Jagaan paliatif lebih awal dirintis; bantu pesakit, penjaga tangani penyakit ginjal kronik
Singapura merancang untuk menawarkan jagaan paliatif (jagaan akhir hayat) lebih awal kepada pesakit yang menghidap penyakit ginjal kronik pada tahap lanjut.
- Singapura memperkenalkan program jagaan paliatif awal untuk pesakit ginjal kronik tahap lanjut, disokong dana S$9 juta dari Yayasan Lien.
- Program ini menyasarkan lebih 5,000 pesakit dalam tempoh empat tahun dan melibatkan kerjasama NUH, SGH, TTSH serta NKF.
- Pesakit kini boleh memilih untuk tidak menjalani dialisis dan beralih kepada penjagaan masyarakat atau hospis mengikut keperluan mereka.
- Langkah ini bertujuan meningkatkan mutu jagaan pesakit dari segi perubatan, emosi, psikologi dan kehidupan harian.
Program tersebut bertujuan untuk membantu lebih 5,000 pesakit ginjal dalam tempoh empat tahun, berkat sumbangan Yayasan Lien sebanyak S$9 juta.
Menurut yayasan tersebut, program itu akan meningkatkan mutu jagaan pesakit dengan memastikan keperluan mereka dipenuhi bukan sahaja dari segi perubatan, tetapi juga emosi, psikologi dan keupayaan untuk menjalani kehidupan harian.
Penyakit buah pinggang kini menjejas 14 peratus daripada penduduk Singapura, dan diunjurkan akan mencecah satu daripada setiap empat orang menjelang 2035.
Menurut kaedah sedia ada, pesakit ginjal sama ada menjalani dialisis di rumah atau mendapatkan rawatan di pusat dialisis.
Di bawah program baharu nanti, pesakit kronik boleh memilih untuk tidak menjalani dialisis, bahkan memilih untuk menghentikan rawatan, dan sebaliknya beralih kepada penyedia penjagaan masyarakat dan paliatif.
Penyedia khidmat sedemikian termasuk Pusat Penuaan Aktif atau hospis, bergantung kepada keperluan pesakit.
Disokong oleh Yayasan Lien, program tersebut melibatkan Hospital Universiti Nasional (NUH), Hospital Besar Singapura (SGH), Hospital Tan Tock Seng (TTSH) dan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.