Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Isu warga emas cederakan diri sendiri membimbangkan; SOS terima lebih banyak panggilan krisis

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 08 Oct 2022 10:34AM Dikemas Kini : 08 Oct 2022 09:26PM
SINGAPURA: Hampir setiap malam, Encik Wong (bukan nama sebenar), 69 tahun, bergelut dengan rasa bimbang dia akan mati sendirian di flat satu biliknya.

Malah, pil tidur yang diberi doktor juga tidak membantu 'melenyapkan' suara-suara bisikan dalam kepalanya.

Dia akhirnya nekad mengambil 50 pil sekali gus.

Kes Encik Wong tidak asing bagi pekerja sosial dari pertubuhan bukan meraih untung O'Joy. Mereka mengendalikan kira-kira 100 kes seumpama itu, yang mana seseorang itu mencederakan dirinya sendiri.

Meskipun agensi-agensi, termasuk Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga, Kementerian Kesihatan (MOH) dan
Institut Kesihatan Mental (IMH) tidak dapat memberikan perangkaan berhubung jumlah kes warga emas yang mencederakan diri sendiri, para pakar percaya jumlah kes yang dilaporkan kurang daripada keadaan sebenar.

SEBAB CEDERAKAN DIRI SENDIRI

Menurut Dr Yao Fengyuan, perunding kanan dan ketua Jabatan Psikiatri Geriatrik di IMH, perbuatan mencederakan diri sendiri dengan sengaja tidak bermakna seseorang itu berniat untuk mengambil nyawanya sendiri.

Sebab-sebab utama di sebalik perbuatan itu termasuk isu kesihatan fizikal yang serius, masalah kewangan dan kehilangan seseorang yang dekat. Ada juga yang perlu menangani pengasingan sosial dan masalah keluarga semasa pandemik.

Kes dalam kalangan warga emas jelas berbeza daripada yang dilaporkan oleh belia, kumpulan usia yang semakin menerima perhatian sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut Dr Yao, warga emas lebih cenderung untuk mencederakan diri mereka sendiri dengan mengambil ubat yang berlebihan dan melukakan diri mereka.

"Terdapat sebilangan warga emas dengan penyakit mental tetapi tidak mahu mendapatkan bantuan. Kerana penyakit-penyakit mental ini dikaitkan dengan kesedaraan yang kurang baik, seperti psikosis dan demensia," ujar Dr Yao.

Segelintir warga emas itu juga tidak mampu mengenal pasti simptom psikosomatik.

Ketua Pegawai Operasi Samaritans of Singapore (SOS) Phua Chun Yat berkata: "Mereka mungkin memberitahu para pakar kesihatan yang mereka mengalami sakit dada meskipun ia sebenarnya satu perasaan psikologi."
KESAN PANDEMIK

Berdasarkan perangkaan SOS, lebih ramai warga emas sedang mendapatkan bantuan bagi isu-isu berkaitan kesihatan mental.

Agensi pencegahan bunuh diri itu, yang menawarkan talian hotline 24 jam bagi bantuan emosi, menerima 6 peratus lebih banyak panggilan dari mereka yang berusia 60 tahun ke atas, dalam masa setahun lalu.

Menurut Encik Phua, semasa pandemik, warga emas membuat panggilan untuk berkongsi tentang kesulitan yang mereka hadapi dengan keadaan yang tidak menentu.

"Kebanyakan daripada mereka juga mengalami kesulitan sosial, kerana mereka terkurung dan tidak dapat bertemu dengan orang tersayang. Secara umumnya mereka rasa kesepian," kata beliau.

Cik Tricia Lee, ketua perhubungan di Caregivers Alliance, berkongsi kisah seorang nenek 92 tahun yang membunuh diri semasa pandemik.

“Dia berpindah ke Singapura dari Malaysia sebelum COVID-19 melanda, sukar untuknya menyesuaikan diri. Dia tidak mempunyai rangkaian jiran dan rakan lamanya, dan kami tidak dapat sering membawanya keluar,” kata Cik Lee.

DAPATKAN BANTUAN

Ketika isu warga tua yang mencederakan diri mereka sendiri dibangkitkan di Parlimen pada Julai,
MOH menyatakan bahawa penerima khidmat jagaan warga tua yang menunjukkan tingkah laku mencederakan diri atau agresif boleh menghubungi talian bantuan IMH untuk mendapatkan bantuan.

Pasukan campur tangan peringkat masyarakat juga ditubuhkan untuk menawarkan jagaan lanjut.

Namun demikian, para pakar menarik perhatian bahawa warga emas berkemungkinan tidak menerima bantuan yang diperlukan, dengan lebih banyak sumber dialihkan ke wadah online.

“Bagi warga emas yang tidak mahir IT, mereka tidak biasa dengan sidang video. Mereka sebenarnya lebih suka bertemua secara fizikal,” kata Dr Yao.

Di mana anda boleh dapatkan bantuan:

Hotline Samaritans of Singapore: 1767

Talian Bantuan Institut Kesihatan Mental: 6389 2222

Talian Bantuan Persatuan bagi Kesihatan Mental Singapura: 1800 283 7019

Anda juga boleh mendapatkan senarai talian bantuan antarabangsa di sini. Jika seseorang yang anda kenali berada dalam keadaan berisiko, segera hubungi perkhidmatan perubatan kecemasan 24 jam.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan