Jaga Kesihatan, Jaga Ummah akan dipertingkat, jumlah penerima anugerah naik seganda
SINGAPURA: Lebih banyak aktiviti boleh dijangkakan tahun ini bagi menggalak gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat Melayu.
Ini menerusi sesi perbincangan rakan kerja dan pengiktirafan baharu yang diperkenalkan dalam Acara Sihat Bersama Jaga Kesihatan, Jaga Ummah (JKJU) 2024 oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) pada Sabtu (20 Jan).
Dipanggil Anugerah Saham Kesihatan, ia bertujuan menggalak rakan-rakan kerjasama JKJU untuk menganjurkan lebih banyak program masyarakat yang menggalak kesihatan.
Ia termasuk sesi-sesi senaman berkumpulan serta persidangan kesihatan untuk para penduduk dan jemaah masjid.
Tahun ini, tiga rakan kerja JKJU diiktiraf dengan anugerah tersebut atas usaha mereka menganjurkan program-program Saham Kesihatan kendalian masyarakat sendiri dan berjaya menarik jumlah peserta yang terbesar.
Mereka adalah M³@Woodlands, M³@Bedok dan MUIS.
JUMLAH PENERIMA ANUGERAH NAIK DUA KALI GANDA
Dalam acara yang sama, seramai 99 rakan kerja dan individu cemerlang JKJU diiktiraf.
Jumlah itu dua kali ganda berbanding jumlah penerima pada 2022.
"Hari ini, kita diberikan penghormatan mengiktiraf 99 penerima, termasuk M³@Bandar, masjid-masjid, MAEC, badan-badan Melayu Islam, serta individu yang menggalak gaya hidup sihat secara aktif dan membuat aktiviti ini mudah diakses untuk masyarakat Melayu/Islam," kongsi Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli.
"Ini sebenarnya dua kali ganda jumlah penerima dalam acara JKJU sebelum ini pada 2022 yang menunjukkan lebih ramai rakan-rakan kerjasama dan individu tampil ke hadapan untuk mempertingkatkan lagi akses dan kemudahan program-program gaya hidup sihat dalam masyarakat dan mendekati penduduk untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat," tambah beliau.
PEJUANG KESIHATAN DIIKTIRAF, ANJUR SESI QIGONG DAN JALAN PANTAS
Antara yang menerima pengiktirafan hari ini (20 Jan) termasuk Muhd Iylia Mohd Shukor, 29 tahun.
Bertekad untuk bantu masyarakat Melayu/Islam tangani isu-isu kesihatan, Encik Iylia bekerjasama dengan rakan-rakan masyarakat bagi menganjurkan kegiatan gaya hidup sihat untuk masyarakat seperti senaman Qigong dan jalan pantas di bawah Saham Kesihatan.
"Alhamdulillah, dengan aktiviti-aktiviti yang kita telah buat di M³@Geylang Serai, kita telah melihat bahawa ada lebih ramai penduduk yang telah mengikuti kita dan juga berasa gembira kerana dengan aktiviti-aktiviti yang mereka telah buat, mereka telah sedar bahawa mereka dapat menjalani gaya hidup yang sihat dengan aktiviti-aktiviti ini," kongsi Encik Iylia kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
Selain itu, untuk menggalak masyarakat mengambil bahagian dalam kegiatan-kegiatan itu, Encik Iylia memulakan satu kumpulan WhatsApp untuk berkongsi maklumat tentang kegiatan-kegiatan gaya hidup sihat akan datang dengan ahli kumpulan itu.
"Dalam lagi dua bulan, Ramadan akan tiba dan ia adalah bulan di mana kita boleh mendapatkan lebih ramai orang ke masjid dan juga ke Kelab Masyarakat dan kita boleh menggalak mereka untuk menyertai aktiviti-aktiviti untuk kesihatan mereka," ujar Encik Iylia berhubung usaha beliau melangkah ke hadapan.
PESERTA SAHAM KESIHATAN ALU-ALUKAN USAHA ITU
Dalam pada itu, usaha-usaha untuk melazimkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam amat dialu-alukan peserta Saham Kesihatan yang meraih pelbagai manfaat daripadanya seperti Cik Ithniah Ismail, 60 tahun.
Beliau menyertai sesi 12 minggu Saham Kesihatan anjuran M³@Marsiling-Yew Tee pada September tahun lalu.
"Bila saya menyertai program gaya sihat, saya mendapati yang ia sangat holistik, sangat menyeluruh, bukan sahaja dari segi pemakanan, kesihatan, gaya hidup sihat, ia juga mengetengahkan aspek gangguan tidur yang jarang orang mengatakan tentangnya serta demensia-vaskular terutama untuk orang-orang yang lanjut usia dan juga Perancangan Awal Jagaan untuk diri kita bila kita jatuh sakit, bagaimana keluarga itu menanganinya," kongsi Cik Ithniah.
Malah, beliau juga dapat luaskan rangkaian kenalan baharu selepas menyertai program tersebut.
"Sekarang kita ada satu kumpulan WhatsApp yang mengesyorkan kita supaya kita cuba masuk siri kedua (program itu) juga, untuk peserta-peserta lain memberi mereka lebih semangat untuk meneruskan sesi dan menyertai program ini," ujar Cik Ithniah.
USAHA AKAN DIPERTINGKAT DENGAN SOKONGAN RAKAN KERJA
Acara Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) pada Sabtu (20 Jan) juga menghimpunkan rakan-rakan masyarakat dan kerjasama JKJU untuk bincangkan bagaimana usaha itu boleh dipertingkatkan lagi agar isu kesihatan menjadi keutamaan masyarakat Melayu/Islam Singapura.
"Apa yang kita ingin lihat adalah aktiviti yang lebih meluas, maknanya peningkatan dalam jumlah dari segi rangkaian JKJU. Diharapkan lebih ramai rakan kerjasama akan berusaha sama dengan kita untuk memajukan usaha ini. Selain daripada itu, tentu sekali dengan adanya SG Lebih Sihat, kita juga ingin seiring jalan menggalakkan gaya hidup yang lebih sihat dan perkara-perkara lain yang dapat membantu dalam mengukuhkan kesihatan masyarakat kita," kongsi Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan, Rahayu Mahzam.
Ditanya bagaimana keberkesanan usaha-usaha itu dapat diukur, ini jawapan Cik Rahayu:
"Sebenarnya untuk hasil kesihatan yang dapat kita lihat akan mengambil masa kerana ini semua memakan tahun kalau kita lakukan sesuatu yang baik kita dapat lihat rangkanya dalam masa yang akan datang tetapi apa yang kita harapkan melalui rangka kerja yang kita ada, adanya rangka kerja untuk kita letakkan orang kata, sasaran dan juga peratusan, penglibatan untuk setiap bandar dan diharapkan ini dapat menggalakkan setiap bandar untuk mengecap sasaran itu dan secara am dapat meningkatkan kesedaran dan juga penglibatan dalam acara-acara kesihatan."
KESIHATAN MENTAL JUGA DIBERI TUMPUAN
Selain kesihatan fizikal, kesihatan mental juga menjadi " salah satu teras" dalam usaha Bidang Tumpuan 5 di mana beliau berkongsi tentang usaha-usaha yang sedang dijalankan buat masa ini.
"Dalam kita menggalakkan masyarakat kita untuk menjaga kesihatan fizikal, kita juga tidak lupakan tentang kesihatan mental mereka dan ini juga selari dengan Strategi Kesihatan Mental dan Kesejahteraan Nasional yang telah yang telah diumumkan tahun lepas. Kita ada sumber-sumber yang dapat juga kita gunakan untuk masyarakat Melayu/Islam," ujar Cik Rahayu.
"Khususnya, di M³ kita juga ada Dr Wan Rizal yang telah pun memperkenalkan program Bangkit Bersama misalnya dan ini adalah satu contoh di mana dalam satu masyarakat itu, kita boleh adakan usaha atau aktiviti untuk meningkatkan kesedaran dan juga memberikan sumber-sumber bantuan kepada mereka yang mungkin perlukan informasi dan bantuan dalam aspek ini," tambahnya.
Sepanjang tahun lalu, lebih 500 peserta mengambil bahagian dalam program-program Saham Kesihatan di bandar-bandar M³.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.