Jabatan Pilihan Raya usul aturan baru mengundi bagi rakyat S'pura di luar negara, penghuni rumah jagaan
Jabatan Pilihan Raya (ELD) memohon maklum balas mengenai undian melalui pos bagi rakyat Singapura di luar negara dan aturan khas mengundi bagi para penghuni di rumah-rumah jagaan.
SINGAPURA: Jabatan Pilihan Raya (ELD) memohon maklum balas mengenai undian melalui pos bagi rakyat Singapura di luar negara dan aturan khas mengundi bagi para penghuni di rumah-rumah jagaan, menurut ELD pada Rabu (25 Mei).
Bergantung kepada maklum balas daripada pihak-pihak berkepentingan, termasuk parti-parti politik, para pengendali rumah jagaan dan rakyat Singapura di luar negara, ini mungkin akan dirintis semasa pilihan raya presiden akan datang, menurut jurucakap ELD.
Pilihan Raya Presiden akan datang mesti diadakan sebelum September 2023, iaitu tarikh tamat penggal Presiden Halimah Yacob sebagai presiden.
Maklum balas mengenai kedua-dua aturan baru mengundi itu akan dibuka kepada semua parti politik, dan keputusan berhubung urusan itu akan dibuat pada bulan Julai, ujar jurucakap tersebut.
ATURAN BAGI PENGUNDI LUAR NEGARA
Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing berkata pada bulan Mac bahawa ELD sedang mengkaji usulan untuk memperkenalkan undian melalui pos bagi membolehkan rakyat Singapura di luar negara untuk mengirimkan undian mereka.
Sekitar 200,000 rakyat Singapura berada di luar negara, meskipun tidak semua layak untuk mengundi berdasarkan usia mereka. Pada tahun 2020, seramai 6,750 rakyat Singapura di luar negara mendaftar untuk mengundi, di mana 4,794 daripada mereka melaksanakan tanggungjawab tersebut.
Ramai rakyat Singapura tetap mengikuti perkembangan Singapura dan "berminat" untuk mengundi, jelas ELD dalam kenyataan medianya.
Buat masa ini, para pengundi di luar negara boleh mengundi di salah satu daripada 10 tempat mengundi di luar negara di Australia, China, Hong Kong, Jepun, Dubai serta Amerika Syarikat dan Britain.
Bagi melayakkan diri sebagai pengundi luar negara, individu tersebut mestilah seorang rakyat Singapura berusia 21 tahun ke atas, mempunyai alamat kediaman berdaftar di Singapura dan sudah tinggal di Singapura sekurang-kurangnya 30 hari dalam tempoh tiga tahun sebelum tarikh akhir, sebelum pilihan raya.
Mereka juga mesti tidak dibatalkan sebagai pengundi di bawah mana-mana undang-undang sedia ada.
Pihak berkuasa juga mengkaji pilihan-pilihan lain bagi para pengundi luar negara, seperti menyediakan lebih banyak pusat mengundi di luar negara.
Bagaimanapun, ini "sangat memerlukan banyak sumber" dan mungkin tidak akan benar-benar menangani isu memberi akses yang mudah, menurut ELD.
Meskipun banyak negara melaksanakan undian melalui pos, beberapa cabaran yang timbul termasuk memastikan kotak undi itu selamat, kesukaran dalam memastikan individu yang mengundi adalah pengundi sebenar dan bukan atas dasar paksaan, serta memastikan undian itu dikirimkan dan diterima tepat pada masanya untuk dikira.
Percanggahan juga mungkin timbul antara jumlah kertas undi melalui pos yang dikeluarkan dan jumlah undian yang diterima, yang mungkin "menimbulkan keraguan" tentang integriti proses tersebut.
Dalam melaksanakan undian melalui pos dari luar negara, ELD sedang mempertimbangkan mengirimkan kertas-kertas undi melalui pos dan sampul-sampul surat untuk dipulangkan kepada para pengundi luar negara melalui "kaedah elektronik", jelasnya.
Sebagai contoh, ini mungkin termasuk memerlukan pengundi untuk log masuk ke dalam laman ELD menggunakan Singpass untuk memuat turun dan mencetak kertas-kertas undi dan sampul-sampul surat untuk dikirimkan semula.
ELD juga mungkin memerlukan rakyat Singapura di luar negara untuk menyerahkan tandatangan spesimen apabila mendaftar sebagai pengundi melalui pos, dan kemudian menandatanganinya pada sampul-sampul surat untuk dipulangkan apabila mereka mengirimkan undian mereka ke Singapura. Ini akan membolehkan pihak berkuasa untuk mengesahkan sampul surat berkenaan, jelasnya.
Para pengundi melalui pos juga mungkin akan diperlukan memulangkan kertas-kertas undi yang ditandakan melalui pos ke ELD melalui pos tidak melebihi 10 hari selepas Hari Mengundi untuk ia diterima bagi kiraan undi. Ia juga harus dikirimkan sebelum Hari Mengundi di Singapura, menurut ELD dalam kenyataan medianya.
ATURAN KHAS DI RUMAH-RUMAH JAGAAN
Bagi Pilihan Raya Umum 2020, pihak berkuasa membuat aturan khas bagi membolehkan para pengundi dengan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) di hotel-hotel tertentu untuk mengundi dan ELD merancang untuk merintis aturan tersebut bagi para penghuni di rumah-rumah jagaan.
Sekiranya ia dibenarkan, rumah-rumah jagaan tidak lagi perlu membawa para penghuninya yang lanjut usia ke tempat-tempat mengundi untuk mengundi, kata Encik Chan pada bulan Mac.
Lebih 80 rumah jagaan disediakan di Singapura, dengan sekitar 13,000 penghuni.
Sekitar 21 peratus rakyat Singapura yang mengundi pada Pilihan Raya Umum 2020 berusia 65 tahun ke atas, naik dari 14 peratus pada Pilihan Raya Umum 2011, dedah ELD.
Jabatan tersebut sedang mempertimbangkan untuk menubuhkan tempat mengundi di premis rumah jagaan itu dan/atau mengerahkan pasukan bergerak untuk membawa kotak undi dan kertas undi dari katil ke katil.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.