Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Isu warga tua, keluarga muda, tumpuan pelan pembangunan GRC East Coast, kata Dr Maliki

Isu berkaitan penjagaan warga emas dan keperluan serta aspirasi keluarga muda menjadi tumpuan pelan pembangunan GRC East Coast pada tahun-tahun mendatang.

Anggaran Waktu Membaca:
Isu warga tua, keluarga muda, tumpuan pelan pembangunan GRC East Coast, kata Dr Maliki

Manifesto yang dibentangkan pasukan calon PAP di GRC East Coast (Gambar: PAP)

SINGAPURA: Isu berkaitan penjagaan warga emas dan keperluan serta aspirasi keluarga muda menjadi tumpuan pelan pembangunan GRC East Coast pada tahun-tahun mendatang.

Wawasan ini didedahkan pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) GRC East Coast semasa sesi rapat online kedua pasukan itu hari ini (4 Jul).

Pasukan PAP itu terdiri daripada Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat, Dr Mohd Maliki Osman, Jessica Tan, Cheryl Chan dan Tan Kiat How.

Encik Heng yang baru berpindah ke kawasan undi itu berkongsi bahawa rancangan masa depan GRC East Coast mengambil kira profil yang pelbagai dalam kalangan penduduk di kawasan itu.

Dua kumpulan besar katanya amat menonjol yakni warga emas dan keluarga muda.

Maka itu fokus mereka sejauh ini ialah untuk mengenali penduduk dan bagi penduduk untuk mengetahui pelan pembangunan masa depan GRC mereka.

KELUARGA MUDA NANTI-NANTIKAN PEMBANGUNAN

Muka baru pasukan East Coast, Tan Kiat How berkata menerusi interaksi beliau bersama ramai keluarga muda sejauh ini mendapati mereka tidak sabar melihat beberapa projek pembangunan kemudahan dijalankan di kawasan tersebut.

Beberapa inisiatif juga akan dipertingkatkan bagi menggalak lebih banyak pergaulan dan usaha bersepadu antara generasi tua dan muda di kawasan itu.

Ini memandangkan terdapat jumlah warga emas yang besar di GRC East Coast baik yang tinggal di flat HDB mahupun hartanah privet.

PASTIKAN WARGA EMAS DAPAT MENUA DENGAN SELESA

Bagi menggalak penuaan yang selesa, pasukan PAP pimpinan DPM Heng ini mahu membantu memastikan mereka kekal sihat dari segi mental, fizikal serta sosial supaya dapat meniti usia senja mereka dengan penuh bermakna.

Sejauh ini, beberapa kegiatan sudah dijalankan untuk menggalak penuaan yang aktif di kalangan penduduk melalui kegiatan senaman serta kerjasama dengan rakan-rakan masyarakat untuk menangani masalah seperti demensia.

Selain itu, mereka juga mahu membina keupayaan warga tua kawasan itu untuk menjadi celik IT. Mentelah lagi, pengalaman semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan membuktikan pentingnya warga tua untuk sentiasa menggunakan peralatan digital.

Ini bermakna beberapa inisiatif yang sudah dijalankan di peringkat akar umbi mungkin dipertingkatkan agar dapat dilakukan pada skala yang lebih besar.

"Kami akan teroka lebih banyak cara untuk mendampingi golongan warga tua yang mungkin tinggal sebatang kara atau mungkin sukar untuk mereka datang ke kelab masyarakat untuk menyertai program.

"Jadi di Siglap, kami memulakan inisiatif 'Siglap Silver Mobile' yang mana kami akan menjemput mereka menggunakan kenderaan mesra warga tua ke kelab masyarakat dan menghantar mereka pulang selepas itu. Ini dilakukan setiap hari dan saya harap insiatif ini dapat dipertingkatkan lagi," kata Dr Maliki. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan