Skip to main content

Singapura

Isu perjanjian Income-Allianz: Pemimpin kesatuan sekerja prihatin kesan terhadap kedudukan NTUC, hubungan dengan Pemerintah

Isu melibatkan penjanjian Income Insurance dengan syarikat insurans Jerman, Allianz telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemimpin kesatuan sekerja mengenai sentimen negatif awam terhadap Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan kesan pada hubungannya dengan Pemerintah.

Anggaran Waktu Membaca:
Isu perjanjian Income-Allianz: Pemimpin kesatuan sekerja prihatin kesan terhadap kedudukan NTUC, hubungan dengan Pemerintah

(Gambar: Facebook/Ng Chee Meng)

SINGAPURA: Isu melibatkan penjanjian Income Insurance dengan syarikat insurans Jerman, Allianz telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemimpin kesatuan sekerja mengenai sentimen negatif awam terhadap Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan kesan pada hubungannya dengan Pemerintah.

Sekitar 300 anggota kesatuan sekerja bertemu dengan menteri Kabinet dan pemimpin kanan NTUC dalam satu mesyuarat tertutup yang diadakan pada lewat petang Rabu (16 Okt), dedah salah seorang pesertanya kepada Mediacorp.

Antara yang hadir termasuk Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong, Menteri Kedua Kewangan Chee Hong Tat, Setiausaha Agung NTUC Ng Chee Meng dan Presiden NTUC K Thanaletchimi.

Mereka memberitahu Mediacorp bahawa mesyuarat di Pusat NTUC di Marina Boulevard itu diadakan sebaik sahaja Pemerintah mengumumkan pada Isnin (14 Okt) bahawa ia akan menyekat perjanjian itu.

Cik Thanaletchimi memberitahu Mediacorp bahawa mesyuarat itu diadakan selama dua jam dan berakhir pada kira-kira pukul 10.00 malam. Perbincangan diadakan "secara terbuka".

"Semua orang begitu bertenaga. Tetapi mereka memahami pendirian Pemerintah dan kami bersetuju untuk melangkah bersama-sama ke hadapan," katanya.

Menurut salah seorang pemimpin kesatuan yang berpengalaman lebih 10 tahun, menteri yang hadir di mesyuarat itu memberikan tumpuan terhadap usaha mengukuhkan 'hubungan simbiotik' antara Pemerintah dengan NTUC.

Terdapat juga hasrat untuk tidak membiarkan kejadian "sekali sahaja" ini menjejas hubungan baik yang terjalin antara NTUC, Pemerintah dan penduduk selama ini, katanya.

Di sesi itu, ahli kesatuan sekerja turut menyuarakan keprihatinan mereka mengenai kesan negatif terhadap kedudukan awam NTUC dan Encik Ng di tengah-tengah kemelut yang berlaku.

Encik Ng dan Cik Thanaletchimi telah mengeluarkan kenyataan bersama pada 5 Ogos, di mana mereka memberi jaminan bahawa selepas perjanjian itu, NTUC akan memastikan bahawa Income terus komited dalam memastikan harga premium bagi dua skim insurans kos rendah masih boleh dimampui.

Mereka juga bimbang kerana isu itu berlaku tidak lama selepas hubungan antara NTUC dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP) hangat diperbualkan pada bulan lalu.

Di sidang Parlimen pada September lalu, anggota parlimen dari parti pembangkang bertikam lidah dengan PAP mengenai keberkesanan NTUC serta sejauh mana ia dikatakan bebas memandangkan kesatuan itu mempunyai "hubungan simbiotik" dengan parti yang memerintah.

Timbalan Setiausaha Agung NTUC Heng Chee How dan Desmond Tan, mempertahankan isu kebebasan kesatuan itu.

"Para pemimpin kesatuan bersetuju bahawa situasi ini (membatalkan perjanjian Allianz) tidak memberi gambaran baik kepada NTUC, dan ia kelihatan seolah-olah NTUC tidak bertindak demi kepentingan awam," kata salah seorang peserta mesyuarat tertutu itu, yang memilih untuk tidak dikenal pasti.

Kesimpulannya adalah NTUC perlu berusaha untuk mengukuhkan dan mempertajamkan mesej awamnya, serta memperbaiki hubungan, kata individu tersebut.

Dalam satu catatan di Facebook, Setiausaha Agung NTUC Encik Ng berkata mesyuarat itu merupakan sesi 'produktif' untuk ahli kesatuan sekerja mendapatkan penjelasan mengenai beberapa isu.

Para menteri turut menekankan bahawa NTUC dan pemerintah PAP akan berusaha untuk mengukuhkan lagi hubungan simbiotik mereka, katanya.

Pada Khamis (17 Okt), Encik Ng memberitahu Mediacorp bahawa "tiada lagi keraguan" bahawa hubungan antara NTUC dengan PAP masih kekal utuh.

"Tentu sekali, ada maklumat baharu yang ditimbulkan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), dan terdapat perbezaan pendapat seperti yang disampaikan," katanya.

Namun, NTUC menerima pendirian Pemerintah dan akan mengkaji secara teliti kesannya dan langkah yang harus diambili seterusnya, ujar beliau.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita