Skip to main content

Singapura

Iswaran dijatuhi hukuman penjara 12 bulan selepas didapati bersalah atas 5 tuduhan

Anggaran Waktu Membaca:
Iswaran dijatuhi hukuman penjara 12 bulan selepas didapati bersalah atas 5 tuduhan

(Gambar: Nathan Magindren/CNA)

Diterbitkan : 03 Oct 2024 10:06AM Dikemas Kini : 03 Oct 2024 12:58PM
SINGAPURA: Mantan Menteri Pengangkutan S Iswaran telah dijatuhi hukuman penjara kerana memperoleh hadiah bernilai kira-kira S$403,300 sepanjang tempoh tujuh tahun daripada dua ahli perniagaan yang dianggap adaah rakan-rakannya.

Encik Iswaran yang berusia 62 tahun itu dijatuhi hukuman penjara selama 12 bulan pada Khamis (3 Okt) selepas beliau mengaku bersalah pada hari pertama prosiding perbicaraan yang pada mulanya dijangka akan berlarutan dengan seramai 56 saksi pendakwaan.

Hukuman itu dijatuhkan lebih setahun selepas hasil siasatan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) didedahkan dan 10 bulan selepas Encik Iswaran pertama kali didakwa di mahkamah.

Peguam utama Encik Iswaran, Davinder Singh telah mengusulkan hukuman penjara tidak lebih daripada lapan minggu, manakala Timbalan Peguam Negara Tai Wei Shyong memohon hukuman penjara antara enam hingga tujuh bulan.

Encik Iswaran meletak jawatan pada Januari dan sudah membayar S$380,305.95 secara sukarela kepada pemerintah sehari sebelum perbicaraan dijadual bermula pada 24 Sep. Ini merujuk kepada barang-barangan berharga yang diperoleh secara haram dan berbeza daripada pembayaran balik.

Botol-botol wiski dan wain, kayu golf dan sebuah basikal Brompton turut disita daripadanya.

KES ISWARAN

Antara November 2015 dan Disember 2022, Encik Iswaran memperoleh barangan berharga seperti tiket muzikal, perlawanan bola sepak dan Formula 1 daripada pemegang saham majoriti Singapore GP Ong Beng Seng, serta botol-botol wiski dan wain daripada bos syarikat binaan Lum Kok Seng.

Ini ketika Encik Iswaran memegang portfolio yang mempunyai urusan rasmi dengan kedua-dua lelaki itu, menurut pihak pendakwa.

Syarikat Encik Lum, Lum Chang Building Contractors, memeterai kontrak bernilai S$325 juta dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 2016 untuk kerja-kerja di Stesen MRT Tanah Merah dan jejambatnya. Encik Iswaran ialah Menteri Pengangkutan pada Mei 2021.

Encik Ong dikaitkan dengan dua perjanjian antara Singapore GP dan Lembaga Pelancongan Singapura (STB) untuk mengendalikan perlumbaan tahunan Formula 1 Singapura.

Encik Iswaran adalah pengerusi Jawatankuasa Pemandu F1, yang ditubuhkan oleh pemerintah untuk menyelia F1 sebagai sebuah projek nasional.

Encik Iswaran juga merupakan Menteri Perdagangan dan Perusahaan dari Oktober 2015 hingga April 2018, dengan STB di bawahnya. Beliau juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan dari Mei 2018 hingga Januari 2024 apabila beliau meletak jawatan.

Pihak pendakwa bagaimanapun akur bahawa Encik Iswaran tidak campur tangan dalam sebarang keputusan yang berkaitan dengan kontrak syarikat Encik Lum, dan "tiada apa-apa yang menunjukkan bahawa kontrak F1 telah distrukturkan sedemikian rupa agar ia tidak memanfaatkan pemerintah".

Kes itu terbongkar pada Mei 2023 apabila CPIB menyiasat kes berasingan yang dikaitkan dengan rakan-rakan niaga Encik Ong dan menemui dokumen penerbangan untuk penerbangan luar negara menggunakan jet peribadi Encik Ong.

Encik Iswaran menaiki penerbangan bernilai S$10,410 itu dari Singapura ke Doha pada 10 Dis 2022. Perjalanannya ke sana, penginapan satu malam di Hotel Four Seasons Doha dan penerbangan kelas perniagaan untuk pulang ke Singapura dibiayai oleh Singapore GP atas arahan Encik Ong.

Encik Iswaran tidak mengisytiharkan perjalanan itu kepada pemerintah. Beliau sebaliknya memohon cuti peribadi untuk menerima tawaran Encik Ong untuk menyertainya sebagai tetamunya.

Apabila Encik Ong mendapat berita tentang rampasan dokumen penerbangan oleh CPIB, dia menghubungi Encik Iswaran dan memberitahunya tentang perkara tersebut. Encik Iswaran kemudian meminta Encik Ong mengarahkan Singapore GP supaya mengeluarkan bil bagi perbelanjaan perjalanan, dan kemudian membayar S$5,700 untuk penerbangan pulang ke Singapura.

Ini membentuk tuduhan menghalang keadilan.





KEPUTUSAN UNTUK MENGAKU BERSALAH

Walaupun mengaku tidak bersalah dan mengumumkan hasratnya untuk mencabar tuduhan-tuduhan itu dari awal lagi, Encik Iswaran bagaimanapun mengaku bersalah selepas pihak pendakwa meminda dua tuduhan rasuah kepada tuduhan-tuduhan mengikut Seksyen 165 kerana mendapatkan barang berharga daripada seseorang yang dikaitkan dengannya secara rasmi.

Menurut peguamnya Encik Singh, mantan menteri itu tidak bersetuju untuk mengaku bersalah lebih awal kerana beliau tidak bersetuju dengan tuduhan rasuah, yang membentuk keseluruhan kes terhadapnya.

Encik Iswaran akhirnya mengaku bersalah atas lima tuduhan - empat di bawah Seksyen 165 dan satu tuduhan menghalang keadilan dengan membayar balik kos penerbangan dari Doha ke Singapura pada Disember 2022.

Lagi 30 tuduhan di bawah Seksyen 165 turut diambil kira.

Seksyen 165 adalah kesalahan yang jarang berlaku dan tiada kes terkait dengan seksyen itu dilaporkan sejauh ini dan tiada rangka kerja hukuman bagi kesalahan di bahwa seksyen tersebut.

Dalam hujahnya semasa menjatuhkan hukuman, Encik Tai berhujah bahawa Encik Iswaran "lebih daripada penerima pasif hadiah".

Beliau berkata objektif kesalahan di bawah Seksyen 165 adalah untuk menjadikannya sebagai satu kesalahan di sisi undang-undang untuk pegawai awam yang, dengan mendapatkan atau menerima hadiah, "membuatkan kesetiaannya kepada pemerintah dipersoalkan berhubung sesuatu transaksi perniagaan".

Encik Tai berkata tindakan Encik Iswaran, ketika beliau adalah wakil pemerintah paling kanan yang berunding dengan Singapore GP berhubung hal perniagaan berkaitan F1, "menggugat dengan ketara kedudukannya sebagai ketua perunding bagi pihak pemerintah".

Peguam bela Encik Singh berkata Encik Iswaran tidak secara aktif meminta barangan ang diberikan kepadanya dan beliau tidak tahu tentang Seksyen 165 ketika itu, walaupun beliau akur bahawa "kejahilan undang-undang bukanlah satu alasan".

"Pemerintah Singapura telah menjelaskan bahawa jika pegawai awam menerima hadiah dan barangan di bawah Seksyen 165, maka pegawai awam itu akan didakwa," kata Encik Singh.

Menjelaskan beberapa tindakan Encik Iswaran, beliau berkata Encik Ong memberitahu Encik Iswaran pada Disember 2022 semasa Piala Dunia FIFA 2022 bahawa Encik Hassan Al-Thawadi, pengerusi Jawatankuasa Penganjur Piala Dunia, telah mengundang Encik Ong untuk menonton perlawanan suku akhir di Doha.

Encik Ong mempelawa Encik Iswaran untuk menyertainya, dan Encik Iswaran sedia maklum bahawa pelawaan itu adalah kerana Encik Ong menganggapnya sebagai kawan dan tetamu.

Encik Iswaran juga menyifatkan perjalanan itu sebagai peluang untuk mereka berdua mempelajari bagaimana bandar seperti Doha menganjurkan acara bertaraf dunia, kata Encik Singh.

Mengenai wiski dan wain yang diperoleh daripada Encik Lum, Encik Singh berkata Encik Iswaran telah meminta Encik Lum memberitahunya tentang pembekal tetapnya supaya Encik Iswaran boleh membeli arak itu sendiri, tetapi Encik Lum menghadiahkannya kepada Encik Iswaran bersama dengan wain merah yang lain.

Basikal Brompton yang diberikan Encik Lum kepada Encik Iswaran telah diberikan kepadanya sempena ulang tahun ke-60 mantan menteri itu sebagai hadiah, kata peguam bela itu.

Beberapa tiket F1 yang diterima Encik Iswaran adalah percuma dan bukan untuk dijual, tanpa kerugian yang dialami oleh Singapore GP atau Encik Ong, kata Encik Singh.

Encik Iswaran juga mengagihkan tiket-tiket itu kepada para sukarelawan akar umbi dan badan amal yang isterinya terlibat dengan badan amal tersebut, kata Encik Singh.

Hukuman bagi kesalahan mendapatkan sesuatu yang berharga sebagai pegawai awam ialah hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Bagi menghalang keadilan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita