Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Isu tudung bagi jururawat: PM Lee ucap terima kasih kepada Mufti, MUIS

Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (31 Mac) mengucapkan terima kasih kepada Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir kerana melahirkan sokongan MUIS kepada usaha-usaha Pemerintah mempertimbangkan dahulu soal membenarkan para jururawat Muslim memakai tudung.

Anggaran Waktu Membaca:
Isu tudung bagi jururawat: PM Lee ucap terima kasih kepada Mufti, MUIS

PM Lee Hsien Loong. (Gambar: MCI)

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (31 Mac) mengucapkan terima kasih kepada Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir kerana melahirkan sokongan MUIS kepada usaha-usaha Pemerintah mempertimbangkan dahulu soal membenarkan para jururawat Muslim memakai tudung.

Menurut PM Lee, Pemerintah mengerti sepenuhnya pentingnya tudung kepada Muslim Singapura serta keinginan sebilangan jururawat Muslim untuk memakai tudung bersama pakaian seragam mereka, seandainya mereka mahu berbuat demikian.

"Kami kini menimbangkan bagaimana ini boleh dilakukan," kata PM Lee.

Encik Lee menyatakan demikian dalam sepucuk surat balas kepada Mufti. Surat bertarikh 31 Mac itu sebagai menjawab surat kiriman Mufti pada Sabtu lalu (27 Mac), di mana tokoh agama berkenaan menyatakan beliau menyambut baik pengumuman Pemerintah baru-baru ini bahawa besar kemungkinan para jururawat Muslim akan dibenarkan memakai tudung di tempat kerja.

PM Lee turut menambah Singapura antara sebilangan kecil negara di dunia, di mana rakyat berbilang kaum dan agama dapat hidup secara aman dan akrab bersama-sama.

Semua ini dicapai menerusi sikap saling bertolak ansur serta membina kepercayaan oleh semua kumpulan, dan kini Singapura mencapai satu imbangan rumit yang mengambil kira kepentingan semua masyarakat.

Bagaimanapun PM Lee menekankan bahawa imbangan itu bersifat "dinamik".

"Sedang generasi lebih muda Singapura membesar dan sikap berubah, isu-isu baru dan tekanan-tekanan baru pula timbul.

"Ini mesti ditangani dengan mengambil kira konteks Singapura," kata PM Lee.

Sebarang perubahan, kata PM Lee, mesti dipertimbangkan dengan berhati-hati dan beransur-ansur.

Dengan cara itulah kata beliau sebarang perubahan akan dimengerti dan diterima oleh semua masyarakat dan hasilnya akan menguatkan, bukan melemahkan keharmonian kaum dan agama negara ini.

PM Lee kemudian mengucapkan terima kasih kepada Mufti dan MUIS kerana membantu membina keharmonian kaum dan agama di sini sejak lebih setengah abad lalu.

Encik Lee menambah beliau akan terus bekerjasama dengan MUIS bagi mengukuhkan perpaduan sosial dan mencapai kemajuan bagi masyarakat Muslim serta semua rakyat Singapura.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa