Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ITE Kolej Tengah buang pelajar terlibat dalam kes buli di tandas

'Dalang utama' terbabit dalam satu kejadian buli di ITE Kolej Tengah akan dibuang sekolah, menurut sekolah itu pada Rabu (17 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
ITE Kolej Tengah buang pelajar terlibat dalam kes buli di tandas

Petikan dari media sosial.

Diterbitkan : 17 Mar 2021 08:14PM Dikemas Kini : 17 Mar 2021 08:15PM

SINGAPURA: 'Dalang utama' terbabit dalam satu kejadian buli di ITE Kolej Tengah akan dibuang sekolah, menurut sekolah itu pada Rabu (17 Mac).

Dalam kemas kini di laman Facebook ITE, ITE Kolej Tengah menyatakan bahawa ia selesai menjalankan siasatan berhubung kes itu dan "dalang utama kes tersebut akan dibuang sekolah, seperti yang lazim dilakukan bagi kes-kes serangan yang berlaku dalam kolej".

"Pelajar lain yang terlibat dalam kejadian itu akan diberi kaunseling dan perlu melakukan khidmat masyarakat," tambahnya.

Rakaman video kejadian buli itu dimuat naik ke laman Instagram sg.trendzzz pada Jumaat lalu (12 Mac) dan pertama kali dilaporkan di laman Mothership pada Selasa (16 Mac).

Dalam video berkenaan, seorang pelajar yang merupakan dalang utama insiden tersebut kelihatan sedang mengejek mangsa-mangsa dalam sebuah tandas. Sekurang-kurangnya tiga pelajar lain turut hadir sama.

Dalang utama itu kelihatan menghampiri mangsa lalu bertanya: "Kenapa dengan kau?" sebelum merentap pelitup yang dipakai mangsa.

Mangsa turut ditampar dan dilemparkan kata-kata kesat sedang para pelajar lain hanya tertawa.

Mangsa juga disuruh meminta maaf kepada dalang utama. Beliau juga dipukul di bahagian kepalanya dan ditendang sedang beliau berjalan keluar dari tandas berkenaan.

Pengetua di ITE Kolej Tengah, Encik Suresh Natarajan berkata pada Selasa bahawa sekolah itu "dimaklumkan tentang rakaman video berhubung satu insiden buli".

"Sebagai sebuah institut pendidikan, kami berusaha untuk menyediakan sekitaran yang selamat, penuh sokongan dan kasih sayang kepada pelajar. Kami memandang serius perbuatan buli dan mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan sedemikian," kata Encik Natarajan pada ketika itu.

Beliau menambah bahawa salah seorang daripada pelajar dalam rakaman itu digantung sekolah sementara siasatan dijalankan.

Secara berasingan, Menteri Negara Pendidikan Sun Xueling berkata pihak berkuasa memandang serius hal tersebut.

Di laman Facebooknya pada Selasa, Cik Sun berkata Jawatankuasa Disiplin Kolej berkenaan sedang menyiasat kejadian itu dan akan mengusulkan tindakan sewajarnya.

"ITE menekankan bahawa perbuatan buli dan keganasan terhadap kakitangan atau pelajar dalam kampus tidak boleh diterima dan ia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar yang didapati melanggar Kod Tatalaku," kata Cik Sun.

Beliau menambah: "Menunjukkan kekuatan bukan satu tindakan betul malah perbuatan membuli seseorang itu amat dikutuk.

"Ini terutama sekali jika anda menyasarkan individu atau kanak-kanak yang berada dalam keadaan lemah dan tidak dapat melindungi diri sendiri." 

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan