Isu pengunduran peruncit elektrik, keadaan COVID-19 bakal dibahas di Parlimen
Isu sekitar suspek dadah 17 tahun yang maut, kejadian di dormitori Westlite Jalan Tukang serta kesejahteraan kakitangan jagaan kesihatan turut dibincang di Parlimen Isnin ini (1 Nov).
Dewan Parlimen pada 4 Okt 2021. (Petikan skrin: CNA)
SINGAPURA: Keadaan COVID-19 sekarang ini serta pengunduran peruncit tenaga elektrik baru-baru ini dari pasaran Singapura akan dibincangkan apabila Parlimen bersidang pada Isnin (1 Nov).
Anggota Parlimen (AP) mengemukakan pelbagai soalan berkaitan pengunduran peruncit tenaga elektrik di Singapura, merangkumi pengguna yang terjejas, kesan krisis tenaga ke atas negara, hingga ke harga elektrik.
AP Liang Eng Hwa (PAP-Bukit Panjang) mengajukan soalan mengenai keadaan pasaran runcit elektrik di Singapura sekarang ini, kesannya terhadap pengguna dan perniagaan serta bagaimana tenaga elektrik boleh terus dalam kemampuan mereka.
AP Poh Li San (PAP-Sembawang) ingin tahu sama ada bantuan tambahan akan dihulurkan kepada keluarga berpendapatan rendah untuk menangani harga elektrik yang meningkat dan apakah kesan kekurangan bekalan tenaga di China dan India ke atas harga di Singapura.
AP Murali Pillai (PAP-Bukit Batok) bertanya kepada Menteri Perdagangan dan Perusahaan tentang langkah-langkah yang akan diambil untuk mengekalkan pasaran elektrik yang berdaya saing di Singapura dan penilaiannya terhadap kemampanan perniagaan peruncit elektrik yang masih ada.
AP Sylvia Lim (WP-Aljunied) juga minta penjelasan dari Menteri MTI mengenai punca turun naik mendadak dalam harga elektrik sejak Julai 2021. Cik Lim juga meminta penilaian MTI berhubung kemampanan Pasaran Elektrik Terbuka untuk isi rumah.
Beberapa AP juga mengemukakan soalan mengenai cuti tahunan pekerja penjagaan kesihatan dan situasi COVID-19 di Singapura.
AP Yip Hon Weng (PAP-Yio Chu Kang) meminta kemas kini mengenai masalah kekurangan tenaga kerja penjagaan kesihatan dan apa yang sedang dilakukan untuk melindungi kesejahteraan mereka.
Isu-isu lain dalam agenda parlimen pada Isnin termasuk keadaan kehidupan di dormitori Westlite Jalan Tukang dan protokol agensi-agensi penguatkuasaanselepas kematian suspek kes dadah berusia 17 tahun.
Menteri Negara Kanan Kesihatan juga akan menyampaikan kemas kini mengenai kapasiti unit jagaan rapi dan hospital, bagi pihak Menteri Kesihatan Ong Ye Kung.
Beberapa rang undang-undang akan dibentangkan, termasuk Rang Undang-Undang Penguasa Kewangan Singapura (Pindaan), Rang Undang-undang Penjara (Pindaan) dan Rang Undang-undang Piagam Wanita (Pindaan).
Antara yang akan dibacakan buat kali kedua ialah Rang Undang-Undang Perlembagaan Republik Singapura (Pindaan) dan Rang Undang-undang Tenaga (Langkah-Langkah Ketahanan dan Pelbagai Pindaan).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.