Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jagaan kesihatan penduduk diurus ikut daerah; lebih banyak inisiatif masyarakat SG Yang Lebih Sihat

Anggaran Waktu Membaca:
Jagaan kesihatan penduduk diurus ikut daerah; lebih banyak inisiatif masyarakat SG Yang Lebih Sihat

Gambar fail sebuah poliklinik di Singapura.

SINGAPURA: Kumpulan-kumpulan jagaan kesihatan awam di Singapura akan menjadi "pengurus kesihatan daerah" untuk menjaga para penduduk berdasarkan lingkungan geografi kelompok itu dan menjalankan lebih banyak intervensi masyarakat di bawah inisiatif SG Yang Lebih Sihat, menurut Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Isnin (26 Sep).

Encik Ong memberikan lebih banyak perincian mengenai SG Yang Lebih Sihat selepas Kertas Putih mengenai strategi inisiatif tersebut diserahkan kepada Parlimen pada minggu lalu.

Kertas Putih itu akan dibahaskan di Parlimen pada bulan depan.

SG Yang Lebih Sihat bermatlamat untuk menggalak rakyat Singapura bersikap lebih bertanggungjawab terhadap jagaan kesihatan mereka sendiri, melibatkan penduduk untuk mendaftar dengan seorang doktor - baik doktor swasta (GP) mahupun doktor poliklinik - yang akan menyokong penduduk dalam keperluan kesihatan sepanjang hayat mereka.
 
Setakat ini, Singapura mempunyai tiga kumpulan jagaan kesihatan awam: Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS), yang mengendalikan hospital dan politeknik di bahagian barat Singapura, Kumpulan Jagaan Kesihatan Kebangsaan (NHG) di bahagian tengah dan SingHealth di bahagian timur negara ini.

"Sebagai pengurus kesihatan daerah, misi sesebuah kumpulan adalah untuk menjaga kesihatan para penduduk di bawah jagaan berdasarkan lingkungan geografi (kumpulan itu)," kata Encik Ong sambil menambah bahawa misi kumpulan tersebut bukan sekadar hanya mengendalikan hospital dan poliklinik saja.

"Kumpulan-kumpulan jagaan kesihatan sudahpun melaksanakan intervensi kesihatan dalam masyarakat hari ini, tetapi peranan itu akan diperluaskan dalam masa beberapa tahun akan datang, dari bahagian yang agak kecil daripada usaha kumpulan itu kepada bahagian yang agak ketara pada masa akan datang."

Menurut Encik Ong, kementeriannya perlu bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan jagaan kesihatan awam untuk mengambil perspektif yang "strategik, menyeluruh dan berperingkat" dalam usaha untuk memperbaiki kesihatan para penduduk Singapura.

Ini bermakna mengenal pasti "penentu sosial kesihatan" atau pelbagai faktor dalam kehidupan manusia yang boleh menjejaskan kesejahteraan fizikal, emosi dan mental mereka, termasuk persekitaran kehidupan fizikal, pendidikan, pekerjaan dan pilihan makanan mereka.

MOH dan kumpulan-kumpulan jagaan kesihatan kemudiannya perlu melibatkan para rakan kongsi masyarakat untuk membimbing pembangunan kesihatan penduduk, ujar Encik Ong.

Tambah beliau lagi, konsep-konsep seumpama itu bukan baru bagi kumpulan-kumpulan jagaan kesihatan tersebut, yang sudahpun berbuat demikian. MOH bagaimanapun merasmikan dan memperluaskan usaha tersebut.

"Ini termasuk mengembangkan Petunjuk Prestasi Utama anda bagi menunjukkan kesihatan penduduk dan penjagaan pencegahan dengan lebih ketara," kata Encik Ong semasa berucap di Anugerah Kecemerlangan Perubatan Nasional yang diadakan setiap tahun bagi para karyawan jagaan perubatan.

Bagi para penduduk yang mungkin sudah menjalinkan hubungan dengan para doktor dalam kumpulan dan hospital di luar kawasan perumahan mereka , MOH akan melakukan pemindahan belanjawan antara kumpulan-kumpulan jagaan kesihatan pada sistem bahagian belakang pada setiap hujung tahun untuk mengambil kira corak penggunaan berbeza penduduk.

Dengan itu, para penduduk tidak perlu dihadkan kepada hospital-hospital di bawah sesebuah kumpulan yang menjaga kawasan geografi kediaman mereka.
 
Sumber : CNA/SS/ss

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan