Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jaga keamanan S'pura: ASP Muhsin, CI(2) Juraimi antara penerima Anugerah Hari Kebangsaan MHA

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih 920 pegawai Kementerian Ehwal Dalam Negeri menerima pingat Anugerah Hari Kebangsaan 2021 MHA hari ini (24 Feb). 

32 daripada mereka menerima Pingat Pentadbiran Awam (PPA) kategori Emas, Perak atau Gangsa. Ia diberikan kepada para pegawai yang membuat sumbangan khas dengan kepentingan negara melebihi tugas mereka.

Anugerah-anugerah lain yang dikeluarkan termasuklah Pingat Kepujian, Pingat Kecekapan dan Pingat Bakti Setia. 

Semasa menyampaikan anugerah-anugerah tersebut, Menteri Ehwal Dalam Negeri (MHA) merangkap Menteri Undang-undang, K Shanmugam, menarik perhatian bahawa lebih 90 peratus rakyat Singapura yang ditinjau tahun lalu menyatakan para pegawai MHA memenuhi misi untuk menjadikan Singapura selamat.

Encik Shanmugam turut menekankan betapa kerja para pegawai Home Team bergantung kepada kepercayaan rakyat, untuk menjalankan tugas-tugasnya dengan berkesan. 

"Saya pernah berkongsi tentang bagaimana sebilangan individu cuba melunturkan nama baik agensi-agensi kami dan cuba merosakkan kepercayaan terhadap Home Team dan bagaimana kita menanganinya?" ujar Encik Shanmugam.
 
"Sejauh ini, kami menanganinya dengan baik. Kami akan berdepan dengan lebih banyak cabaran dalam memelihara undang-undang dan ketenteraman awam tanpa sokongan rakyat Singapura. Jadi sangat mengalakkan bahawa tahun demi tahun, kami mendapat keyakinan kuat orang awam."  

Selain itu, para pegawai diseru untuk sentiasa memperbaiki diri, memelakukan perubahan dan membuat pembaharuan. 

ASP MUHSIN RAZAK TERIMA PINGAT KECEKAPAN

Di kalangan 216 penerima Pingat Kecekapan termasuklah ASP Muhsin Razak atas sumbangannya sebagai Pegawai Bertanggungjawab (OC) dalam Pasukan Operasi Khas Unit Taktikal Polis (PTU).

(Gambar: SPF)

ASP Muhsin, 35 tahun, pernah menjadi antara orang penting acara bersejarah global iaitu Sidang Puncak Korea Utara-Amerika Syarikat yang diadakan di negara ini pada 2018.

Beliau menyelia Pasukan Tindak Balas Pantas (RDT) di sekeliling Hotel Capella semasa Sidang Puncak itu, serta memikul tugas penting memastikan perjumpaan itu berjalan lancar.

Ini bagi memastikan keselamatan Encik Kim Jong Un dan Donald Trump terjamin sedang perhatian dunia tertumpu kepada Singapura selaku tempat rundingan.

"Sebagai Ketua RDT, saya harus memberikan taklimat kepada pegawai-pegawai saya supaya mereka mengetahui peranan mereka dalam menjalankan tugas ini," kongsi ASP Muhsin.

"Selain itu, saya harus menentukan peranan-peranan mereka semasa acara ini dan memastikan mereka mahir dalam menjalani tugas," tambah beliau lagi. 

(Gambar: SPF)

Selama bertugas sebagai seorang OC, antara cabaran yang dihadapi oleh ASP Muhsin ialah memastikan beliau dapat membina dan merealisasikan potensi para pegawainya.

"Ada di antara mereka yang tidak tahu akan potensi mereka dan tidak begitu yakin untuk menunjukkan keupayaan mereka," kata beliau.

"Jadi sebagai ketua, saya perlu membimbing mereka untuk menjadi lebih yakin. Ini merupakan satu visi yang saya ada sebagai ketua, kerana saya ingin pegawai-pegawai saya menjadi ketua juga pada masa hadapan." 

Dengan Pingat Kecekapan yang diterimanya ini, ASP Muhsin, yang kini bertugas sebagai seorang Jurulatih Pemimpin di Sekolah Latihan Kepimpinan dan Eksekutif, berazam untuk terus bekerja keras dan menyumbang kepada pertubuhannya. 

CI (2) JURAIMI SAMAT TERIMA PINGAT ANUGERAH BAKTI SETIA

Seorang lagi pegawai MHA yang diiktiraf dalam majlis ini ialah Inspektor Pusat Pemeriksaan, CI (2) Juraimi Samat.

(Gambar: ICA)

Beliau merupakan antara 643 pegawai yang menerima Anugerah Bakti Setia kerana sudah berkhidmat selama 25 tahun di Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA). 

Pelbagai kes sudah dikendalikan pegawai berusia 48 tahun dan luas pengalaman itu.

Kes yang paling sukar dilupakannya semasa menjadi pegawai penyiasat ialah membongkar kes penggunaan pasport palsu oleh seorang warga Nigeria.  

Menurutnya, warga Nigeria itu bukan sahaja cuba memasuki Singapura menggunakan pasport Ghana yang palsu, tetapi juga terlibat dalam kes pencerobohan dan dikehendaki polis. 

"Semasa disiasat, dia didapati mempunyai beberapa pasport lain dengan nama berbeza. Namun, dia tidak memberi kerjasama dan menafikan setiap tuduhan kesalahan," cerita CI (2) Juraimi.  

(Gambar: ICA)

"Dengan kegigihan dan semangat kami sebagai penyiasat yang terlatih dan berpengalaman, warga negara Nigeria itu akhirnya mengaku bersalah," kongsi beliau lagi.

CI (2) Juraimi, yang kini memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pasukan di Pusat Pemeriksaan Tuas, menyifatkan kes itu sebagai sesuatu yang memberinya "kepuasan" dalam menjaga keselamatan dan keamanan Singapura. 

(Gambar: Juraimi Samat)

SOKONGAN KELUARGA, RAKAN KERJA JADI DORONGAN TERUS BERKHIDMAT 

Apabila ditanya apa yang mendorongnya setia berkhidmat selama 25 tahun kepada ICA, CI (2) Juraimi menjawab bahawa sokongan keluarga serta keseimbangan yang dapat dinikmati antara kerja dan kehidupannya menjadi antara faktornya. 

Sistem sokongan yang ada dalam kalangan rakan-rakan sekerja turut menjadi dorongan. 

"Kesemua rakan kerja saya mesra dan tidak teragak-agak untuk membantu, tidak kira umur mahupun pangkat. Ini amat mustahak bagi kami bersama-sama mengharungi cabaran dalam pekerjaan seharian kami," ujar beliau. 

Bagi CI (2) Juraimi, pingat Bakti Setia ini menjadi satu perangsang dan contoh bagi anak perempuannya, sekali gus memberinya semangat untuk terus berkhidmat dengan lebih gigih lagi demi mempertahankan keselamatan dan keamanan Singapura.

Sumber : BERITA Mediacorp/NJ/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan