Skip to main content

Singapura

Jamae Chulia Heritage akan dibangunkan di atas tanah wakaf kosong terakhir di SG

Warees Investments Pte Ltd mengadakan majlis pecah tanah hari ini (24 Mei) bagi projek Jamae Chulia Heritage, sebuah pembangunan bercampur komersil.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 May 2024 07:43PM Dikemas Kini : 25 May 2024 09:19AM

SINGAPURA: Warees Investments Pte Ltd mengadakan majlis pecah tanah hari ini (24 Mei) bagi projek Jamae Chulia Heritage, sebuah pembangunan bercampur komersil.

Majlis itu dipimpin oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli serta Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

'

Kompleks Jamae Chulia Heritage itu akan dibangunkan di sebuah tapak yang terletak di antara Mosque Street dan Pagoda Street dalam kawasan Chinatown.

Tapak itu merupakan tanah wakaf kosong terakhir di Singapura.

Jamae Chulia Heritage yang dijangka siap pada pertengahan 2026 itu akan menempatkan 90 apartmen servis Lyf Chinatown Singapore serta ruang runcit dan bagi makanan dan minuman (F&B) yang akan dikendalikan syarikat The Ascott Limited.
'
Ia akan menyaksikan pemuliharaan empat rumah kedai sedia ada di Pagoda Street serta bangunan tambahan di tanah kosong di Mosque Street, yang kemudiannya akan dicantumkan dengan sebuah jejantas di aras dua.

"Ruang itu akan dibangunkan bukan hanya untuk keperluan komersil tetapi juga akan mempunyai reka bentuk yang mengisahkan tentang sejarah terutama sekali untuk masyarakat India Muslim. Kita juga akan bekerjasama untuk membangunkan program-program masyarakat untuk para pengunjung di Lyf dengan menganjurkan lawatan ke institusi-istitusi agama Islam yang penuh dengan sejarah seperti Nagore Dargah dan Masjid Jamae Chulia," kata Pengerusi Warees Investments Pte Ltd, Encik Abdul Razak Hassan Maricar.

CEO Ascott Limited, Encik Kevin Goh pula berkata: "LYF Chinatown terletak dalam kawasan yang sangat unik dan mempunyai warisan yang kaya. Ada masjid di sebelahnya, ada juga sebuah kuil dan juga bersebelahan dengan Chinatown. Jadi kita akan memanfaatkan perkara ini untuk membolehkan para pengunjung untuk mendapat pengalaman imersif tidak kira makanan, sejarah mahupun seni."

JAMAE CHULIA HERITAGE - CERMINAN LEGASI WAKAF DI SG

Encik Masagos berkata pembangunan Jamae Chulia Heritage mencerminkan visi masyarakat India Muslim terdahulu untuk menyokong pembangunan sosial dan agama jangka panjang masyarakat.

"Jamae Chulia Heritage yang merupakan pembangunan bercampur komersil di Mosque Steet adalah projek keempat di bawah Skim Peningkatan Wakaf (WRS) selepas The Red House, Alias Villas dan pembangunan bercampur komersil Bencoolen.

"Sebagai tanah wakaf kosong yang terakhir di Singapura yang akan dijadikan Jamae Chulia Heritage, ia mencerminkan keupayaan masyarakat India Muslim untuk berkolaborasi, menggunakan kaedah kewangan yang inovatif dan menjalin kerjasama dengan wakaf-wakaf lain untuk membangunkan projek ini," kata Encik Masagos.

Projek itu, tambah beliau, memberi penghargaan kepada usaha bersepadu masyarakat India Muslim sejak 1800-an terhadap pembangunan negara dan mencerminkan kemajuan masyarakat itu selama berdekad lamanya.

Encik Abdul Razak pula berkata: "Menerusi penglibatan dengan para pemimpin masyarakat India Muslim, nama 'Jamae Chulia Heritage' dipilih oleh mereka sendiri bagi berbakti dan memberi penghormatan kepada sejarah yang kaya dan usaha oleh para perintis masyarakat Chulia."

STRUKTUR KEWANGAN UNTUK JAMAE CHULIA HERITAGE

Kos pembangunannya yang bernilai S$30 juta akan dilaksanakan di bawah Skim Pemulihan Wakaf (WRS).

"MUIS dan Warees bekerjasama untuk membangunkan struktur kewangan yang inovatif yang menggunakan aset-aset dan sumber wakaf-wakaf yang berbeza-beza agar dapat memberi manfaat kepada satu sama lain tanpa perlu bergantung kepada institusi kewangan. Lantaran itu, projek ini akan dilaksanakan menerusi kerjasama ekuiti antara WJC Heritage, Wakaf Haji Mohamed Amin Bin Fazal Elahi dan Wakaf Jamae Chulia," kata Pengerusi Warees, Encik Abdul Razak.

'
Bangunan komersial itu adalah untuk meningkatkan pendapatan kedua-dua wakaf itu supaya ia dapat memanfaatkan penerima manfaat wakaf tersebut serta memperkasa masyarakat India Muslim secara amnya.

"Kepulangan dan keuntungan daripada projek ini pula akan disalurkan kepada kedua-dua wakaf itu. Dari segi penerima bantuan pula, ia akan memberi manfaat kepada beberapa masjid termasuk Masjid Jamae Chulia, Masjid Al-Abrar dan Nagore Dargah. Kita juga akan menyalurkan kepulangannya untuk memberi bantuan kepada beberapa sekolah di India," jelas CEO Warees, Isyak Masagoes.

KERJA NAIK TARAF MASJID JAMAE CHULIA SUDAH SELESAI

Acara hari ini turut menyaksikan majlis menandakan selesainya kerja-kerja naik taraf Masjid Jamae Chulia.


Masjid itu kini lebih mesra warga tua dan kurang upaya.

Ia kini dilengkapi tiga bilik darjah berbanding satu sebelum ini, selain sebuah plaza yang boleh digunakan untuk acara-acara masyarakat seperti bazar.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita