Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jadual kerja doktor baru disemak, antara langkah untuk perbaiki kesejahteraan pekerja jagaan kesihatan

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 09 Mar 2022 06:42PM Dikemas Kini : 09 Mar 2022 08:47PM

SINGAPURA: Semakan terhadap jadual kerja doktor baru merupakan antara langkah yang diambil untuk membaiki kesejahteraan pekerja jagaan kesihatan. 

Demikian menurut Menteri Negara Kanan Kesihatan Koh Poh Koon pada Rabu (9 Mac). 

Cabaran yang dihadapi pekerja jagaan kesihatan menjadi tumpuan sejak pandemik COVID-19 melanda. Namun, sebelum berlaku pandemik, penduduk yang semakin menua dan penyakit kronik sudah meningkatkan permintaan bagi tenaga pekerja jagaan kesihatan, kata Dr Koh semasa Perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Kesihatan (MOH). 

Satu kumpulan khusus yang menarik perhatian adalah doktor baru, yang harus melakukan syif malam yang panjang, katanya lagi. 

Garis panduan Majlis Perubatan Singapura (SMC) menetapkan bahawa doktor baru boleh bekerja sehingga 80 jam seminggu, termasuk syif malam tidak melebihi 24 jam, dengan sehingga enam jam selepas itu untuk menyerahkan kerja  jalani latihan. Ini mengikut saranan Majlis Pentauliahan Amerika Syarikat (AS) untuk Pendidikan Lulusan Perubatan. 

Namun, tinjauan menunjukkan bahawa 20 peratus doktor baru bekerja lebih 80 jam seminggu yang ditetapkan. Ini mungkin disebabkan oleh jenis kerja klinikal di jabatan-jabatan tertentu atau permintaan untuk mereka bertugas, kata Dr Koh. 

"Tekanan yang dialami doktor baru hari ini mencerminkan keperluan yang lebih meluas bagi perubahan terhadap aturan pelaksanaan jagaan yang sedia ada," katanya lagi. 

"Tidak kira sama ada syif itu sepanjang 24 jam atau 30 jam, apa yang nyata adalah kami tidak seharusnya memberi tekanan melebihi apa yang termampu dari segi fisiologi dan apa yang mungkin menjejas keselamatan pesakit." 

Walaubagaimanapun, Dr Koh juga memberi amaran bahawa menyifatkan isu tersebut hanya sebagai isu waktu bekerja "terlalu mudah" dan tidak mengenal pasti punca utama masalah berkenaan. 

Sebagai langkah pertama, MOH telah menubuhkan sebuah jawatankuasa kesejahteraan bagi doktor-doktor muda, kata Dr Koh. 

Diketuai bersama oleh doktor kanan kelompok jagaan kesihatan dan MOH, tugas jawatankuasa itu ialah untuk menyemak dan menyarankan perubahan kepada amalan dan garis panduan jagaan kesihatan yang sedia ada. 

Ia akan memberi tumpuan kepada usaha  mempertingkatkan kesejahteraan doktor muda dari tiga sudut utama, iaitu struktur kerja dan norma waktu bekerja, pengembangan kerjaya dan latihan serta menggalak budaya di mana mereka berasa selamat untuk berbincang tentang isu-isu berkaitan keselamatan dan kesejahteraan mereka. 

"Isu-isu ini rumit dan bertujuan untuk mengubah amalan yang sudah wujud buat sekian lamanya," kata Dr Koh, sambil menambah bahawa MOH berazam untuk mengemukakan saranan-saranan awal menjelang pertengahan tahun ini "agar beberapa langkah dapat segera dilaksanakan". 

Saranan dijangka dimuktamadkan menjelang awal tahun depan. 

MOH juga sedang bekerjasama dengan kelompok-kelompok jagaan kesihatan untuk menyemak dan memperbaiki saluran maklum balas pekerja, kata Dr Koh lagi. Terdapat rancangan untuk melantik seorang pegawai kesejahteraan dalam setiap kelompok untuk menyelia dan melaksanakan perubahan yang diperlukan bagi sistem tersebut. 

Ia juga sedang meneliti semula norma pengambilan pekerja dalam sistem jagaan kesihatan awam untuk memperkukuhkan daya tahan terhadap kejutan-kejutan masa depan dan menangani dengan lebih baik lagi turun naik permintaan dalam beban pekerjaan, tambah Dr Koh. 

KUMPULAN PERIKATAN TIGA PIHAK TERHADAP PENDERAAN 

Di tengah-tengah meningkatnya jumlah kes penderaan terhadap pekerja jagaan kesihatan, MOH akan menubuhkan sebuah kumpulan kerja perikatan tiga pihak untuk memperbaiki kedaan. 

Kumpulan kerja tersebut akan mempelopori usaha bersepadu negara untuk mencegah penderaan dan gangguan terhadap  pekerja jagaan kesihatan dalam sektor awam, privet dan jagaan masyarakat. 

Ia termasuk wakil dari MOH, Kesatuaan Pekerja Khidmat Jagaan Kesihatan, kelompok jagaan kesihatan awam, rakan-rakan kerja jagaan masyarakat dan pengendali jagaan kesihatan privet. 

Jumlah kes dera dan gangguan naik daripada 1,080 pada 2018 kepada 1,500 pada 2021, namun perangkaan sebenarnya mungkin lebih tinggi lagi, kata Dr Koh. 

"Kebanyakan pekerja jagaan kesihatan mengamalkan sikap empati dan oleh itu, tidak selalu mengambil pendekatan undang-undang untuk melaporkan setiap kejadian," katanya.

"Namun, belas kasihan mereka tidak boleh disalahtafsirkan sebagai menerima penderaan atau gangguan terhadap mereka. Kita harus memastikan pekerja jagaan kesihatan berasa selamat dalam persekitaran tugas mereka." 

Dr Koh juga berkata untuk menghargai pekerja jagaan kesihatan, MOH memperluaskan Anugerah Jagaan Kesihatan mereka kepada pekerja luar, termasuk pekerja pembersihan dan pegawai keselamatan yang diberi kontrak oleh badan-badan kesihatan awam dan dibiayai oleh badan-badan jagaan masyarakat. 

"Walaubagaimanapun, rangsangan terhebat bagi pekerja jagaan kesihatan harus datang daripada sokongan dan penghargaan masyarakat awam Singapura," tambah Dr Koh. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan