Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Izzuddin Taherally diberi Anugerah Hari Kebangsaan yang ke-4 tertinggi tahun ini

Presiden Persatuan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Izzuddin Taherally, dianugerahi Bintang Bakti Masyarakat (Lintang) sempena Hari Kebangsaan 2020.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Presiden Persatuan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Izzuddin Taherally, dianugerahi Bintang Bakti Masyarakat (Lintang) sempena Hari Kebangsaan 2020.

Anugerah itu adalah yang keempat tertinggi dalam senarai Anugerah Hari Kebangsaan yang dikeluarkan tahun ini. Ia diberikan kepada individu-individu sebagai mengiktiraf sumbangan cemerlang mereka dalam bidang masing-masing.

Encik Izzuddin, 67 tahun, diberi penghargaan atas bakti yang ditaburkan kepada masyarakat - khususnya kepada golongan belia - selama lebih separuh usianya. Beliau sudah bergiat aktif dengan kerja-kerja kemasyarakatan di pelbagai pertubuhan hampir 50 tahun.

"Bagi saya anugerah yang telah diberikan ini merupakan, bukan sahaja satu pengiktirafan bagi diri saya dan keluarga saya tetapi juga bagi para sukarelawan dari badan-badan tersebut yang telah banyak membantu saya memberikan khidmat kepada masyarakat. Jadi bagi saya ini merupakan satu penghormatan bagi kami semua," kata beliau.

Semasa ditemui BERITAmediacorp di pejabat 4PM yang terletak di Blok 606 Bedok Reservoir Rd, dapat dirasakan begitu ketara cinta beliau kepada kerja-kerja kemasyarakatan.

Lebih-lebih lagi untuk mencungkil potensi anak-anak muda serta memperkasa mereka sehingga mampu menjadi pemimpin satu hari nanti.

(Gambar: 4PM)

SIAPA IZZUDDIN TAHERALLY?

Encik Izzuddin seorang individu yang tidak asing dalam kalangan pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam (MMO) di Singapura. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Lembaga Pengarah Yayasan MENDAKI antara 1992 dengan 2008.

Ketika itu, sebuah Pusat Khidmat Keluarga ditubuhkan pada 1999 sebagai percubaan untuk MENDAKI menawarkan khidmat tersebut bersama-sama rakan-rakan masyarakat.

Selain itu beliau turut menyumbang dalam beberapa pertubuhan lain termasuk Lembaga Kenangan Maulud (LBKM), Tabung Amal Aidilfitri (TAA), Majlis Belia Kebangsaan (NYC), Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan (NCPC) dan Majlis Anugerah Pencapaian Belia Kebangsaan (NYAA).

Encik Izzuddin menyifatkan tugas membantu masyarakat sebagai satu "tanggungjawab".

"Membuat sesuatu untuk masyarakat itu adalah sesuatu yang menjadi tanggungjawab bagi diri kita kerana ramai mereka yang di sana yang memerlukan pertolongan dari kita. Jadi itu merupakan satu tanggungjawab bagi setiap seorang anggota masyarakat kita," Encik Izzuddin memberitahu BERITAmediacorp.

Daripada pelbagai pertubuhan yang disertainya, terdapat satu yang begitu dekat di hati Encik Izzuddin, iaitu 4PM.

Beliau mula menyandang jawatan sebagai Presiden persatuan itu pada tahun 1990 dan masih menerajuinya sehingga hari ini. Tempoh 30 tahun di 4PM itu menjadikan Encik Izzuddin presiden paling lama berkhidmat dalam badan itu.

Bukan itu sahaja. Sebelum itu, Encik Izzuddin sudah melakukan kerja-kerja sukarela di 4PM sejak berusia 18 tahun lagi. Ini bermakna, beliau sudah mengabdikan diri, membantu masyarakat, khususnya golongan belia, hampir 50 tahun lamanya!

"Sebab itulah saya masih kuat, pasal bergaul dengan orang-orang muda!" seloroh Encik Izzuddin sambil tertawa apabila berkongsi tentang pelibatannya dengan anak-anak muda.

(Gambar: 4PM)

PASTIKAN PENUNTUT ITE TAMAT PENGAJIAN ANTARA PENCAPAIAN IZZUDDIN

Sebelum ini, kerja-kerja kemasyarakatan Encik Izzuddin pernah diberi penghargaan menerusi anugerah Bintang Bakti Masyarakat pada Hari Kebangsaan tahun 2008 dan juga Anugerah Jasa Cemerlang MUIS pada tahun 2015.

Salah satu inisiatif Encik Izzuddin yang sudah dimanfaatkan ribuan belia adalah kerjasama dengan Institut Pendidikan Teknikal (ITE).

Antaranya adalah Projek Bestari ITE (bITE) yang dimulakan pada tahun 2000. Ia adalah program pembangunan yang bertujuan memastikan para penuntut ITE tidak berhenti separuh jalan sebaliknya menamatkan pengajian mereka.

Program tersebut sudah diperluaskan bagi meliputi inisiatif mentor yang dipanggil Projek FRENZ. Menerusi Projek FRENZ, para penuntut ITE yang berada di kedudukan 20 peratus dan ke bawah, disokong untuk membolehkan mereka mengecap kecemerlangan akademik sekali gus memasuki politeknik.

Visi di bawah kepimpinan Encik Izzuddin itu diterima baik oleh para penuntut dan juga kakitangan ITE, walaupun peruntukan kewangan bagi program itu terhad.

Hari ini, sekitar 25,000 penuntut sudah memanfaatkannya.

Muhd Azerael Azhar diberikan Anugerah Pelajar Cemerlang BESTARI 4PM tahun ini.

BERI PELUANG BELIA 'BELAJAR', TIMBA PENGALAMAN

Lebih dari itu, di bawah kepimpinan Encik Izzuddin sudah ramai anak-anak muda yang kini berjaya menjadi perintis jalan atau 'trailblazer' dalam bidang masing-masing.

Encik Izzuddin percaya, penting untuk golongan belia diberi peluang untuk menimba pengalaman baru, diberi tanggungjawab demi membina keyakinan diri mereka - satu ciri penting untuk masa hadapan. Beliau menambah, anggota jawatankuasa pentadbiran 4PM juga merupakan anak-anak muda, yang sudah bersama persatuan itu antara 10 dengan 15 tahun.

Mereka bermula dari bawah - sebagai peserta program 4PM kemudian membantu menganjurkannya sebelum berpeluang mengetuai program-program sehingga akhirnya menduduki jawatankuasa tertinggi persatuan itu. Dari situ, mereka "belajar", kata beliau.

4PM juga kini mempunyai antara 500 dengan 600 sukarelawan muda.

"Jadi program-program yang diadakan adalah lebih kepada anak-anak muda itu untuk tampil ke hadapan dan membantu masyarakat kita yang memerlukan.
Anak-anak muda kita bersama-sama untuk memberikan tenaga mereka, bantuan kepada mereka-mereka yang memerlukan," kongsi Encik Izzuddin.

(Gambar: 4PM)

PEGANG PADA PRINSIP BERKEMBANG IKUT KEPERLUAN

Encik Izzuddin juga berpegang teguh kepada prinsip "perlu terus berkembang mengikut keperluan dan peredaran masa".

Lantaran itu, bukan sahaja anak-anak didiknya diberi ruang berbuat demikian, program-program yang dijalankan juga seiring berubah menjadi lebih baik dan berkesan. Sekalipun demikian visi 'mempertingkat taraf pendidikan pelajar Melayu/Islam Singapura' yang sudah menjadi tunjang 4PM sejak tahun 1948 tidak berubah.

"Dulu memang kita adakan kelas-kelas tusyen. Tapi kini sudah berubah. Apabila ada badan lain seperti MENDAKI yang mengadakan program tusyen pada skala yang lebih besar. Kami tidak lagi melakukannya. Kami mengadakan program lain tetapi masih berkaitan dengan pendidikan," kata Encik Izzuddin, sambil merujuk kepada program-program mentor dan motivasi.

Di tengah-tengah pandemik COVID-19 ini, 4PM juga terjejas. Namun, berpegang kepada prinsip yang sama, persatuan itu sudah mula memanfaatkan teknologi-teknologi baru bagi membolehkan kesinambungan program-programnya.

Sempat juga BERITAmediacorp diberi bayangan bahawa mungkin akan ada Bahas 4PM versi maya.

Selain itu, Encik Izzuddin berpendapat bahawa menerusi kerja-kerja kemasyarakatan "sebenarnya kita membantu diri kita sendiri".

"Sebabnya sebelum kita dapat membantu atau menolong seseorang, kita harus memperkasakan diri kita dari segi pengetahuan, dari segi kemahiran, dari segi pengalaman supaya kita bersiap sedia. Cukup persediaan kita sebelum kita memberikan khidmat kepada masyarakat. Jadi kita dapat memberikan khidmat yang bermakna, yang bermutu tinggi, yang berkesan kepada masyarakat," kongsi beliau.

(Gambar: 4PM)

"KEJAYAAN MASYARAKAT, PENGHORMATAN BAGI SAYA"

Apabila ditanya apakah kepuasan yang diraih menerusi kerja-kerja kemasyarakatannya selama lima dekad, ini jawapan beliau:

"Apabila kita melihat titisan airmata gembira dari anggota-anggota keluarga yang kurang bernasib baik apabila mereka sudah mula berdikari. Apabila kita melihat anak-anak muda kita yang tersasar kemudian pulang ke pangkal jalan. Apabila kita melihat para belia kita bekerja keras untuk mencapai kejayaan dan kemudiannya menjadi pemimpin-pemimpin yang berkaliber.

"Sukar saya nyatakan rasa kepuasan, rasa gembira saya melihat kegigihan mereka itu. Bagi saya kejayaan mereka inilah merupakan satu penghormatan bagi diri saya," Encik Izzuddin memberitahu BERITAmediacorp.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan