Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jaguh lari berpagar negara, Nur Izlyn Zaini buat kemunculan sulung di Sukan Komanwel 2022

Keserasian dan menyesuaikan diri dengan rentak pasukannya merupakan antara keprihatinan atlit Nur Izlyn Zaini.

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Keserasian dan menyesuaikan diri dengan rentak pasukannya merupakan antara keprihatinan atlit Nur Izlyn Zaini.

Atlit berusia 23 tahun itu hanya pernah menyertai dua latihan bersama pasukan lari berganti-ganti Singapura setakat ini dan dalam masa kurang sebulan lagi, beliau akan bergandingan bahu dengan mereka dalam memburu pingat di Sukan Komanwel di Birmigham.

Ini juga merupakan kemunculan pertamanya di Sukan Komanwel.

Beliau akan beraksi dalam acara lari berganti-ganti wanita 100 meter bersama Shanti Pereira, Kugapriya Chandran dan Bernice Liew.

Izlyn memberitahu bahawa dia hanya dipilih untuk menjadi antara pelari pasukan lari berganti Singapura kurang sebulan lalu, sejurus tamat Sukan SEA Hanoi.

Lantaran itu, penuntut sarjana dalam jurusan keadilan jenayah di Universiti Georgia Southern di Amerika Syarikat itu mempunyai sedikit kebimbangan menyesuaikan dirinya dengan cepat untuk mengikut rentak para atlit lain.

"Mereka sudah berlatih bersama-sama sepanjang musim ini malah mereka juga berjaya mencatatkan masa terpantas musim ini bersama. Saya tidak ada bersama mereka," jelas Izlyn.

"Saya sedang menyesuaikan diri dengan baik meskipun saya baru menyertai mereka," tambahnya lagi.

Pemilihannya untuk ke Sukan Komanwel ini juga sesuatu di luar jangkaan beliau.

"Saya tidak menjangkakan langsung bebab saya bukan atlit yang berasaskan di Singapura. Jadi kriteria yang ditetapkan agak susah untuk saya tepati. Ini seperti saya perlu menghadiri semua sesi latihan dan perlu mencatatkan waktu tertentu untuk acara pelarian berbeza," kata Izlyn.

Lantaran itu, buat masa ini, Izlyn sedang berehat daripada pelajaran dan memberi fokus 100 peratus pada Sukan Komanwel.

PEMEGANG REKOD NASIONAL LARI BERPAGAR 100 METER

Meskipun menjadi antara yang terbaru dipilih bagi menyertai pasukan lari berganti-ganti, Izlyn sebenarnya mempunyai banyak pengalaman bagi acara tersebut.

Malah, Izlyn juga merupakan antara atlit dalam pasukan lari berganti-ganti wanita yang memecahkan rekod nasional 4 x 100 meter semasa Sukan SEA Filipina pada 2019.

"Semenjak itu saya tidak berlari lagi dengan pasukan ini, tambahan lagi dengan pandemik COVID-19. Jadi saya ada rasa gementar sedikit tetapi saya akan gunakan pengalaman saya daripada 2019 untuk menyumbang kepada Sukan Komanwel kali ini," kata Izlyn.

Selain acara lari berganti-ganti, Izlyn juga sebenarnya jaguh dalam lari berpagar 100 meter dan merupakan pemegang rekod nasional bagi acara tersebut.

Menariknya, Izlyn sebenarnya adalah pemegang rekod nasional bagi acara tersebut dengan catatan masa 13.87 saat.

Waktu itu dicatatkannya semasa Sukan SEA Hanoi sekitar sebulan lalu, sekali gus memecahkan rekod nasional sebelum ini yang juga dicatatkannya sendiri iaitu 13.88 saat.

Selain akan menyertai acara lari berganti-ganti wanita 4 x 100 meter semasa Sukan Komanwel, Izlyn juga akan beraksi dalam acara lari berpagar 100 meter, acara "kuat" bagi dirinya.

"INTENSITI LATIHAN SEMAKIN MEMBARA"

Bagi mempersiapkan para atlit untuk temasya Sukan Komanwel, intensiti latihan juga semakin meningkat.

Bagi Izlyn, selain daripada perlu menghadiri latihan bersama pasukan lari berganti-ganti, dia juga perlu meningkatkan intensiti latihan peribadinya.

Dia kini berlatih lima hari seminggu bersendirian di samping berlatih pada hari Sabtu bersama pasukan lari berganti.

Rejim latihannya termasuk berlatih di gimnasium dua kali seminggu, berlari pecut, berlari pagar dan memperbaiki daya ketahanan sekali seminggu, dua jam setiap hari.

Izlyn berkata: "Intensiti latihan kini semakin membara. Misalnya kalau pada bukan musim pertandingan, setiap latihan saya berlari 400 meter sebanyak lapan kali, tidak kira waktunya tetapi menjelang kejuaraan ini, intensiti meningkat. Saya perlu berlari 200 meter berkali-kali, dan perlu mencapai masa yang tertentu dengan waktu rehat yang minimum."

Apabila ditanya tentang harapan pasukan lari berganti wanita semasa Sukan Komanwel kelak, Izlyn berkata: "Dengan dinamik pasukan kami sekarang ini, kita berharap untuk sekurang-kurangnya capai waktu yang dekat dengan waktu terbaik musim ini sebab kita selalu cuba untuk memperbaiki catatan waktu."

"Dalam acara itu nanti kita harap akan dapat capai giliran baton yang kemas dan mencatatkan masa yang baik," tambah Izlyn.

Pasukan atletik negara akan menampilkan seramai 14 atlit yang akan beraksi dalam 13 acara berlainan di Sukan Komanwel.

Sebelum ke Birmingham, United Kingdom bagi temasya sukan itu, mereka akan ke Sweden dahulu untuk latihan dan pertandingan dari 23 hingga 31 Julai.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan