Skip to main content

Singapura

Iswaran tidak buat rayuan keputusan penjara 12 bulan, mohon maaf kepada rakyat SG

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Mantan menteri pengangkutan S Iswaran tidak akan membuat rayuan terhadap hukuman penjara 12 bulan selepas disabit kesalahan atas lima pertuduhan, menurutnya dalam satu kenyataan di Facebook pada Isnin (7 Okt).

"Saya tidak akan membuat rayuan terhadap hukuman yang dijatuhkan mahkamah," katanya.

Beliau berkata bahawa penting baginya bahawa pihak pendakwaan meminda tuduhan rasuah terhadapnya.

"Saya menerima bahawa sebagai seorang Menteri apa yang saya lakukan adalah salah di bawah Seksyen 165. Saya mengambil tanggungjawab penuh bagi tindakan saya dan bermohon maaf kepada seluruh rakyat Singapura.

"Kesejahteraan keluarga saya dan kesan emosi terhadap orang-orang yang tersayang jika perbicaraan berlarutan hingga 2025, dan mungkin lebih lama lagi, turut menjadi pertimbangan saya," kata Iswaran.

"Tempoh 15 bulan yang lalu merupakan masa yang amat sukar. Dengan keputusan ini, saya berharap kami dapat meninggalkan keperitan yang lalu, dan terus membina hidup kita bersama."

Iswaran turut mengucapkan terima kasih kepada "semua yang berdiri teguh di sisi saya dan membantu saya menghadapi tempoh susah".

"Saya tersentuh dengan kasih sayang, harapan dan sokongan keluarga saya. Saya berhutang budi kepada rakan-rakan dan pemimpin akar umbi atas sokongan, keyakinan dan dorongan tanpa henti," kata mantan menteri itu.

"Saya bersyukur kepada peguam saya, dan ramai lagi yang meluahkan keprihatinan dan sokongan terhadap saya, secara bersemuka atau melalui media sosial."

Beliau mengakhiri catatannya dengan berkata: "Berkhidmat kepada pengundi saya dan rakyat Singapura sepanjang 3 dekad yang lalu merupakan penghormatan terbesar dalam hidup saya. Apabila bab dalam hidup saya ini berakhir, saya dan keluarga saya akan menghadapi masa depan dengan rasa syukur dan harapan baharu."

Iswaran akan menyerah diri ke Mahkamah Negara pada pukul 4.00 petang Isnin untuk memulakan hukuman penjaranya.

Iswaran, 62 tahun pada Khamis (3 Okt) dikenakan hukuman penjara 12 bulan kerana menerima hadiah bernilai sekitar S$403,300 daripada dua ahli perniagaan selama tempoh tujuh tahun dan menghalang proses keadilan.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita