Iyad Perdaus mungkin buka cawangan baru di Woodlands dan Punggol
Lebih banyak cawangan baru prasekolah Iyad Perdaus mungkin dibuka di estet-estet perumahan seperti Punggol dan Woodlands.
SINGAPURA: Lebih banyak cawangan baru prasekolah Iyad Perdaus mungkin dibuka di estet-estet perumahan seperti Punggol dan Woodlands.
Presiden Perdaus, Encik Safarin Amerudin, membayangkan demikian sempena sambutan ulang tahun ke-25 Iyad Perdaus hari ini.
Sambutan Jubli Perak itu diraikan dalam satu majlis di Orchid Country Club yang dihadiri sekitar 460 orang hari ini (4 Nov).
Ditubuhkan pada 1993 dengan cawangan pertamanya di Jurong East, Iyad Perdaus berkembang kepada tiga cawangan termasuk di Hougang dan Choa Chu Kang, dan kini mempunyai seramai 415 murid keseluruhannya.
MASAGOS HARAP "PERDAUS TIDAK AKAN BERPELUK TUBUH"
Semasa ditubuhkan, Iyad Perdaus merupakan antara segelintir sahaja badan Melayu yang menceburi sektor pembangunan kanak-kanak.
Namun kini, landskap pendidikan prasekolah banyak berubah dan lebih mencabar, mentelah lagi dengan Kementerian Pendidikan baru-baru ini mengumumkan pembukaan lebih banyak tadika menjelang 2021.
Encik Masagos Zulkifli di sambutan Jubli Perak.
Lantaran itulah, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli menekankan peri pentingnya Iyad Perdaus terus berinovasi agar kekal relevan dalam sektor pendidikan prasekolah yang kian berubah-ubah.
Dalam ucapannya di majlis sambutan itu, Encik Masagos berharap "Perdaus tidak akan berpeluk tubuh dan tidak berbuat apa-apa" di tengah-tengah semua gelombang itu.
Beliau turut melahirkan harapan bahawa Iyad Perdaus akan membuat penyesuaian untuk bertakat dan "terus menyumbang kepada masyarakat".
Menyahut cabaran Encik Masagos itu yang pernah menjadi Presiden Perdaus sebelum menceburi bidang politik, Presiden Perdaus sekarang, Encik Safarin Amerudin berkongsi beberapa idea yang sedang dipertimbangkannya.
Ini termasuklah ura-ura membuka lebih banyak cawangan di kawasan estet-estet perumahan lain.
"Kami lihat bahawa secara amnya terdapat keperluan berbeza bagi kanak-kanak di masa hadapan termasuk kanak-kanak yang berkeperluan khas.
"Di situ kami lihat bagaimana hendak memperbaiki kemudahan kita dari segi pembukaan lebih banyak cawangan, di kawasan yang lain seperti estet-estet baru di Punggol dan Woodlands," ujar Encik Safarin kepada BERITAmediacorp.
JANJI KEKALKAN MUTU BAGI CAWANGAN BARU NANTI
Sebagai satu-satunya pusat prasekolah Melayu/Islam yang menawarkan Program Penjagaan Kanak-Kanak Bersepadu (ICCP) bagi kanak-kanak berkeperluan khas, Iyad Perdaus juga diberi pengiktirafan SPARK oleh Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA).
Baru-baru ini, ia menawarkan Program Sokongan Pembangunan (DSP) bagi menyediakan kanak-kanak berkeperluan khas untuk alam persekolahan serta melengkapi mereka dengan keperluan pembangunan.
Encik Safarin menekankan kualiti pendidikan di Iyad Perdaus akan terus dikekalkan dengan pembukaan cawangan-cawangan baru itu kelak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.