Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Isu sara hidup, pandangan rencam dalam Parlimen penting bagi pengundi GE2020

Di tengah-tengah pilihan raya yang diadakan semasa pandemik COVID-19, perhatian para pengundi tertumpu kepada krisis COVID-19 dan isu mata pencarian. Namun, mereka juga meluahkan betapa pentingnya untuk menyuarakan pandangan yang berbeza dan rencam di Parlimen. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 01 Oct 2020 07:29PM Dikemas Kini : 01 Oct 2020 09:03PM

SINGAPURA: Di tengah-tengah pilihan raya yang diadakan semasa pandemik COVID-19, perhatian para pengundi tertumpu kepada krisis COVID-19 dan isu mata pencarian. Namun, mereka juga meluahkan betapa pentingnya untuk menyuarakan pandangan yang berbeza dan rencam di Parlimen.

Dapatan ini adalah antara hasil tinjauan pasca pilihan raya oleh Institut Pengajian Dasar (IPS) yang dikeluarkan pada Khamis (1 Okt). Ia turut mendedahkan bahawa cara bagaimana Pemerintah menangani pandemik COVID-19 di Singapura adalah antara isu utama yang dianggap penting oleh para pengundi dalam Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020), sedang pekerjaan, kos sara hidup dan pandangan berbeza dalam Parlimen terus mendapat perhatian.

Tinjauan Persepsi Dasar-Dasar di Singapura, yang dijalankan dari 11 Jul hingga 21 Ogos, mendapati bahawa pemerintah yang cekap dan berkesan menjadi keprihatinan utama pengundi pada GE2020, sama seperti semasa dua pilihan raya lalu.

Oleh kerana pilihan raya 2020 diadakan di tengah-tengah penularan COVID-19, satu perkara baru tentang cara menangani krisis itu turut disertakan ke dalam kajian tersebut - yang menganalisis pandangan 4,027 rakyat. Ia mendapati 89 peratus daripada kesemua responden menyatakan "cara Pemerintah menangani keadaan COVID-19" adalah "penting" atau "sangat penting" buat mereka.

Berbanding dengan dapatan pada 2015, tiga isu yang muncul di benak fikiran para pengundi dengan sebahagian besarnya menyatakan bahawa ia "sangat penting" kepada mereka. Tiga isu itu adalah keadaan pekerjaan, kos sara hidup dan betapa pentingnya pandangan yang berbeza dalam Parlimen.

Isu-isu pekerjaan dan kos sara hidup "sangat menonjol" bagi mereka yang berumur 30 hingga 54 tahun, dan mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana, menurut kajian itu.

Ini membayangkan bahawa persoalan mengenai kemampanan mata pencarian menjejas undi bagi kumpulan responden yang bekerja dan mereka yang daripada keluarga berpendapatan rendah sehingga pertengahan, menurut pasukan penyelidik yang dipimpin oleh Dr Gillian Koh, Timbalan Pengarah Kajian IPS.

“Mereka yang berisiko kehilangan pekerjaan mereka... mereka merasakan tidak terjamin dari segi pendapatan serta pekerjaan dan ini mungkin memberi kesan terhadap cara mereka mengundi semasa pilihan raya itu," kata Profesor Madya Tan Ern Ser daripada Jabatan Sosiologi di Universiti Nasional Singapura (NUS), yang juga antara anggota pasukan penyelidik itu.

Pandangan berbeza di Parlimen penting bagi responden lebih muda yang berusia antara 21 hingga 29 tahun, golongan pertengahan, PMET dan para pemegang diploma serta ijazah. Ini menunjukkan bahawa ideal politik adalah penting terutama bagi golongan muda dan berpendidikan, jelas pasukan penyelidik itu.

Para anggota lain pasukan itu adalah Dr Teo Kay Key, zamil pos-siswazah di Makmal Sosial IPS serta penyelidik bersekutu, Encik Damien Huang.

MAKIN RAMAI PENGUNDI BERGAJI RENDAH MAHUKAN SEMAK DAN IMBANGAN

Berbanding beberapa tahun lalu, tinjauan kali ini menyaksikan peningkatan pada sokongan bagi lebih banyak pandangan politik yang berbeza dalam kalangan pengundi daripada keluarga berpendapatan rendah dan mereka yang mempunyai pendidikan pos-menengah.

Untuk mengukur perkara itu, responden ditanya soalan-soalan seperti sama ada mereka mahukan semakan dan imbangan dalam Parlimen, sama ada ia penting untuk mempunyai wakil pembangkang yang dipilih dalam Parlimen dan jika sistem pilihan raya adalah adil untuk semua parti politik. "Pluralis", yang biasanya bersetuju dengan kenyataan-kenyataan seumpama itu, biasanya daripada golongan lebih muda dan datang daripada kumpulan berpendapatan lebih tinggi dan berpengajian tinggi.

Para penyelidik mengatakan bahawa mereka berusaha untuk menjawab pertanyaan tentang sama ada sokongan bagi pluralisme politik akan kembali menunjukkan trend peningkatan setelah merosot pada tahun 2015. Parti Tindakan Rakyat (PAP) memenangi GE2020 dengan bahagian undi sebanyak 61.2 peratus, jatuh hampir 9 mata dari 69.9 peratus yang diraih pada tahun 2015 tetapi keputusan itu lebih baik berbanding keputusan terendahnya semasa pilihan raya 2011 iaitu sebanyak 60.1 peratus.

Para pemimpin parti mengaitkan kemerosotan pada sokongan yang diterima dengan cabaran ekonomi COVID-19 serta keinginan untuk menyuarakan lebih banyak pandangan berbeza - pluralisme - dalam kalangan pengundi.

Tinjauan IPS itu juga mendapati bahawa terdapat kejatuhan ketara pada jumlah mereka dalam kategori "Konservatif", yang tidak melihat nilai dalam pluralisme politik, dari 44.3 peratus kepada 18.5 peratus. Peningkatan bagi mereka yang berada dalam kategori "Pluralis" meningkat dari 18 peratus kepada 22.4 peratus.

Sebahagian besar responden atau 59.2 peratus tergolong dalam kategori mereka yang beralih undi - merujuk kepada pengundi dengan pandangan bercampur-campur. Sebagai perbandingan, jumlah pengundi yang 'beralih undi' berkurangan pada 2015 iaitu 37.8 peratus.

Apa yang juga berbeza tahun ini adalah kenaikan 7.2 peratus pada jumlah pengundi dalam kumpulan pendapatan S$0 hingga S$1,999 yang dikenal pasti sebagai "Pluralis" dan kenaikan 8.2 peratus dalam kalangan mereka yang mempunyai pendidikan pos-menengah (JC / ITE). Kesan isu yang menjejas kehidupan seharian di hujung spektrum sosio-ekonomi tersebut adalah khusus bagi keadaan ekonomi yang sukar di tengah-tengah GE2020, menurut pasukan penyelidik itu.

PERWATAKAN LEBIH PENTING DARIPADA PENCAPAIAN

Kajian itu juga meninjau bagaimana pengundi yang berwibawa menilai parti-parti, pentingnya berkempen secara online dalam pilihan raya kali ini dan sifat apa yang mereka hargai pada seseorang calon.

Bagi calon, kejujuran muncul sebagai sifat utama sementara menjadi "orang yang adil" dan "rajin atau komited" juga penting.

Para penyelidik juga menekankan bahawa tinjauan tahun ini dilakukan melalui tiga saluran yang berbeza -
telefon talian tetap, telefon bimbit dan Internet - sementara tinjauan sebelumnya hanya dijalankan melalui telefon talian tetap saja.

Berbanding dengan responden lain, responden kajian online lebih cenderung menjadi pluralis dan cenderung mengatakan bahawa Pemerintah PAP telah mentadbir negara ini dengan baik atau bahawa kehidupan mereka bertambah baik sejak GE2015.

Tiada perbezaan pada rating kewibawaan parti dalam kalangan responden yang didampingi menerusi kaedah yang berbeza itu. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan