Isu penuaan, pekerja warga emas dan peningkatan kemahiran antara topik dalam Dialog Pasca Belanjawan M³
SINGAPURA: Keprihatinan tentang penjagaan warga emas serta pentingnya usaha meningkatkan kemahiran antara isu yang dibincangkan dalam 'Dialog Pasca Belanjawan M³' pada Khamis malam (2 Mac).
Sesi tersebut bertujuan memberi wadah kepada pemimpin masyarakat untuk menyuarakan keprihatinan dan saranan mereka mengenai Belanjawan 2023.
Ia juga peluang bagi panelis memberi penerangan dan penjelasan tentang skim-skim yang dibentangkan.
Berbanding tahun-tahun sebelumnya, sesi yang berlangsung di Wisma Geylang Serai itu juga satu-satunya sesi sedemikian yang dianjurkan untuk tahun ini.
Sesi yang berlangsung hampir dua jam itu masing-masing dipimpin panelis Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) Masagos Zulkifli, Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO) Dr Mohamad Maliki Osman serta Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang Mariam Jaafar dan AP GRC Pasir Ris-Punggol Sharael Taha.
Lebih 150 peserta mengambil bahagian termasuk wakil dari Casa Raudha Ltd, Majlis Pusat Singapura, dan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).
Mereka juga dibahagikan kepada dua kumpulan di mana kedua-dua sesi diadakan secara serentak.
HARUNGI CABARAN PENUAAN
Beberapa peserta menimbulkan isu mengenai penuaan.
Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang, Mariam Jaafar memberi jaminan, pemerintah akur akan keprihatinan tersebut dan akan membantu rakyat dalam persediaan mereka mengharungi cabaran penuaan.
"Masyarakat yang menua memang keutamaan pemerintah hari ini. Jadi, kami akan lihat bagaimana untuk meningkatkan lagi kesedaran dan juga lebih banyak skim untuk masyarakat yang menua," kata Cik Mariam.
Isu lain yang dibincangkan termasuk cara pemerintah membantu memberi keutamaan kepada keluarga dan pasangan muda untuk mendapatkan flat Bina Ikut Tempatan (BTO) serta usaha menangani peningkatan kos sara hidup.
Cik Mariam juga berkata beliau berbesar hati kerana terdapat minat untuk meningkatkan kemahiran melalui skim seperti SkillsFuture.
"Mereka tanya kenapa tidak ada inisiatif kemahiran yang baru dalam Belanjawan kali ini. Adakah ini bermakna sudah tidak diprihatinkan? Bukan, memang kita teruskan semua yang ada SkillsFuture. Baguslah, dulu tak ada orang nak gunakan. Sekarang mereka sudah tanya nak lagi tokokan, saya rasa itu sangat positif," tambahnya.
PENINGKATAN KEMAHIRAN PERLU INKLUSIF
Selain itu, sebahagian peserta bertanya tentang sokongan bagi warga emas dan golongan kurang upaya.
Mnegulas, Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol Sharael Taha berkata peserta boleh memanfaatkan skim-skim seperti 'Geran Rekaan Semula Pekerjaan'.
"Belanjawan ini ada banyak skim untuk membantu warga emas mendapat pekerjaan, orang kurang upaya dan juga pekerja sambilan untuk mendapat pekerjaan. Sambil kita meningkatkan kemahiran pekerja, kita juga tidak boleh lupa bahawa peningkatan ini perlulah menjadi peningkatan yang inklusif," kata Encik Sharael.
Program baru seperti Penyepadu Pekerjaan dan kemahiran pula membolehkan orang tengah bekerjasama dengan industri, latihan dan pihak pengambilan pekerja, sekali gus memanfaatkan kedua-dua, pekerja dan perniagaan, kata Encik Sharael sambil mengalu-alukan masyarakat untuk merebut peluang tersebut.
"Jadi saya menggalakkan masyarakat kita dan juga ibu-ibu yang mahu kembali bekerja mengambil kesempatan yang diberikan oleh skim skim ini," tambahnya.
PERANAN PEMIMPIN MASYARAKAT
Selain cabaran yang dihadapi masyarakat Melayu/Islam, Encik Masagos mengetengahkan soal peluang pekerjaan dan meningkatkan kemahiran yang boleh direbut sedang ekonomi negara menjalani transformasi.
Para peserta yang ditemui BERITAmediacorp menyambut baik perkongsian dan penjelasan daripada anggota panelis.
"Belanjawan 2023 ini merupakan isyarat yang institusi keluarga itu penting. Itu betul-betul dapat disaksikan daripada jawapan-jawapan," kata Pengerusi, M³ @ Pasir Ris-Punggol, Encik Azuan Tan.
Beliau turut menekankan peranan penting yang dimainkan pemimpin masyarakat seperti beliau dalam menerangkan skim-skim Belanjawan kepada penduduk.
"Sebagai pemimpin masyarakat, peranan kita ialah untuk menolong masyarakat untuk lebih memahami bagaimana untuk memanfaatkan Belanjawan ini dan cara mendapatkan bantuan jika perlu."
Pandangan serupa dikongsi Muhammad Imran Mean, seorang pemimpin muda dari IM Volunteers SG.
"Dengan Belanjawan yang dibentangkan, dengan segala pertolongan, pakej-pakej bantuan yang diberikan oleh pemerintah, saya berharap dapat meringankan beban keluarga, saya sendiri dan belia rakan-rakan sebaya saya," katanya.
Pelajar politeknik itu juga berharap lebih banyak tumpuan boleh diberikan untuk menyokong usaha menangani kesihatan mental bagi pelajar sepertinya.
"Kesihatan mental bukan sahaja satu isi dalam rumah, tetapi pelajar-pelajar semua peringkat umur. Jadi saya rasa Belanjawan boleh bentangkan lebih usaha mengenai isu-isu kesihatan mental dan kesejahteraan pelajar di Singapura," ujarnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.