Skip to main content

Singapura

Jaga kesihatan adalah satu tanggungjawab agama: Dr Nazirudin

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seawal jam 6.45 pagi lagi, sekitar 500 orang awam sudah mula berkumpul di Masjid Al-Istighfar bagi menyertai satu sesi riadah dan senaman bersama Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir.

Acara ‘Move with Mufti’ itu kembali diadakan setelah menerima sambutan baik dalam edisi pertamanya pada 2023 di bahagian barat Singapura.

Kali ini, Dr Nazirudin cuba mendampingi para jemaah di sebelah timur negara pula dan menjelajah sekitar Taman Pasir Ris.

"Acara ‘Move with Mufti’ ini sebagai salah satu usaha untuk kita menggalakkan lebih gaya hidup sihat sebagai sebahagian daripada ciri keagamaan kita dan tanggungjawab keagamaan kita," kata Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir.

"Acara seperti ini penting untuk kepimpinan keagamaan dan Majlis Ugama Islam Singapura untuk menganjurkan kerana ia memberikan satu simbol dan petanda yang berbeza di mana ia mengaitkan di antara menjaga kesihatan dan kecerdasan tubuh badan dengan kehidupan beragama masyarakat," tambahnya lagi.
Related article image
Acara ini merupakan sebagai satu peluang untuk Dr Nazirudin beramah mesra dengan para jemaah dalam acara yang lebih santai. (Gambar: Hidir Ezat)
JAGA KESIHATAN – SATU TANGGUNGJAWAB AGAMA

Dr Nazirudin juga menekankan bahawa menjaga kesihatan itu merupakan satu tanggungjawab agama.

"Saya harap acara ini dapat menyebarluaskan lagi mesej kepada setiap lapisan masyarakat kita bahawa menjaga kesihatan masing-masing adalah satu tanggungjawab agama yang boleh kita saling nasihat menasihati dan bantu membantu dan juga saling dorong mendorong," kata Dr Nazirudin.

Selain itu, beliau juga berharap bahawa masyarakat Melayu/Islam Singapura akan meneruskan semangat untuk jaga kesihatan masing-masing serta mengeratkan lagi hubungan sesama mereka.

Bagi dirinya sendiri, ini satu peluang untuk beramah mesra dengan para jemaah dalam acara yang lebih santai.

"Biasanya saya berkesempatan mendekati masyarakat dalam platform-platform yang agak serius dalam perbicaraan ataupun penyampaian ucapan tazkirah tapi acara seperti ini adalah cara yang membolehkan kita mendampingi masyarakat dengan lebih santai lagi, dengan lebih mesra dan melalui aktiviti sedemikian, sukan secara umumnya, jalinan hubungan kemanusiaan itu lebih kuat, ikhlas dan semula jadi," kata Dr Nazirudin.
Related article image
JALAN BERAMAI-RAMAI SEJAUH 10 KILOMETER

Para peserta turut memberi maklum balas yang positif dan berharap acara itu dapat diteruskan.

"Kami rasa begitu ghairah juga sebab bukan selalu boleh jumpa Mufti bukan? Lagipun acara yang baik sebab boleh beriadah, boleh bersenam pagi-pagi ini,” kata seorang peserta, Ariff Hussain.

"Ini merupakan peluang pertama untuk kami membawa anak-anak kerana kami tidak pernah hadiri acara seperti ini bersama mereka. Jadi ini adalah peluang yang bagus untuk kita membawa mereka untuk berinteraksi dengan orang ramai," kata seorang lagi peserta, Hanif Hussain.

Mufti berserta kira-kira 500 peserta berlari-lari anak dan berjalan sejauh 10 kilometer dari Masjid Al-Istighfar ke Taman Pasir Ris dan kembali semula ke masjid yang terletak di Pasir Ris Drive 3 itu.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita