Isu sewa hartanah Ridout: CPIB dapati tiada salah laku oleh Shanmugam, Balakrishnan
SINGAPURA: Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam dan Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan didapati tidak menyalahguna kuasa berhubung penyewaan hartanah di Ridout Road.
Demikian hasil dapatan dua siasatan bebas, bagi menentukan sama ada proses sewa dilakukan mengikut pematuhan penuh prosedur Penguasa Tanah Singapura (SLA).
Dakwaan mengenai isu itu timbul pada bulan Mei selepas anggota politik pembangkang dan ketua Parti Reformasi Kenneth Jeyaretnam mempersoalkan sama ada dua Menteri berkenaan "membayar sewa kurang daripada nilai pasaran".
Dua hartanah itu melibatkan banglo kolonial yang terletak di Ridout Road dan diuruskan oleh SLA.
Siasatan oleh agensi pencegah rasuah negara, Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) tidak menemui sebarang bukti rasuah atau salah laku jenayah oleh Encik Shanmugam dan Dr Balakrishnan mahupun layanan keutamaan istimewa diberikan kepada mereka serta isteri masing-masing dalam urusniaga penyewaan banglo di 26 Ridout Road dan 31 Ridout Road itu.
Tambah laporan CPIB itu lagi, tiada pendedahan maklumat istimewa berlaku dalam proses transaksi tersebut, dan tiada bukti yang menunjukkan sebarang salah guna kuasa oleh kedua-dua Menteri untuk kepentingan peribadi mereka.
Pada 23 Mei, Encik Shanmugam dan Dr Balakrishnan meminta semakan bebas dijalankan.
Menurut laporan itu Encik Shanmugam membayar sewa S$26,500 sebulan bagi 26 Ridout Road, dan Dr Balakrishnan pula membayar S$19,000 sebulan untuk menyewa 31 Ridout Road.
Harga sewa Dr Balakrishnan disemak kepada S$20,000 pada 2022 disebabkan "keadaan pasaran semasa".
Laporan kedua yang diketuai Menteri Kanan Teo Chee Hean, membuat kesimpulan bahawa kedua-dua menteri "mengendalikan transaksi sewa itu dengan betul".
Ia juga mendapati tidak berlaku salah guna kuasa, atau wujud konflik kepentingan menyebabkan kedua-dua menteri berkenaan meraih keistimewaan yang tidak adil.
Dalam kes Encik Shanmugam, beliau telah memaklumkan kepada Timbalan Setiausaha Kementerian Undang-undang ketika itu bahawa beliau akan mengecualikan dirinya daripada sebarang perbincangan berkaitan penyewaan hartanah itu.
Beliau mengarahkan Timbalan Setiausaha ketika itu bahawa jika sebarang perkara berkaitan hartanah itu perlu dirujukkan kepada Menteri, beliau harus membawanya kepada Menteri Negara Kanan Undang-undang ketika itu, Indranee Rajah.
Encik Shanmugam juga memaklumkan kepada Menteri Kanan Teo Chee Hean bahawa jika perkara itu memerlukan perhatian pihak lebih tinggi, Cik Indranee akan membawanya kepada Encik Teo.
Tiada perkara dibangkitkan oleh Penguasa Tanah Singapura (SLA) kepada Kementerian Undang-undang semasa keseluruhan proses sewa itu, kata CPIB dalam laporannya.
Konflik kepentingan mungkin berlaku jika Encik Shanmugam membuat keputusan yang menjejaskan proses sewa di 26 Ridout Road, kata Encik Teo dalam laporannya, yang juga dikeluarkan pada Rabu.
Ini kerana Encik Shanmugam ialah Menteri Undang-undang, dan kementerian itu menyelia SLA.
"Oleh itu, Menteri Shanmugam telah mengiktiraf potensi berlakunya konflik kepentingan, mengisytiharkannya kepada Menteri Kanan Teo, dan mengambil langkah berkesan untuk menghapuskan potensi konflik ini untuk mengelakkan sebarang konflik sebenar daripada timbul," tambah laporan itu lagi.
Pejabat Peguam Negara (AGC) bersetuju dengan hasil dapatan CPIB serta saranan-saranannya.
Menurut AGC tiada tindakan lanjut perlu diambil kerana fakta tidak mendedahkan sebarang kesalahan. "Siasatan terhadap perkara ini ditutup," menurut laporan itu.
Perdana Menteri Lee Hsien Loong juga telah menerima kedua-dua laporan itu.
Beliau mengarahkan supaya laporan tersebut diterbitkan dan dibentangkan di Parlimen apabila Dewan bersidang minggu depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.