Isu Selat Hormuz: Prinsip SG tidak boleh dijual beli, kata Zhulkarnain
Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar Negeri, Zhulkarnain Abdul Rahim, bercakap mengenai pendirian Singapura berkait Selat Hormuz di podcast Deep Dive.
Bercakap dalam podcast Deep Dive terbitan CNA, beliau menegaskan bahawa tiada sesiapa yang boleh menjamin laluan selamat tersebut sepenuhnya.
"Risikonya ialah apabila kita mula berunding, mula bertolak ansur, atau meletakkan harga padanya, itu bermakna prinsip kita boleh dijual beli," kata Encik Zhulkarnain, yang pernah mengendalikan isu maritim sebagai peguam. "Jika kita lakukan itu, kita tidak lagi akan mempunyai kedudukan yang kuat."
Beliau menambah bahawa Selat Melaka dan Singapura mempunyai trafik kapal hampir tiga kali ganda lebih banyak berbanding Selat Hormuz, menjadikannya laluan perkapalan paling sibuk di dunia yang membawa pelbagai jenis barang, bukan hanya minyak.
"Apa-apa pendirian yang kita ambil mengenai isu Selat Hormuz harus dilihat berdasarkan kepentingan kedaulatan, keselamatan dan sumber pendapatan kita di sini," tambahnya.
Jika situasi yang sama berlaku di Selat Melaka dan Singapura, Singapura tentu mahu laluan perkapalan itu kekal terbuka.
"Kita tidak mahu disekat. Kita tidak mahu bergantung kepada sesiapa yang menawarkan harga tertinggi atau terpaksa membayar harga yang sangat tinggi untuk mendapatkan bekalan buat rakyat Singapura."
PRINSIP ASAS ANTARABANGSA
Menteri Ehwal Luar, Vivian Balakrishnan, menyatakan pada April lalu bahawa Singapura tidak akan berunding untuk mendapatkan laluan selamat di Selat Hormuz kerana ia akan menjejas prinsip undang-undang antarabangsa. Menurutnya, menggunakan laluan laut sedemikian adalah satu hak, bukan satu keistimewaan.
Iran sebelum ini menyatakan ia membenarkan kapal dari beberapa negara - termasuk China, India, Pakistan, Jepun, Thailand, Malaysia dan Filipina - untuk melintasi selat tersebut. Para pemerhati memberitahu Mediacorp bahawa Iran memilih negara berkenaan berdasarkan sama ada negara tersebut bermusuh atau menyokong kedudukan Amerika Syarikat-Israel dalam konflik tersebut.
Singapura menganggap hak menggunakan laluan itu sebagai sebahagian daripada undang-undang antarabangsa yang termaktub dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).
Encik Zhulkarnain menegaskan hak tersebut terpakai kepada semua negara, sama ada mereka menandatangani konvensyen itu atau tidak.
Apabila ditanya sama ada Singapura perlu menimbang semula kedudukannya jika penakatan negara terancam, Encik Zhulkarnain tetap tegas.
"Ada perkara tertentu yang anda tidak boleh jual beli - hak anda untuk terus hidup, kedaulatan anda, dan perkara yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat Singapura. Saya tidak boleh pertaruhkan itu. Tiada harga yang boleh diletakkan padanya."
Beliau berkata cara terbaik adalah dengan mencari negara yang mempunyai pemikiran yang sama dan menghormati peraturan yang sudah ditetapkan sejak lebih 40 tahun lalu.
Walaupun konflik itu belum berakhir, Encik Zhulkarnain yakin dunia tidak akan kehabisan bekalan.
"Bekalan tetap akan sampai, sama ada dari Barat atau melalui laluan lain - cuma harganya mungkin berbeza."
Beliau menambah bahawa pemerintah mahu sumber dengan harga yang lebih berpatutan untuk rakyat, dan Singapura sudah pun mempelbagaikan sumber tenaga dengan negara lain.
"Kita bukan sahaja mendapat bekalan tenaga dari Timur Tengah. Kita juga mendapatkannya dari Mozambique, Australia dan negara lain. Jadi, kita sedang berusaha ke arah itu."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.