Skip to main content

Singapura

Jadi inspirasi, peran contoh bagi kanak-kanak perempuan antara pencapaian 'paling memuaskan': Puan Halimah

Anggaran Waktu Membaca:
Jadi inspirasi, peran contoh bagi kanak-kanak perempuan antara  pencapaian 'paling memuaskan': Puan Halimah

Puan Halimah Yacob berkongsi tentang pengalaman beliau sebagai presiden. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 12 Sep 2023 10:31AM Dikemas Kini : 13 Sep 2023 02:11PM
SINGAPURA: Puan Halimah Yacob sedang menghadiri satu acara sempena Hari Angkatan Bersenjata Singapura pada Julai lalu apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, yang bapanya merupakan seorang penerima anugerah, menghampiri beliau.

"Dia memberitahu saya: 'Saya sangat berterima kasih kepada anda, Presiden Halimah. Anda sumber inspirasi buat saya, terima kasih atas semua yang sudah anda lakukan untuk negara ini, dan juga, kerana anda mewakili wanita'," cerita Puan Halimah.

"Bagi saya, insiden sebegini sangat berharga," kata Presiden kelapan Singapura yang berusia 69 tahun itu, dalam satu wawancara bersama CNA pada 5 Julai.

Dalam wawancara tersebut, yang disiarkan pada Selasa (12 Sep), Puan Halimah berkongsi tentang pengalaman beliau sepanjang menyandang jawatan Presiden, sambil berkata bahawa menjadi peran contoh kepada kanak-kanak perempuan yang mahu menjadi "pemimpin masa hadapan", adalah pencapaian paling memuaskan buat dirinya.

Interaksi dengan kanak-kanak 10 tahun itu hanya satu daripada banyak lagi insiden serupa di mana ada juga kanak-kanak memberikan kad khusus buat Presiden Halimah.

"Mereka mengucapkan terima kasih kepada saya, dan kemudian berkata mereka ingin menjadi seperti saya... Saya rasa ia benar-benar satu inspirasi sekiranya saya sudah berjaya menyemai harapan dalam diri kanak-kanak perempuan yang akan menjadi wanita, dan mungkin pemimpin masa hadapan," ujarnya.

"Ini perkara yang paling memuaskan."

Puan Halimah turut berkongsi buah fikirannya tentang menjadi Presiden wanita pertama Singapura yang bertudung dan memperjuangkan kumpulan masyarakat yang terpinggir di sini.

Penggal enam tahun Puan Halimah sebagai Presiden akan berakhir esok (13 Sep).

Encik Tharman Shanmugaratnam pula, yang diumum pada 1 September lalu bakal menjadi Presiden kesembilan Singapura selepas menang selesa dengan 70.4 peratus undi, akan mengangkat sumpah di Istana pada Khamis (14 Sep).

MENGENAI TEKANAN & PELUANG SEBAGAI PRESIDEN WANITA PERTAMA

Puan Halimah berkata pelantikannya sebagai Presiden sememangnya satu perkara luar biasa memandangkan beliau wanita pertama yang menyandang jawatan tersebut di sini.

Bukan itu sahaja, beliau wanita bertudung pertama dari kumpulan minoriti yang menjadi Presiden.

Puan Halimah mengangkat sumpah pada 14 September 2017 selepas menang tanpa bertanding kerana tidak ada calon lain yang layak.

Pilihan Raya Presiden pada tahun 2017 diperuntukkan bagi calon Melayu memandangkan tidak ada presiden daripada kumpulan etnik ini selama lima penggal presiden sebelumnya.

"Bagi seorang wanita, saya rasa ia sangat penting kerana tidak ramai yang dapat menyandang jawatan kepimpinan tinggi dan ini bukan hanya berlaku di Singapura, tetapi merata dunia," kata Puan Halimah.

Beliau akur isu-isu sistemik masih wujud di mana perwakilan wanita selaku ketua negara atau pemerintah masih kurang. Pun begitu, Puan Halimah berharap dirinya berupaya membuktikan bahawa wanita juga boleh menggalas peranan-peranan ini.

"Saya harap, dari segi jantina, perkara ini setidak-tidaknya membolehkan rakyat berkata, di Singapura, anda boleh, tidak kira jantina, tidak kira kaum, tidak kira agama, anda boleh menyandang jawatan tertinggi, asalkan anda punya iltizam dan keupayaannya," kata Presiden Halimah lagi.

Beliau berkata latar belakangnya sebagai seorang anggota kumpulan minoriti yang hidup susah, turut memberinya satu "peluang sangat unik" untuk berkhidmat kepada semua lapisan masyarakat, tidak kira kaum, jantina, agama atau status sosial.

Asal-usul serta identitinya turut membantu beliau pada saat-saat bertemu para pemimpin luar negara.

"Apabila saya bertemu para pemimpin luar negara... ia bagus bagi Singapura kerana ia menunjukkan bahawa negara ini mengamalkan apa yang diperjuangkan... dari segi menyediakan wadah untuk mobiliti sosial, dari segi menyediakan ruang untuk meritokrasi buat semua individu."

USAHANYA PERJUANGKAN MEREKA YANG KURANG BERNASIB BAIK

Memperjuangkan nasib mereka yang berdepan pelbagai cabaran hidup antara perkara yang dititikberatkan Puan Halimah sebagai tanggungjawab penting seorang Presiden.

"Isu-isu seperti kesihatan mental, kurang upaya, cabaran wanita, keluarga berpendapatan rendah, pekerja... perkara-perkara ini sangat dekat dengan hati saya," kata Puan Halimah.

"Saya berharap sepanjang saya menjadi Presiden, saya sudah dapat menarik perhatian ramai kepada kumpulan seperti ini, meningkatkan kesedaran tentang isu-isu yang dihadapi.

"Jika saya sudah berjaya melakukan itu, saya sangat gembira dan bersyukur."

Apabila Puan Halimah mengumumkan keputusannya untuk mengundurkan diri sebagai Presiden, ramai pemimpin kumpulan khidmat sosial tampil untuk memuji usahanya meningkatkan kesedaran ramai tentang cabaran-cabaran yang dihadapi golongan kurang upaya.

Puan Halimah juga disanjung kerana bertekad memperkasa wanita, di samping tekun memupuk keharmonian agama.

Semua itu dilakukan sedangkan Puan Halimah juga diberi amanah untuk semak dan imbang rizab negara semasa pandemik serta mewakili negara dalam mesyuarat-mesyuarat diplomatik.

Puan Halimah juga dikenali sebagai Presiden yang menjadikan Istana lebih mudah diakses orang awam.

"Seandainya saya berjaya membuat ramai berpandangan bahawa seseorang presiden itu boleh dihampiri, suka mendampingi rakyat, ia akan menjadi perkara yang membuat saya sangat senang hati," katanya.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita