Jabatan Penjara SG lancar tag GPS baharu bagi banduan jalani hukuman masyarakat
Jabatan Penjara Singapura (SPS) melancarkan alat penjejak baharu yang dipakai pada pergelangan tangan dan dilengkapi teknologi GPS bagi memantau banduan yang menjalani hukuman dalam masyarakat, sebagai usaha mengurangkan stigma berkaitan penggunaan tag pada pergelangan kaki.
Tag pergelangan tangan baharu Perkhidmatan Penjara Singapura yang menyerupai jam bijak dan aksesori pengecasannya. (Gambar: CNA)
Menurut SPS, mereka yang sering memakai seluar pendek atau dress atau mahu bergaul tanpa menarik perhatian boleh memakai tag tersebut kerana ia bersifat lebih tersembunyi berbanding alat penjejak yang dipakai pada pergelangan kaki.
SPS menambah alat penjejak baharu itu mula diperkenalkan pada 2022 sebagai sebahagian daripada uji cuba.
Banduan sedemikian - yang dikenali sebagai individu yang diselia - perlu mematuhi perintah berkurung yang ketat dan dipantau sewaktu mereka bekerja, belajar atau melakukan kerja-kerja kemasyarakatan id luar penjara.
Mereka ditempatkan dalam program berasaskan masyakarat di penghujung tempoh hukuman mereka sedang mereka mula kembali ke pangkuan masyarakat.
Sungguhpun begitu, penggunaan tag di pergelangan kaki tidak akan dihentikan sepenuhnya.
Mengikut profil, gaya hidup dan program kemasyarakatan yang dijalaninya, para individu yang diselia itu akan diberikan tag yang sesuai.
Penolong Pesuruhjaya Timbalan (DAC), Jean Chiang yang juga pengarah bahagian logistik dan kewangan SPS memberitahu Mediacorp bahawa mengurangkan stigma yang dihadapi oleh individu tersebut memberikan mereka lebih keyakinan untuk mencari pekerjaan dan bergaul dalam masyarakat.
"Apabila mereka ke tempat-tempat lain seperti ke rumah ibadat, mereka berasa lebih diterima ... dan tidak lagi dipandang serong," katanya.
"Ramai yang memakai seluar panjang untuk menyembunyikan tag itu, dan melihat daripad perspektif mereka, kami ingin memberikan mereka sesuatu yang dapat menormalisasikan pemakaian tag. Jadi, itu sebab mengapa kita mempunyai idea untuk memperkenalkan penggunaan tag pada pergelangan tangan."
Encik Thomas Tan, jurutera utama di pusat pengurusan program pembetulan dan narkotik Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX) berkata tag baharu itu adalah lebih kecil dan ringan.
“Alat di pergelangan kaki lebih besar dan berat. Ia juga lebih mudah dilihat orang ramai,” katanya.
SEAKAN-AKAN JAM BIJAK
Kedua-dua jenis alat tersebut menggunakan sistem operasi yang sama, dengan kos pengeluaran yang hampir serupa.
Menurut pengilang iWOW Technology, baterinya boleh bertahan sehingga 16 jam selepas dicas penuh.
Namun, bagi banduan yang terlibat dalam aktiviti sukan, tag di pergelangan kaki lebih tahan lasak dan kukuh, menurut juruteknik iWOW Technology, Encik Michael James.
“Anda boleh berenang, melakukan Muay Thai, atau main bola sepak dengannya. Tiada masalah. Alat (di pergelangan tangan) pula sedikit rapuh kerana ia dipakai di pergelangan tangan,” katanya.
DAC Chiang dari SPS berkata maklum balas daripada banduan setakat ini positif, namun percubaan pada skala lebih besar akan dijalankan untuk mendapatkan lebih banyak maklum balas bagi menambah baik reka bentuk alat tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.