Skip to main content

Singapura

Jamal Ismail terima Anugerah Tun Seri Lanang; Khairool Haque raih Anugerah Harapan

Anggaran Waktu Membaca:
Jamal Ismail terima Anugerah Tun Seri Lanang; Khairool Haque raih Anugerah Harapan

(Gambar: Nurfazirah Azman)

SINGAPURA: Penulis veteran, Jamal Ismail menerima pengiktirafan tertinggi dalam dunia kesusasteraan Melayu Singapura - Anugerah Tun Seri Lanang dalam majlis Anugerah Persuratan 2023 yang diadakan pada Sabtu (11 Nov).

Beliau menyertai barisan tokoh sastera tanah air yang menerima anugerah tersebut termasuk Suratman Markasan (1999), Djamal Tukimin (2007) dan Nadiputra (2013).

"Alhamdulillah saya sangat bersyukur menerima anugerah ini tapi biasalah anugerah sebenarnya dia membawa sama amanah dan tanggungjawab jadi tanggungjawab kepada kami semua untuk memeriahkan lagi, meraikan lagi, menghasilkan karya-karya yang lebih baik di masa hadapan," ujar penulis berusia 71 tahun itu.

Dari cerpen pertamanya pada 1982 berjudul YANG, Encik Jamal Ali sudah menghasilkan pelbagai bentuk sastera - baik naskhah skrip untuk televisyen dan teater mahupun novel serta puisi.

Karya-karyanya juga pernah diiktiraf dalam dan luar negara.
Related article image
(Gambar: Nurfazirah Azman)

Ini termasuk Hadiah Sastera bagi kategori Cerpen dan Novel untuk karya GOD(A) dan Tunjuk Langit serta Drama Terbaik Pesta Perdana menerusi siri drama Bara.

Beliau juga pernah merangkul Anugerah Loheh-Nur daripada Kementerian Penerangan Republik Islam Iran bagi Dokumentari Islam Terbaik untuk karyanya berjudul Tamadun Islam.

Beliau juga banyak menyumbang bakti kepada masyarakat dan memberikan bimbingan kepada penulis-penulis lain menerusi penglibatannya dalam acara-acara Bulan Bahasa dan sebagainya.

PENULISAN NOVEL YANG SANGAT MENCABAR

Di majlis Anugerah Persuratan 2023 ini, beliau juga menerima Hadiah Persuratan dalam kategori Novel untuk bukunya berjudul Mustafa: Epik Kerohanian Seorang Kiai.

Encik Jamal Ismail berkongsi dengan wartawan Nurfazirah Azman bahawa penghasilan novel itu adalah yang paling mencabar sepanjang karyanya sebagai penulis.

"Inilah novel saya yang paling berat kepada saya kerana saya menghasilkan Novel Mustafa itu selama enam tahun. Kajiannya sahaja empat tahun kerana ia berdasarkan sejarah. Sebuah sejarah pemberontakan di Singapura pada tahun 1915 dan saya menyuntik tokoh-tokoh agama, peranan tokoh-tokoh agama pada waktu itu membangunkan Singapura dalam bentuk yang sangat indah, sangat mesra, sangat adil," kongsi Encik Jamal Ismail.

Related article image
(Gambar: Majlis Buku Singapura & MBMS)
Menurut beliau, kajian yang mengambil masa empat tahun itu berdasarkan realiti kehidupan seratus tahun dahulu.

Di samping itu, Encik Jamal untuk menghargai usaha pihak-pihak lain dalam melestarikan bahasa dan sastera setempat.

"Kita berada di dalam satu masa, simpang sebenarnya yang sangat mencabar sebenarnya kerana perkembangan sastera Singapura ini nampaknya mendapat sokongan yang sangat baik daripada agensi-agensi pemerintah, semua penulis boleh mengambil peluang ini untuk menghasilkan sastera yang lebih bersifat realiti, bagaimana menarik golongan-golongan 'milennial' untuk membaca karya sastera," kata beliau.

Beliau turut menekankan bahawa lebih banyak boleh dilakukan untuk mengembangkan lagi sastera Melayu di sini.

"Yang lebih penting adalah bagaimana kita nak mengangkat kesusasteraan ini bukan sahaja dinikmati oleh masyarakat Melayu tapi juga masyarakat bukan Melayu di Singapura dan lebih penting lagi bagaimana ia boleh menyejagatkan, bagaimana ia boleh menyebar ke luar negara dan ini perlukan penterjemahan dan penterjemahan pertama adalah dalam bahasa Inggeris dahulu," ujar Encik Jamal Ismail.
Related article image
(Gambar: Majlis Buku Singapura & MBMS)
USAHA MAJLIS BAHASA MELAYU SINGAPURA DISANJUNGI

Dalam ucapannya, tetamu terhormat Menteri Perhubungan dan Penerangan, Josephine Teo juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penganjur anugerah ini iaitu Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) atas komitmen mereka menghidupkan budaya kreatif bagi para penulis termasuk generasi pelapis.

"Sejak 1993 iaitu sepanjang 30 tahun yang lalu, MBMS telah menganjurkan anugerah ini, tahun demi tahun bagi mengiktiraf hasil karya cemerlang oleh penulis Singapura yang menyumbang kepada lanskap sastera dan bahasa Melayu," kata Cik Teo.

Selain Anugerah Persuratan, MBMS juga menganjurkan Bulan Bahasa dan menguruskan keanggotaan Singapura dalam MASTERA.

"Usaha-usaha ini menunjukkan komitmen MBMS yang tidak berbelah bagi untuk mewujudkan penghargaan bagi bahasa dan sastera Melayu dan mewujudkan sekitaran kreatif yang kondusif untuk penulis Singapura menghasilkan karya-karya cemerlang yang boleh dihargai generasi akan datang," ujar Cik Teo yang juga merupakan Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri.
MUHAMMAD KHAIROOL HAQUE PENERIMA ANUGERAH HARAPAN

Antara penulis muda yang meraih manfaat daripada usaha berterusan MBMS itu ialah penerima Anugerah Harapan tahun ini iaitu Muhammad Khairool Haque, 31 tahun.

Anugerah ini bagi mengiktiraf penulis bawah usia 40 tahun yang menunjukkan potensi dalam bidang persuratan.

Sejak berumur 17 tahun, penulis itu sudah menerima pelbagai anugerah kesusasteraan termasuk Hadiah Pena Emas dan Hadiah Penulis Muda ASEAN.
Related article image
(Gambar: Nurfazirah Azman)
Encik Khairool yang sebelum ini mengajar bahasa Melayu di beberapa sekolah rendah di Singapura sedang melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Nasional (NIE).

"Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kerana masih mempunyai atau diberikan keupayaan untuk terus berkarya walaupun mungkin ada hambatan-hambatan tertentu seperti kesibukan dan sebagainya tetapi masih dapat berkarya dan ada penerbit yang sudi untuk menerbitkan karya-karya tersebut," kata Encik Khairool.

Beliau juga menerima Hadiah Persuratan kategori Sajak untuk kompilasi sajak berjudul 'Anak Waktu Belajar Diam'.
Related article image
(Gambar: Majlis Buku Singapura & MBMS)
Encik Khairool juga berkongsi rancangan seterusnya.

"Saya memang dalam proses menulis bukan sahaja dalam genre puisi tetapi juga dalam genre cerpen dan juga dari sudut penghasilan kajian sastera. Jadi saya harap dalam masa setahun dua ini adalah karya dalam genre tersebut yang dapat diterbitkan," tambah beliau.

HADIAH PENGHARGAAN BAGI GALAK PENGHASILAN KARYA

Dalam edisi ke-15 Anugerah Persuratan ini, Hadiah Penghargaan juga diberikan kepada penulis dalam kategori Drama (untuk Pentas) dan Esei atau Kajian Sastera bagi menggalak penghasilan dan pencalonan karya-karya sedemikian.

"Saya rasa gembira kerana ia dihargai sebagai satu bahan sastera dengan harapan ia boleh dijadikan bahan rujukan atau sekurang-kurangnya bahan bacaan untuk hiburan semoga kerja penulisan saya akan terus digunakan dan dapat menjadi sumbangan untuk masyarakat untuk masa-masa hadapan," kata Penerima Hadiah Penghargaan dalam kategori Drama (untuk Pentas), Anwar Hadi Ramli.

City Mazita Maswadi pula memenangi hadiah penghargaan untuk karyanya berjudul 'Jervoisku Meniti Masa'.

Meski ada peningkatan dari sudut karya yang dihantar dan dinilai tahun ini, Pengerusi Jawatankuasa Persuratan MBMS, Dr Azhar Ibrahim, menarik perhatian kepada bentuk genre yang kurang mendapat sambutan.
Related article image
(Gambar: Majlis Buku Singapura & MBMS)
"Genre yang kurang sedikit terbangun adalah esei dan kajian sastera. Itu mungkin yang memerlukan sedikit masa untuk para penulis kita diperkenalkan dengan kemahiran ataupun kepedulian untuk menulis genre seperti itu tapi saya yakin ke hadapan kita boleh lakukan," kata Dr Azhar.

Beliau berharap sastera Melayu dapat dilestarikan dan dihargai pelbagai lapisan masyarakat di Singapura.

"Sastera ini harus berdenyut dalam semua yang mahu memanggil dirinya anak Melayu, anak bangsa, anak Singapura. Sastera itu adalah sebahagian daripada cakerawala kebudayaan kesenian kita. Sastera adalah sambungan hayat peradaban kita dan sastera itu adalah sebenarnya inti kepada kemanusiaan kita. Dengan bersastera kita dapat memajukan diri, memajukan masyarakat, memajukan bangsa dan tanah air dan itu kita boleh menyumbang kepada sastera serantau dan sastera dunia," ujar beliau.

ANUGERAH PERSURATAN 2023

Kategori Cerpen Anugerah Persuratan kali ini pula diungguli Farihan Bahron menerusi karyanya Kepala Kotak manakala buku Feri Menjaga Kelestarian Laut oleh Raudhah Alias diiktiraf dalam kategori sastera kanak-kanak.

Acara dwitahunan Anugerah Persuratan merupakan usaha berterusan MBMS untuk meraikan para penulis Singapura dalam kesusasteraan Melayu.

Dalam masa yang sama, menggalakkan penerbitan karya bermutu serta memasyarakatkan bidang persuratan di negara ini.

Anugerah Persuratan 2023 dianjurkan oleh MBMS dan diuruskan Majlis Buku Singapura (SBC) dengan sokongan Lembaga Warisan Kebangsaan (NHB) dan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita