Iswaran gagal kali ketiga mohon pendakwa serah semua keterangan saksi
Mantan Menteri Pengangkutan S Iswaran tiba di Mahkamah Negara pada 8 Feb 2024. (Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)
Beliau melakukan demikian dengan meminta kebenaran untuk mengemukakan dua soalan undang-undang berkaitan kepentingan awam kepada Mahkamah Rayuan. Iaitu sama ada pendakwa perlu menyertakan fakta dan bukti untuk menyokong dakwaan dalam bentuk keterangan saksi di dalam kes tersebut, dan sama ada mahkamah boleh, dan patut mengarahkan pendakwa melakukan demikian.
Encik Iswaran, 62 tahun, sebelum ini dua kali memohon untuk mendapatkan keterangan saksi pendakwa sebelum kesnya dibicarakan.
Percubaan tersebut ditolak seorang penolong pendaftar di persidangan pendedahan kes jenayah dan hakim Mahkamah Tinggi.
Beliau akan dibicarakan minggu depan.
Para peguam Encik Iswaran, dari Davinder Singh Chambers, mengemukakan hujah mereka berdasarkan Seksyen 214(1)(d) Kanun Prosedur Jenayah (CPC), yang membentangkan kandungan kes bagi pendakwa.
Seksyen 214(1)(d) CPC menyatakan bahawa pendakwa perlu menyertakan "keterangan saksi di dalam kes, di bawah Seksyen 264 yang ingin digunakan pendakwa ketika perbicaraan".
Seksyen 264 adalah keterangan bersyarat, iaitu keterangan bertulis yang boleh digunakan dalam prosiding jenayah.
Menuruk pihak pendakwa, ia hanya perlu menyediakan keterangan bersyarat oleh saksi yang ingin dikemukakan ketika perbicaraan.
Namun, Peguam Kanan Davinder Singh dan pasukannya, menolak keputusan tersebut dan berkata bahawa pihak pendakwa perlu menyediakan semua bentuk keterangan oleh saksi yang ingin dikemukakan pendakwa, termasuk "draf keterangan".
HUJAH PADA SELASA
Rayuan pada pagi Selasa didengar di bilik mahkamah di hadapan Ketua Hakim Sundaresh Menon, Hakim Woo Bih Li dan Steven Chong.
Ketua Hakim dan Hakim Chong berdepan kesukaran untuk memahami hujah Encik Singh, dan mereka bertanya kepadanya berulang kali tentang apa yang dimaksudkan.
Hakim Chong berkata beliau "tidak pasti sama ada seorang boleh menggunakan draf keterangan", dan sama ada Seksyen 214(1)(d) merangkumi draf keterangan seperti yang dikatakan Encik Singh, "sebenarnya, anda tidak boleh menggunakan draf keterangan".
Beliau kemudian memberitahu Encik Singh bahawa pemahamannya tentang Seksyen 214(1)(d) bermaksud pihak pendakwa perlu menyediakan keterangan saksi yang ingin digunakan bagi perbicaraan, ketika mereka memfailkan kes kepada pendakwa, serta sebarang kenyataan yang boleh digunakan untuk kes pada bila-bila masa.
Encik Singh kemudian menunjukkan kepada mahkamah sebahagian seksyen yang dimansuhkan berserta sesi perbicaraan komital dan digantikan dengan proses pendedahan jenayah yang digunakan sekarang, di mana bukti dan maklumat dikemukakan kepada pihak pembela sebelum perbicaraan.
Peguam veteran itu berkata anak guamnya kini mempunyai hak yang kecil berbanding sesi perbicaraan komital sebelum ini, dan akses Encik Iswaran kepada bukti pendakwa berkurangan di bawah proses pendedahan jenayah.
Ketua Hakim Menon berkata Encik Singh meminta mahkamah "untuk merangka proses penemuan" yang setaraf dengan apa yang berlaku pada masa lalu apabila pendengaran komital digunakan, "dan ia berbahaya kerana parlimen belum membuat sebarang keputusan mengenainya".
Malah, apa yang diinginkan parlimen untuk rejim pendedahan jenayah baharu sudah dibentangkan di dalam Seksyen 214, di mana ia menyatakan perkara yang perlu disertakan pihak pendakwa di dalam kes untuk diberikan kepada pembela, termasuk keterangan yang ingin dikemukakan pendakwa semasa perbicaraan.
Jika sabit kesalahan memperolehi barangan berharga sebagai penjawat awam, Encik Iswaran boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.
Jika sabit kesalahan mendapat suapan rasuah di bawah Akta Pencegahan Rasuah, Encik Iswaran boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, didenda sehingga S$100,000 atau kedua-duanya.
Jika sabit kesalahan menghalang keadilan, beliau boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.