Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jabatan Penjara mahu gandakan bilangan banduan ikuti program ijazah

Lapan banduan kini menyertai program ijazah dari dalam penjara apabila ia ditawarkan tahun lalu dan kini Jabatan Penjara Singapura berharap jumlah itu akan bertambah menjadi dua angka.

Anggaran Waktu Membaca:
Jabatan Penjara mahu gandakan bilangan banduan ikuti program ijazah

(Gambar: SPS)

Diterbitkan : 28 Feb 2021 08:19PM Dikemas Kini : 28 Feb 2021 08:46PM

SINGAPURA: Lapan banduan kini menyertai program ijazah dari dalam penjara apabila ia ditawarkan tahun lalu dan kini Jabatan Penjara Singapura berharap jumlah itu akan bertambah menjadi dua angka.

Program sambilan dalam bidang perniagaan dan logistik itu ditawarkan menerusi Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Ia adalah sebahagian daripada usaha untuk memberi banduan lebih banyak peluang pendidikan bagi kehidupan selepas mereka bebas kelak.

Salah seorang banduan yang menyertai program itu ialah Wayne yang berusia 48 tahun. Dia sudah enam kali keluar masuk penjara kerana kesalahan dadah.

Wayne bertekad untuk meraih ijazah dalam bidang logistik. Kursus sambilan yang diambilnya adalah selama lapan tahun. Namun dia mahu menyelesaikannya dalam masa lima tahun.

Dia boleh menyambung pengajian di SUSS apabila dibebaskan dalam masa tiga tahun akan datang.

Para pensyarah datang mengajar di dalam penjara pada waktu lapang mereka. Kelas-kelasnya tidak banyak berbeza.

Para banduan perlu melakukan projek berkumpulan, kuiz dan menduduki peperiksaan.

Bagaimanapun platform pembelajaran secara online, dihadkan.

Lebih 80 banduan mengikuti kursus diploma dalam bidang logistik sejak 2018.

Bilangan pesalah yang mempunyai pendidikan lebih baik juga semakin meningkat.

Pada tahun lalu, 70 peratus daripada mereka mempunyai sekurang-kurangnya kelayakan sekolah menengah. Hampir 10 peratus tahanan juga layak untuk mengikuti program ijazah.

Kini ada rancangan untuk melancarkan lebih banyak program pendidikan tinggi termasuk kursus diploma dalam bidang perniagaan pada tahun depan. 

Sumber : CNA/RR/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan