Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Iswaran ditempatkan dalam sel seorang diri; ada "risiko lebih tinggi keselamatan": SPS

Anggaran Waktu Membaca:
Iswaran ditempatkan dalam sel seorang diri; ada "risiko lebih tinggi keselamatan": SPS

(Gambar: CNA/Wallace Woon, MHA)

SINGAPURA: Mantan menteri pengangkutan S Iswaran dimasukkan ke dalam sel seorang diri kerana terdapat risiko keselamatan yang lebih tinggi untuk ditempatkan bersama banduan lain, menurut Khidmat Penjara Singapura (SPS)

Sel sebesar sekitar 6.9 meter persegi itu termasuk ruang tandas dan Iswaran disediakan dengan tikar jerami dan dua selimut untuk tidur, menurut SPS pada Isnin malam sebagai jawapan kepada pertanyaan Mediacorp.

SPS menyatakan bahawa semua banduan dalam tahanannya menerima layanan yang sama dan tertakluk kepada peraturan dan proses penjara yang sama.

“S Iswaran menjalani penilaian keselamatan dan perubatan, seperti banduan lain. Memandangkan kami menilai terdapat risiko keselamatan yang lebih tinggi untuk S Iswaran jika ditempatkan bersama banduan lain, kami menempatkannya di dalam sel seorang diri.”

Beliau yang berusia 62 tahun itu memulakan hukuman penjara 12 bulan pada Isnin selepas menyerah diri di Mahkamah Negera sebelum tempoh akhir pada jam 4.00 petang untuk berbuat demikian.

Selepas ketibaannya, Iswaran menjalani penilaian keselamatan dan perubatan seperti banduan lain, menurut SPS.

“Setelah diterima masuk, barangan pribadi banduan dikumpul dan dicatat untuk disimpan. Ia akan dipulangkan kepada mereka selepas mereka dibebaskan. Mereka diperiksa bagi barangan seludup. Selepas itu, mereka diperiksa oleh Pegawai Perubatan Penjara,” tambah SPS.

“Semua banduan disediakan dengan keperluan asas untuk kehidupan seharian – berus gigi, ubat gigi, pakaian, selipar, tuala, dan sudu plastik untuk makan.”

SPS menyatakan terdapat pelbagai jenis sel yang boleh menempatkan sama ada seorang banduan, sehingga empat banduan, atau sehingga lapan banduan.

“Semua sel penjara ada kemudahan tandas di dalam sel. Satu tikar jerami dan dua selimut diberikan kepada banduan sebagai alas tidur. Banduan yang mengalami keadaan perubatan yang teruk atau keperluan klinikal, atas penilaian Pegawai Perubatan Penjara, boleh ditempatkan di Unit Pemulihan Hidup Berbantu atau Wad Perubatan untuk pemantauan perubatan.

"Banduan ditempatkan dalam pelbagai jenis sel berdasarkan penilaian kami terhadap risiko keselamatan mereka, serta keperluan perubatan," tambahnya.

SPS juga menyatakan bahawa banduan digalakkan untuk terus berhubung dengan anggota keluarga dan orang tersayang mereka melalui lawatan bersemuka, lawatan melalui persidangan video atau e-surat.

Seperti semua banduan lain, SPS menyatakan bahawa Iswaran boleh mengadakan sehingga dua lawatan, salah satu boleh bersemuka, serta menulis sehingga empat e-surat, sebulan.

ISWARAN MOHON MAAF KEPADA SEMUA RAKYAT SINGAPURA

Iswaran diturunkan di Mahkamah Negera pada Isnin petang dengan menaiki Toyota Alphard berwarna putih bersama seorang saudara sekitar jam 3.30 petang.

Beliau tidak menjawab soalan daripada media tentang perasaannya, sebarang persiapan yang dibuat atau sama ada beliau mempunyai sebarang mesej untuk bekas pengundinya.

Sekumpulan kecil penyokong, termasuk penjaminnya dan beberapa peguamnya dari Davinder Singh Chambers, turut tiba beberapa minit sebelum itu dan menunggunya di luar Mahkamah 4A, di mana dia akan menyerah diri. Isteri Iswaran tidak hadir.

Beliau dibawa pergi untuk memulakan hukuman penjara selepas menunggu sebentar di bilik mahkamah.

Iswaran dijatuhkan hukuman pada 3 Oktober lalu, dengan hakim hampir menggandakan hukuman penjara enam hingga tujuh bulan seperti yang diminta oleh pihak pendakwaan.

Menerusi satu catatan di Facebook, Iswaran berkata bahawa beliau "tidak akan merayu hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah".

Dalam kenyataannya, Iswaran berkata adalah penting baginya bahawa pendakwa raya membuat pindaan kepada pertuduhan terhadapnya di bawah Akta Pencegahan Rasuah kepada Seksyen 165 Kanun Keseksaan, bagi penerimaan hadiah oleh penjawat awam.

"Saya menerima bahawa sebagai seorang Menteri apa yang saya lakukan adalah salah di bawah Seksyen 165. Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakan saya dan memohon maaf tanpa syarat kepada semua rakyat Singapura," tulisnya.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan