Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jalinan Rahmah himpun 250 penduduk Marsiling; lancar inisiatif kumpul pakaian tradisional untuk golongan memerlukan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sekitar 250 penduduk berkumpul untuk acara Jalinan Rahmah di Marsiling yang dianjurkan oleh kumpulan Qaryah 7, Masjid An-Nur, dan Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Marsiling pada Sabtu (5 Okt).

Pusingan ketiga inisiatif masyarakat itu diterajui oleh kumpulan Qaryah 7, dengan tujuan memperkukuhkan hubungan dalam komuniti dan menggalakkan perpaduan.

Ia menyasarkan untuk mendekati lebih 900 penduduk menjelang akhir tahun ini.

INISIATIF INFAQ KASIH KUMPUL PAKAIAN TRADISIONAL TERPAKAI

Gambar: Marsiling CC

Dalam acara yang sama, Menteri Negara Kanan dan Penasihat GRC Marsiling-Yew Tee, Zaqy Mohamad, melancarkan satu inisiatif baharu.

Inisiatif yang dinamakan Infaq Kasih akan berlangsung dari 1 November hingga 31 Disember 2024.

Ia akan mengumpul pakaian tradisional terpakai yang masih dalam keadaan baik untuk diagih-agihkan kepada keluarga dan golongan yang memerlukan.

Orang ramai boleh menderma pakaian tradisional terpakai mereka di Kelab Masyarakat Marsiling dan Masjid An-Nur mulai 1 November ini.

"Ini telah mewujudkan momentum yang baik, dan kini kita mempunyai peluang untuk menarik kebaikan daripada masyarakat serta mengajak pelbagai qaryah dan masjid untuk bersama-sama menggerakkan dan berbuat kebajikan melalui Infaq Kasih. Kami merancang untuk mengumpul pakaian terpakai dalam beberapa bulan akan datang, derma untuk diedarkan semasa bulan Ramadan pada tahun 2025," kata Encik Zaqy kepada BERITA Mediacorp.

"Infaq Kasih menonjolkan kemurahan hati dan empati yang dimiliki oleh penduduk Marsiling terhadap mereka yang memerlukan. Dengan derma pakaian tradisional Melayu terpakai, ia menunjukkan komitmen penduduk Marsiling dalam membantu sesama. Tindakan memberi ini mencerminkan nilai-nilai kuat seperti kepedulian, kebaikan, dan sokongan bersama dalam masyarakat. Melalui sumbangan ini, ia akan menekankan kepentingan kesejahteraan dan pengukuhan kolektif," tambah beliau.

JALINAN RAHMAH TINGGALKAN KESAN MENDALAM KEPADA MASYARAKAT MARSILING

Sejak awal tahun ini, Jalinan Rahmah di Marsiling telah berjaya menghubungkan kumpulan-kumpulan Qaryah dengan lebih 200 penduduk pada setiap pusingan.

Dalam ucapannya, Encik Zaqy menyatakan bahawa inisiatif itu telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada masyarakat di Marsiling.

Jalinan Rahmah, kata beliau, telah "menyentuh kehidupan ramai" dengan para Qaryah yang "memimpin usaha ini."

Beliau juga melahirkan penghargaan terhadap kumpulan Qaryah 7 atas usaha mereka dalam membina hubungan yang kukuh antara penduduk.

"Apa yang bermula sebagai usaha untuk mengukuhkan rangkaian qaryah kita, kami telah berkembang dan dapat menghimpunkan sekitar 200 hingga 300 orang setiap kali merentasi 5 qaryah untuk WoodGroove dan Marsiling," kata Encik Zaqy.

Encik Zaqy bersama Cik Jainah (kiri) dan Encik Mohd Noh (tengah). (Gambar: Marsiling CC)

Antara yang meraih manfaat daripada inisiatif itu ialah Cik Jainah Awang, seorang ibu tunggal dengan seorang anak berkeperluan khas.

"Program ini sudah memberikan saya ketenangan minda dan membolehkan saya mengundur diri daripada cabaran harian saya, walaupun untuk seketika. Ia sudah membantu saya, serta mereka di sekeliling saya untuk berhubung dengan lebih baik," menurut Cik Jainah.

KEBANGKITAN SEMANGAT BERSATU QARYAH

Bagi sukarelawan veteran dan anggota MAEC Marsiling, Encik Mohd Noh Tahir, program tersebut melambangkan kebangkitan semula semangat perpaduan dalam komuniti Qaryah.

"Saya sangat gembira Jalinan Rahmah membawa anggota Qaryah kembali beraksi. Ia tentang persahabatan, persaudaraan, dan menjadi sebahagian daripada masyarakat di Marsiling," ujar Encik Noh.

INGIN CARI PELAPIS BAHARU, MUDA UNTUK TERUSKAN LEGASI QARYAH

Gambar: Marsiling CC
Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan kumpulan Qaryah 7, Cik Sharifah Hafsah Mohamed Hanifa, berkongsi tentang bagaimana acara Jalinan Rahmah dapat menyatukan masyarakat Qaryah di Marsiling.

"Kita dapat merapatkan silaturrahim antara penduduk Muslim, terutamanya di kawasan Marsiling. Kami mengalu-alukan penduduk-penduduk Muslim untuk turut serta dan berkenalan antara satu sama lain melalui acara ini. Ini juga membuka peluang bagi kami untuk mencari pelapis baru yang dapat menerajui kumpulan Qaryah di kawasan ini," kata Cik Sharifah.

Beliau turut berkongsi dengan BERITA Mediacorp tentang rancangan seterusnya bagi kumpulan Qaryah di Marsiling.

"Rancangan kami adalah untuk mencari pelapis baru, (iaitu) generasi sekarang sebagai pengganti yang mampu memimpin Qaryah dan meneruskan legasi Qaryah, yang telah bertapak lebih daripada 37 tahun. Maka, kami cuba untuk menarik sokongan dengan teknologi-teknologi terkini bagi menarik penyertaan daripada penduduk-penduduk baharu atau yang muda di Marsiling," ujar Cik Sharifah.

Dalam acara yang sama, sebanyak 250 hidangan nasi beriani turut diagihkan kepada para penduduk.
Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan