Skip to main content

Singapura

Isu 'rosak rosot' rumah sewa: Apa yang boleh penyewa, tuan tanah lakukan?

Perabot haus pada bahagian tepi, kesan calar dan tanda pada permukaan lantai parket, warna cahaya matahari dan kesan minyak serta asap di dapur.

Anggaran Waktu Membaca:
Isu 'rosak rosot' rumah sewa: Apa yang boleh penyewa, tuan tanah lakukan?

Rumah privet di Singapura. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 05 Jul 2021 11:37AM Dikemas Kini : 05 Jul 2021 11:40AM

SINGAPURA: Perabot haus pada bahagian tepi, kesan calar dan tanda pada permukaan lantai parket, warna cahaya matahari dan kesan minyak serta asap di dapur.

Demikian antara rosak rosot biasa yang boleh berlaku pada sesebuah rumah disebabkan penggunaan biasa sehari-hari, menurut ejen-ejen hartanah dan para peguam.

"Tuan tanah tidak boleh memotong kos-kos disebabkan rosak rosot itu daripada wang deposit kerana tidak wajar untuk mengharapkan rumah itu kekal dalam keadaan sama pada hujung tempoh sewa sepertimana pada awalnya," kata Cik Victoria Lee Soo Pin, seorang peguam di IRB Law LLP.

Sekalipun demikian, kos bagi isu-isu seperti permaidani yang ada kesan terbakar atau kesan kotor, kunci hilang atau kesan pada dinding disebabkan air melimpah dari tempat mandi atau singki boleh diambil daripada deposit, tambah beliau.

TANGGUNJAWAB PENYEWA, TUAN TANAH

IRB Law LLP menangani sekitar 50 hingga 60 kes sebulan melibatkan tuan tanah dan penyewa, dedah Cik Lee.

Beliau menambah isu yang lazim diketengahkan adalah tentang kerosakan pada rumah sewa selain tuan tanah enggan memulangkan wang deposit penyewa disebabkan isu-isu seperti barang rosak dan bau dalam rumah.

Satu lagi isu yang biasa dipertikaikan adalah kerja-kerja pembersihan kerana ia boleh menjadi "isu subjektif", kata beliau. "Sebahagian rosak rosot boleh diperbaiki menerusi kerja-kerja pembersihan yang baik."

Cik Lee berkata perjanjian-perjanjian sewa biasanya tertera syarat bahawa sesebuah rumah itu mesti dibersihkan mengikut standard profesional apabila penyewa menyerahkannya kembali.

Oleh itu, apabila memulangkan sesebuah rumah, para penyewa harus menunjukkan invois terperinci daripada syarikat pembersihan untuk membuktikan bahawa kerja-kerja pembersihan sudah dijalankan, nasihat Cik Lee.

BAGAIMANA UNTUK MELINDUNGI DIRI

Terdapat dua laporan yang harus disediakan bagi proses penyerahan sesebuah hartanah, jelas ejen hartanah KnightFrank, Encik Alvin Yeo.

Laporan itu harus memberi gambaran sejelas mungkin tentang keadaan hartanah dan disertakan gambar-gambar.

Apabila para penyewa berpindah masuk ke sesebuah rumah, sebaik-baiknya minta mereka memetik banyak gambar dan hantarkannya kepada tuan tanah supaya pihaknya maklum tentang keadaan rumah itu.

Jika berlaku sebarang insiden semasa para penyewa tinggal di rumah tersebut, mereka harus segera maklumkan kepada tuan tanah, tambah beliau.

Ia juga penting untuk para penyewa dan tuan tanah serta ejen-ejen menetapkan jangkaan bagi sebarang kerosakan yang mungkin berlaku, kata Encik Yeo lagi.

PERANAN EJEN

Menurut ejen Propnex, Lim Yong Hock, ejen-ejen hartanah tidak bertanggungjawab meleraikan pertikaian antara penyewa dengan tuan tanah.

"Tugas seorang ejen, menurut CEA (Majlis Ejen-Ejen Hartanah), selesai selepas kami menyerahkan premis kepada pihak-pihak terlibat," kata beliau sambil menambah, pertikaian sedemikian biasanya dileraikan tanpa ejen.

Apabila ada pertikaian antara penyewa dengan tuan tanah, mereka boleh ke Tribunal Tuntutan Kecil atau cuba melantik pengantara, ujar Encik Yeo.

Tiada cara untuk ejen membantu meleraikan pertikaian, kata Encik Lim pula, sambil menambah para ejen biasanya merujuk pihak-pihak berkenaan kepada seorang pengantara bebas.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita