Izzah tidak rancang sebarang serangan ke atas S'pura
Demikian menurut MHA dalam satu komen susulan berhubung penangkapan Izzah, berusia 22 tahun.
Gambar hiasan.
SINGAPURA: Kementerian Dalam Negeri (MHA) menyatakan, Syaikhah Izzah Zahrah Al Ansari atau Izzah - wanita Singapura pertama yang diberkas bagi kesalahan berkaitan pengganasan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) - tidak merancang sebarang serangan di Singapura.
Demikian menurut MHA dalam satu komen susulan berhubung penangkapan Izzah, berusia 22 tahun.
Wanita tersebut, yang bekerja sebagai penolong jagaan bayi di PCF Sparkletots, dicekup bulan ini (Jun).
MHA bagaimanapun menambah, Izzah berhasrat pergi ke Syria untuk menyertai ISIS, iaitu kumpulan pengganas yang sudahpun mengancam akan menyerang Singapura. Pemerintah tambah MHA, mengambil pandangan tegas terhadap sesiapa yang menyokong atau menggalak keganasan bersenjata walau di mana tempatnya.
TINDAKAN MUNGKIN DIAMBIL TERHADAP ANGGOTA KELUARGA YANG HAPUSKAN BUKTI
Kementerian itu juga menyatakan, pihak berkuasa kini menimbangkan untuk mengambil tindakan terhadap seorang anggota keluarga Izzah. Ini setelah dia bertindak memusnahkan bukti-bukti penting yang mengaitkan Izzah dengan rancangannya untuk menyertai ISIS.
Pemerintah, menurut MHA, memandang serius perbuatan menyembunyikan maklumat yang penting kepada keselamatan Singapura dan rakyat Singapura. Dalam hal ini, ia berkaitan dengan pengganasan.
Berhubung persoalan sama ada terdapat kebimbangan tentang potensi wujudnya rasa saling tidak percaya terhadap masyarakat Melayu/Islam di Singapura ekoran peristiwa ini, MHA menyatakan, walaupun adanya peningkatan dalam bilangan individu yang dikesan menjadi radikal sejak tahun-tahun kebelakangan ini, jumlahnya adalah kecil.
"Majoriti masyarakat muslim di Singapura adalah sederhana dan berada dalam arus utama. Ini juga kes pertama radikalisasi melibatkan seorang dalam sektor prasekolah. Ada banyak pekerja jagaan bayi dan kanak-kanak yang cemerlang - ramai daripada mereka adalah muslim," menurut MHA.
Lantaran itu, jelas MHA, masyarakat tidak harus membiarkan kes Izzah merosakkan kerja-kerja baik yang dilakukan kakitangan muslim dalam sektor prasekolah.
Mentelah lagi, tiada bukti bahawa Izzah cuba untuk mempengaruhi kanak-kanak di pusat tersebut dan tiada petanda bahawa dia cuba untuk mempengaruhi rakan-rakan sekerjanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.