Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jaga perpaduan sosial semasa masa aman demi bina masyarakat berdaya tahan semasa krisis: Dr Faishal

Masyarakat Singapura perlu sentiasa menjaga perpaduan sosial di waktu aman untuk membina masyarakat yang bersatu padu dan berdaya tahan yang dapat mengharungi krisis. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Masyarakat Singapura perlu sentiasa menjaga perpaduan sosial di waktu aman untuk membina masyarakat yang bersatu padu dan berdaya tahan yang dapat mengharungi krisis. 

Demikian menurut Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim di acara perbincangan meja bundar anjuran Taman Bacaan petang tadi (16 Jul).

Perbincangan bertajuk "Mengukuhkan Perpaduan Sosial melalui Pembinaan Keamanan" itu disertai para mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang (NTU), anggota Kumpulan Pemulihan Agama (RRG) dan Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi (ACG) dan beberapa pemimpin masyarakat.

GOLONGAN BELIA MAIN PERANAN PENTING DALAM MEMUPUK PERSEFAHAMAN 

Dalam ucapannya, Dr Faishal menarik perhatian bagaimana pandemik COVID-19 telah menimbulkan cabaran-cabaran baru dalam landskap keselamatan Singapura. 

Dr Faishal berkata: "Di tengah-tengah COVID-19, ancaman ekstremisme dan pengganasan terus berkembang dan membimbangkan. Penyebaran ideologi radikal secara online telah mencetuskan ancaman radikalisasi diri di Singapura. Sejak 2015, 45 individu – 33 warga Singapura dan 12 warga asing –  menjadi radikal sendiri dan diberi Perintah Penahanan atau Perintah Sekatan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Pemerintah, kata beliau, tidak boleh melawan ancaman pengganasan sendirian. 

"Walaupun agensi keselamatan kita boleh mengambil tindakan operasi terhadap kumpulan pelampau atau individu yang menjadi radikal, Pemerintah memerlukan anggota masyarakat, termasuk golongan belia, untuk menjadi "mata dan telinga" untuk melaporkan individu yang mencurigakan sebelum mereka menjadi lebih terpengaruh dengan radikalisme" jelas Dr Faishal.  

Di samping itu, golongan muda boleh memainkan peranan penting dalam membina jambatan dan memupuk persefahaman di kalangan kumpulan kaum dan agama yang berbeza untuk memelihara keharmonian masyarakat Singapura. 

Menurut beliau, ini bagi memastikan masyarakat dapat bersatu padu sekiranya berlaku serangan pengganas di negara ini. 

Dalam laporan tahunan terbarunya mengenai ancaman pengganasan, ISD memberi amaran ancaman terhadap Singapura kekal tinggi, meskipun tiada risikan khusus akan berlaku serangan pengganas di negara ini dalam masa terdekat.

Berucap di acara yang sama, Presiden Taman Bacaan Abdul Halim Kader pula berkata teknologi baru telah mewujudkan wacana sosial di mana generasi muda sangat terlibat dan mudah dipengaruhi. 

"Penerimaan teknologi mesti dilakukan dengan teliti serta  bimbingan dan pendekatan yang betul, supaya generasi muda akan bersedia untuk mendakapi pendigitalan yang amat diperlukan, tanpa mengasingkan diri mereka daripada ibu bapa dan rakan mereka, mewujudkan jurang sosial serta masalah sosial yang lain," kata Encik Halim. 

Taman Bacaan merancang untuk menganjurkan satu lagi  sesi  perbincangan meja bundar bersama golongan belia dari badan-badan Melayu/Islam lewat tahun ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan