca:
Jamaluddin dipenjara 3 minggu, denda S$6,000 kerana rasuah

Jamaluddin Hassan, 59 tahun, dipenjara tiga minggu dan didenda S$6,000. (Gambar: CPIB)

Diterbitkan : 28 Mar 2019 11:45PM Dikemas Kini : 28 Mar 2019 11:49PM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 59 tahun dijatuhi hukuman penjara selama tiga minggu dan didenda S$6,000 kerana memberikan kontrak-kontrak kepada syarikat pembekal bagi mendapatkan wang rasuah.

Jamaluddin Hassan, bekas pembeli di Yamato Technologies, juga cuba untuk mendapatkan wang sogokan daripada sebuah lagi syarikat pembekal, menurut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dalam satu kenyataan media.

CPIB menyatakan bahawa dia juga diarahkan supaya membayar denda sebanyak S$1,300.

Sewaktu melakukan kesalahan tersebut, Jamaluddin bertanggungjawab menjadi perantara dengan para pembekal bagi mendapatkan sebutan harga (quotation). Dia juga menilai sebutan harga yang diberikan sebelum mencadangkan kontrak-kontrak bagi para pembekal.

Pada 2017, Jamaluddin berhubung dengan seorang eksekutif penjualan dan pemasaran di Senator International Singapore mengenai kontrak untuk menghantar barangan dari Jerman ke Filipina.

Senator diberikan kontrak kiriman oleh Yamato.

Pada Ogos 2017, Jamaluddin meminta wang sogokan sebanyak S$1,000 daripada eksekutif berkenaan.

"Eksekutif itu memaklumkan permintaan tersebut kepada pengarah urusannya, yang menyetujui permintaan Jamaluddin kerana beliau khuatir Jamaluddin akan mencetuskan masalah bagi Senator berhubung kontrak kiriman itu," menurut CPIB.

Jamaluddin menerima wang tunai S$1,000. Dia kemudian menghubungi eksekutif yang sama sebanyak dua kali bagi meminta pinjaman.

Eksekutif itu memenuhi permintaan Jamaluddin bagi mendapatkan pinjaman S$300, tetapi permintaannya bagi wang sebanyak S$100 ditolak kerana para kakitangan "berpendapat bahawa Jamaluddin bukan seseorang yang mudah berpuas hati," menurut CPIB.

Pada 2016, Jamaluddin cuba meminta pinjaman sebanyak S$2,000 daripada seorang jurutera penjualan di Delta-Flo Controls di tengah-tengah rundingan kontrak penjualan.

Jamaluddin memberitahu jurutera itu bahawa dia akan membantu mempromosikan produk-produk syarikat tersebut kepada Yamato dan mencadangkan agar kontrak diberikan kepada Delta-Flo.

Bagaimanapun, permintaannya ditolak dan Delta-Flo tidak diberikan kontrak tersebut.

Pada 8 Mac, Jamaluddin didakwa atas empat tuduhan memperolehi atau cuba untuk mendapatkan wang sogokan sehingga S$3,400.

Sesiapa yang didapati bersalah atas perbuatan rasuah boleh didenda sehingga S$100,000, dijatuhi hukuman penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita