Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jalan 100 kilometer; terapkan gaya hidup aktif sambil beramal

Anggaran Waktu Membaca:
Jalan 100 kilometer; terapkan gaya hidup aktif sambil beramal

(Gambar: Rosli A Razak)

SINGAPURA: Cik Jumariah Jumaruddin, 61 tahun, tidak betah duduk di rumah.

Warga emas yang mempunyai tujuh orang cucu dan seorang cicit itu bukan sahaja bergiat aktif demi menjaga kesihatan tetapi juga gemar melakukan aktiviti sukan yang mencabar daya ketahanan diri.

"Saya seorang suri rumahtangga jadi saya tidak boleh duduk rumah sahaja. Saya akan berjalan jauh selepas Subuh tiga kali seminggu dari rumah saya di Bukit Panjang hingga ke Bukit Timah," kata beliau.

Kini beliau gigih berlatih untuk berjalan sejauh 100 kilometer bagi acara 'Let's Take A Walk" (LTAW) yang akan diadakan pada 27 Ogos nanti.

LTAW adalah acara berjalan kaki anjuran persatuan sukarelawan Raleigh Singapore yang bertujuan mencabar peserta mengatasi batasan mental dan fizikal mereka demi tujuan murni.

Tahun ini, acara berjalan kaki jarak jauh itu akan mengetengahkan tiga kategori - 20, 50, 100 kilometer.

(Gambar: Rosli A Razak)

Pada tahun ini, para peserta mempunyai had masa 33 jam bagi kategori 100 kilometer, 16 jam
bagi kategori 50 kilometer dan 6 jam bagi kategori 20 kilometer. 

Laluannya akan meliputi bahagian tengah, utara dan timur Singapura, termasuk Kallang, Bishan, Yishun, Punggol, Changi, East Coast, Bedok dan Tampines

Semua hasil daripada yuran pendaftaran dan derma wang tunai akan disalurkan kepada Caregivers Alliance Limited (CAL).

Caregiver Alliance adalah sebuah pertubuhan bukan mencari untung yang menyediakan sokongan kepada para penjaga pesakit dengan masalah kesihatan mental.

Ini adalah kali kedua LTAW mengikarkan sokongannya kepada CAL.

Penganjur berharap dapat menarik seramai 1,700 peserta dan mengumpul $145,000.

JALAN 100 KM - BERLATIH SECARA BERTAHAP-TAHAP 

Cik Jumariah akan menyertai acara tersebut bersama-sama beberapa anggota kumpulan GEMS Singapore, sebuah kumpulan yang memperkasakan kaum hawa melalui pelbagai aktiviti sihat.

Ini kali kedua Cik Jumariah menyertai LTAW selepas menyertai kategori 50 kilometer pada tahun lalu.

"Ini kesempatan saya untuk meneroka segala penjuru Singapura di waktu pagi petang dan malam. Saya jaga kesihatan dulu. Itu yang terpenting. Pemakanan, minuman dan kita juga harus latihan secara bertahap-tahap.

Seorang lagi teman yang turut menyahut cabaran berjalan sejauh 100 kilometer itu adalah Cik Fauziah Abdollah, 55 tahun.

"Perlu ada keyakinan, kita fokus apa yang kita nak tuju. Walaupun hujan ataupun panas, kita akan melaluinya. Mesti ada kesabaran," ujar Cik Fauziah.

Cik Saerah Tubah, 55 tahun pula menyahut cabaran untuk menamatkan acara 50 kilometer.

"Pada tahun lalu, kumpulan GEMS menganjurkan acara berjalan kaki sejauh 42 kilometer dan saya hampir-hampir kecundang tetapi berkat dorongan teman-teman yang lain saya dapat sampai ke garisan penamat. lnsy-Allah rakan-rakan memberikan saya semangat untuk menamatkan acara 50 kilometer yang akan datang," kata beliau.

(Gambar: Rosli A Razak)

Menurut Pengasas GEMS Singapore Cik Muzdalifah Anuar, 50 anggota sudahpun berlatih jalan jarak jauh bersama bagi membuat persediaan.

"Kita sudah berlatih sejauh 20 hingga 25 kilometer.  Selain latihan berdasarkan jarak, kita juga melakukan senaman untuk menguatkan otot-otot. Kita adakan HIIT, kita ke gimnasium untuk angkat berat dan juga berenang. Semua ini akan menolong kita kuatkan badan, kuatkan minda, kuatkan hati untuk menempuhi cabaran ini," kongsi Cik Muzdalifah

Lebih daripada itu, batasan mental mesti diatasi, kerana menurut beliau kekuatan mental amat penting bagi memastikan mereka tidak putus asa setengah jalan.

"Kita mahu memperkasakan kaum wanita. Di akhir acara, kita bukan sahaja kita kuat daripada segi fizikal  tetapi kuat semangat, kuat hati, kuat minda. Ia bukan acara yang mudah. Kalau berlari seorang diri kita mungkin pulang sahaja apabila merasa penat tetapi dengan sokongan daripada teman-teman,  kita mampu menghabiskan cabaran itu," kata beliau.

Pendaftaran bagi LTAW masih dibuka hingga Ahad dan boleh dilakukan di https://letstakeawalk.sg/index.php/registration/

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan