Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jaga Kesihatan, Jaga Ummah 'contoh baik' kerjasama MOH dengan masyarakat

Kegiatan menggalakkan kesihatan masyarakat Jaga Kesihatan, Jaga Ummah (JKJU) berjaya mendampingi lebih 35,000 peserta Melayu tahun lalu, menurut Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan Amrin Amin pada Khamis (5 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Jaga Kesihatan, Jaga Ummah 'contoh baik' kerjasama MOH dengan masyarakat

Encik Amrin Amin (tengah) berinteraksi dengan para peserta Seminar Pelan Kerja Jaga Kesihatan Jaga Ummah. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

SINGAPURA: Kegiatan menggalakkan kesihatan masyarakat Jaga Kesihatan, Jaga Ummah (JKJU) berjaya mendampingi lebih 35,000 peserta Melayu tahun lalu, menurut Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan Amrin Amin pada Khamis (5 Mac).

JKJU, yang dianjurkan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) serta 28 masjid dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC), juga adalah "contoh baik" yang memperkasa institusi masyarakat dan menggerak orang ramai supaya menjaga kesihatan.

Rakan-rakan masyarakat lain yang turut bekerjasama termasuk Masjid Maarof dan Masjid Ansar.

Masjid Maarof menganjurkan kegiatan piloxing, zumba dan sketsa mengenai menangani demensia, dan menggesa jemaah menggantikan sebatang rokok dengan karipap kurang kalori menerusi program "Puff for a Puff".

Masjid Ansar pula menawarkan senaman bagi warga emas.

Encik Amrin berkata Sistem Kesihatan Daerah (RHS) juga akan bekerjasama dengan JKJU bagi membawa lebih banyak program bermutu dan meningkatkan lagi usaha mendampingi masyarakat.

RINTIS "PASPORT HIDUP SIHAT" PERTENGAHAN 2020

Sehubungan itu, HPB akan menjalankan projek rintis "Pasport Hidup Sihat" pada pertengahan tahun ini.

Ia bermatlamat meningkatkan gaya hidup sihat khusus bagi keluarga berpendapatan rendah.

Sasarannya untuk mendampingi sekurang-kurangnya 5,000 keluarga bagi tempoh tiga tahun.

Ia akan dimulakan di lima kawasan di Boon Lay, Woodlands, Jurong Spring, Chua Chu Kang dan MacPherson.

"Keluarga berpendapatan rendah mempunyai keprihatinan khusus. Mereka berkongsi dengan kami tentang waktu bekerja, tidak cukup tidur dan ketinggalan pelbagai program masyarakat. Mereka berkongsi makanan sihat seperti vitamin, sayur-mayur dan pilihan rendah kalori lebih mahal. Mereka juga berkongsi tekanan sebagai satu keprihatinan dan ramai yang merokok untuk melepaskan stres.

"Kami tidak boleh mengetepikan keprihatinan ini. Kami sedang cuba menanganinya. Kami mendengar anda," jelas Encik Amrin.

Lantaran itu, peserta Pasport Hidup Sihat akan dibekalkan dengan cara membeli bahan dan hidangan lebih sihat, serta menggalak kegiatan fizikal.

Para sukarelawan HealthySG Buddies akan menggalak dan menyokong keluarga menggunakan Pasport Hidup Sihat ini dan menjalani hidup yang bermakna.

Sumber : BERITA Mediacorp/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan