Skip to main content

Singapura

Jalinan sosial, sokongan antara pendorong utama sikap memberi di SG: Kajian

Anggaran Waktu Membaca:
Jalinan sosial, sokongan antara pendorong utama sikap memberi di SG: Kajian

Gambar hiasan. (Gambar: iStock)

Diterbitkan : 02 Apr 2026 12:21AM Dikemas Kini : 02 Apr 2026 12:34AM
  • Kajian oleh NVPC mendapati majoriti penduduk Singapura pernah menyumbang, sama ada secara formal atau tidak formal, dengan 68 peratus berbuat demikian tahun lalu.
  • Pemberian merangkumi bantuan harian, kesukarelawanan dan derma, serta dipengaruhi oleh persekitaran sosial seperti keluarga, rakan dan tempat kerja.
  • Komitmen masa dan tanggungjawab penjagaan menjadi hambatan utama, namun peluang fleksibel boleh meningkatkan penyertaan.
  • NVPC akan memperkukuh pemberian digital, kerjasama korporat dan melibatkan golongan muda, selaras dengan penekanan Menteri Dinesh Vasu Dash terhadap pentingnya budaya memberi.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Lebih daripada tiga perempat penduduk Singapura pernah menyumbang semula kepada orang lain pada satu ketika, dengan 68 peratus berbuat demikian pada tahun lalu, menurut Kajian Pemberian Nasional terkini.

Dapatan yang dikeluarkan pada Selasa (31 Mac) juga menunjukkan bahawa pemberian di Singapura melangkaui kesukarelawanan rasmi dan derma.

Ia merangkumi tindakan harian seperti membantu jiran, mengedarkan makanan, memungut sampah atau bahkan menjaga kucing dalam masyarakat.

Dijalankan oleh Pusat Sukarelawan dan Kedermawanan Nasional (NVPC), kajian itu meninjau lebih daripada 3,600 orang antara bulan Julai dan Oktober tahun lalu.

Edisi 2025 menggunakan pendekatan yang lebih luas berbanding tahun-tahun sebelumnya dengan melihat kedua-dua pemberian berstruktur, seperti kesukarelawanan dan derma, serta tindakan bantuan bersama secara tidak formal.

Penyelidik juga memperhalusi metodologi untuk memberi tumpuan kepada perkara yang sebenarnya dilakukan oleh orang ramai, dan bukannya bagaimana mereka mentafsir istilah seperti kesukarelawanan atau menderma, bagi memberikan gambaran yang lebih inklusif tentang cara orang ramai menyumbang.

DERMA DAN KESUKARELAWANAN

Walaupun sebahagian besar pemberian di Singapura berlaku melalui saluran tidak rasmi, kajian itu juga meneliti bentuk penyertaan yang lebih berstruktur.

Lebih daripada 20 peratus responden menjadi sukarelawan pada tahun lalu, dengan median tujuh jam diluangkan.

Sementara itu, 45 peratus menghulurkan derma wang atau barangan, dengan sumbangan median sebanyak S$120.

Sumbangan derma dibuat sedikit lebih kerap berbanding kesukarelawanan, dengan median empat kali berbanding tiga sesi sukarelawan sepanjang tahun.

KESUKARELAWANAN BINA HUBUNGAN SOSIAL

Kajian itu juga mendapati bahawa kerja sukarela memupuk percampuran dan hubungan sosial.

Sukarelawan cenderung mempunyai hubungan sosial yang lebih rencam merentasi jenis perumahan, tahap pendidikan, pekerjaan, etnik dan kewarganegaraan.

Mereka juga lebih berkemungkinan mempunyai kenalan merentasi pelbagai pekerjaan yang lebih luas, termasuk peranan profesional dan kepimpinan.

Penyelidik berkata ini mungkin memberi akses kepada maklumat, nasihat dan peluang yang bermanfaat.

SEKITARAN SOSIAL MAINKAN PERANAN UTAMA

Sikap memberi dibentuk oleh persekitaran sosial, termasuk keluarga, rakan dan tempat kerja, menurut kajian itu.

Peran contoh ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk tabiat awal.

Individu yang membesar melihat ibu bapa mereka menjadi sukarelawan atau menderma lebih berkemungkinan melakukan perkara yang sama di kemudian hari.

Pengaruh rakan sebaya juga penting. Orang ramai lebih berkemungkinan menjadi sukarelawan atau menderma, dan melakukannya dengan lebih kerap, apabila rakan atau rakan sekerja mereka terlibat dalam aktiviti memberi.

Persekitaran yang saling menyokong seterusnya menggalakkan penyertaan.

Ini termasuk mendapatkan bantuan dengan tanggungjawab penjagaan atau rumah tangga, serta tempat kerja yang menawarkan cuti sukarelawan atau menganjurkan aktiviti sukarela.

"Individu lebih berkemungkinan menjadi sukarelawan atau menderma, dan melakukannya dengan lebih kerap, apabila aktiviti memberi diamalkan oleh keluarga, rakan, atau rakan sekerja," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NVPC Tony Soh.

"Tempat kerja yang menyokong, seperti yang menganjurkan inisiatif sukarela dan menawarkan cuti sukarelawan, seterusnya membolehkan penyertaan dengan memudahkan orang ramai untuk menyumbang semula."

KOMITMEN MASA HAMBATAN UTAMA

Walaupun penyertaan agak meluas, ia sering dibentuk oleh kekangan praktikal.

Komitmen kerja, tanggungjawab menjaga anak dan tanggungjawab sebagai penjaga dikaitkan dengan penyertaan yang lebih rendah dalam kerja sukarela.

Mereka yang mempunyai tanggungjawab yang lebih berat lebih cenderung untuk menjadi sukarelawan secara bermusim, dan bukannya secara konsisten sepanjang tahun.

Penyelidik berkata bahawa peluang yang lebih fleksibel dan komitmen yang lebih rendah boleh membantu menangani hambatan tersebut dan menggalakkan penyertaan yang berterusan.

MENJADIKAN SIKAP MEMBERI LEBIH MUDAH DIAKSES

Dapatan itu dikongsi di Forum 'City of Good' pada Selasa, yang menghimpunkan lebih 400 pemimpin dan agen perubahan daripada sektor awam, swasta dan rakyat untuk mengukuhkan perkongsian bagi kebaikan sosial.

Berdasarkan penemuannya, NVPC menyatakan bahawa ia akan meningkatkan pemberian digital, mengukuhkan perkongsian untuk mengembangkan kerja sukarela korporat dan membantu badan amal membina keupayaan.

Ia juga akan bekerjasama dengan rakan kongsi untuk melibatkan golongan muda dengan lebih baik dan memudahkan mereka untuk mengambil bahagian dalam pemberian.

Berucap di acara itu, Menteri Negara Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Dinesh Vasu Dash menekankan pentingnya sikap memberi dalam membina masyarakat yang berdaya tahan.

"Apa yang akhirnya penting ialah masyarakat yang kukuh, bukan sahaja dari segi pertumbuhan ekonomi atau dari segi infrastrukturnya, tetapi juga dari segi modal sosialnya, dan secara ringkasnya dari segi cara kita mempercayai antara satu sama lain, kesediaan kita untuk membantu antara satu sama lain, dan keyakinan bersama kita bahawa kita bersatu dalam hal ini," katanya.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita