iSwitch berhenti beroperasi; akaun pelanggan akan dipindahkan ke SP Group
Peruncit elektrik iSwitch tidak lama lagi akan menghentikan operasinya disebabkan oleh "keadaan pasaran elektrik semasa", menurut syarikat itu dalam emelnya kepada para pelanggan pada Rabu (13 Okt).

(Gambar: Taufiq Hussein Zalizan/BERITAmediacorp)
SINGAPURA: Peruncit elektrik iSwitch tidak lama lagi akan menghentikan operasinya disebabkan oleh "keadaan pasaran elektrik semasa", menurut syarikat itu dalam emelnya kepada para pelanggan pada Rabu (13 Okt).
Apabila operasi runcit elektrik syarikat itu berakhir pada 11 November, bekalan elektrik para pelanggan tidak akan terjejas, menurut iSwitch.
Mulai 12 November pula, akaun para pelanggan akan dipindahkan ke SP Group.
"Kami sedang bekerjasama dengan Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) dan SP Group bagi memastikan peralihan yang lancar bagi para pelanggan kami ke SP Group," menurut iSwitch.
Namun, jika para pelanggan ingin beralih ke peruncit lain, mereka boleh berbuat demikian pada bila-bila masa, menurut iSwitch dalam seksyen soal jawab di lamannya.
"Sepanjang enam tahun, iSwitch Energy berpeluang untuk menawarkan khidmat kami dalam Pasaran Elektrik Singapura dan secara keseluruhannya berhasil membantu para pelanggan menjimatkan bil elektrik lebih S$150 juta berdasarkan Tarif SP," menurut syarikat itu.
"Kami juga telah membantu mengekalkan fokus kepada kemampanan dan matlamat hijau yang kami tahu adalah sangat penting kepada anda semua."
Pada Jun 2019, peruncit elektrik mesra alam ES Power memindahkan kesemua pengguna perniagaan dan kediaman - bernilai lebih S$15 juta kepada iSwitch disebabkan oleh persaingan sengit dalam pasaran tempatan.
Red Dot Power, sebuah lagi syarikat pembekal tenaga, mengumumkan pengundurannya daripada pasaran itu pada tahun yang sama.
Seorang pelanggan iSwitch yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Tan berkata beliau terkejut apabila mendapat tahu tentang penutupan syarikat itu setelah menerima emel daripada syarikat tersebut.
"Saya agak terkejut setelah mendapat tahu kerana saya baru sahaja menandatangani kontrak bersama mereka pada April lalu dan saya fikir kami akan menggunakan khidmat syarikat ini selama dua tahun," kata Cik Tan.
"Dengan peralihan ke SP Group, kami mungkin akan beralih ke peruncit lain setelah membuat perbandingan dan kajian - terutama sekali menyusuli pengumuman baru-baru ini bahawa harga elektrik akan meningkat."
Pada bulan lalu, pihak berkuasa mengumumkan bahawa tarif elektrik bagi kegunaan di rumah akan meningkat sebanyak 3.1 peratus bagi tempoh Oktober hingga Disember tahun ini, berbanding dengan suku sebelumnya.
Kenaikan itu disebabkan oleh harga minyak yang lebih tinggi untuk menjana elektrik oleh syarikat-syarikat penjanaan tenaga, menurut SP Group.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.