Skip to main content

Singapura

'Isu teknikal' sistem pendingin pusat data punca gangguan DBS, Citibank

Anggaran Waktu Membaca:
'Isu teknikal' sistem pendingin pusat data punca gangguan DBS, Citibank

ATM POSB menunjukkan mesej ralat di Tampines pada 14 Oktober 2023. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 16 Oct 2023 07:47PM Dikemas Kini : 16 Oct 2023 08:39PM
SINGAPURA: Gangguan khidmat perbankan dan pembayaran di Singapura selama sejam pada hujung minggu lalu berpunca daripada isu teknikal berkait sistem pendingin - yang menggunakan air sejuk - di sebuah pusat data.

Demikian didedahkan Equinix kepada Mediacorp pada Ahad (16 Okt).

Gangguan tersebut yang berlaku pada Sabtu, hingga menyebabkan gangguan kepada khidmat perbankan dan pembayaran DBS dan Citibank, berlaku selepas naik taraf sistem yang dirancang di salah satu pusat data Equinix di Singapura, kata seorang jurucakap.

"Ini meningkatkan suhu di beberapa dewan di pusat data itu dan mendatangkan kesan kepada sebilangan operasi pelanggan," tambahnya.

Isu tersebut sudah dihuraikan dan penyedia pusat data Equinix sedang berhubung dengan pelanggan yang terjejas, yang juga termasuk penyedia khidmat telefon bimbit redONE.

Mediacorp sudahpun menghubungi Equinix untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai siasatan yang dijalankan ke atas isu teknikal berkenaan.

Gangguan tersebut bermula sekitar pukul 3.00 petang pada Sabtu, dengan laman Downdetector menunjukkan lonjakan dalam laporan yang dibuat berhubung DBS dan Citibank.

Khidmat DBS - termasuk DBS/POSB digibank, DBS PayLah! dan perbankan ATM - mengalami gangguan. Sementara itu, khidmat Citibank termasuk penggunaan Kad Citi Credit Cards, PayNow dan pelaburan menerusi aplikasi telefon bimbit Citi atau Citibank Online turut terjejas.

Kedua-duanya menyatakan pada Ahad bahawa perkhidmatan tersebut sudah kembali beroperasi.

Dalam satu catatan yang dimuat naik di laman akan akaun Facebooknya pada Ahad, redOne menyatakan bahawa pihaknya mula menerima maklum balas daripada para pengguna mengenai isu perkhidmatan rangkaian dari pukul 4.30 petang pada Sabtu. Khidmat data, panggilan dan SMS juga terjejas.

Isu berkenaan berpunca daripada terputusnya bekalan tenaga di sebuah pusat data Equinix.

"Jurutera kami dikerahkan dan pergi ke tapak dengan segera untuk memperbetulkan isu berkenaan dan memulakan proses pemulihan. Namun, proses itu mengambil masa yang lebih panjang daripada apa yang dijangkakan pada mulanya," tambah kenyataan tersebut.

Khidmat telefon bimbit kembali beroperasi sepenuhnya pada pukul 1.00 pagi pada Ahad.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita