Isu pemerolehan MPA, lebihan bayaran NEA antara kelemahan dibangkitkan dalam laporan AGO
Ibu pejabat Ketua Audit Negara di Bangunan Penguasa Hasil Mahsul Singapura. (Gambar: CNA/Gaya Chandramohan)
SINGAPURA: Lebihan bayaran oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA)untuk projek TuasOne dan kesilapan dalam menilai tender oleh Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) adalah antara kesilapan yang dikesan oleh Pejabat Ketua Audit Negara (AGO) dalam laporannya pada Selasa (9 Sep).
Audit bagi Tahun Kewangan 2024/2025 meliputi penyata kewangan pemerintah yang menggabungkan akaun kesemua 16 kementerian dan lapan badan negara.
Ia juga mengaudit tiga dana pemerintah, 10 lembaga berkanun, empat syarikat milik pemerintah dan dua akaun lain.
“Ini adalah pengesahan bebas bahawa akaun pemerintah disediakan, dalam semua aspek material, mengikut undang-undang dan bahawa dana awam telah diselia dengan betul,” menurut Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan berasingan.
“Audit tahunan oleh AGO penting untuk mengekalkan kepercayaan awam, akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan dana awam,” katanya lagi.
"Jika terdapat kelemahan, agensi-agensi itu akan menyemak setiap kes dengan teliti untuk mengenal pasti punca dan mengambil tindakan pembetulan dengan segera."
Laporan itu membangkitkan tiga bidang yang perlu diberi lebih perhatian oleh agensi-agensi awam, menurut MOF.
Ini adalah dalam bidang pengurusan kontrak dan pemerolehan, pengurusan pendapatan dan kemungkinan berlaku penyelewengan dalam rekod yang disediakan untuk audit.
Dua puluh lima daripada pemerhatian audit yang lebih penting telah dibangkitkan dalam laporan itu. Ini adalah: audit tematik ke atas geran Penyelidikan & Pengembangan (9), kelemahan dalam pengurusan kontrak dan pemerolehan (7), kelemahan dalam pengurusan operasi (3), luput dalam pengurusan hasil (2), kemungkinan berlaku penyelewengan dalam rekod yang disediakan untuk audit (2), kelemahan dalam pengurusan geran (1), dan kelemahan dalam kawalan IT (1).
Antara agensi dan kementerian yang kelemahannya dibangkitkan dalam laporan AGO ialah MPA, NEA, Kementerian Pendidikan (MOE) dan Pejabat Muflis & Pemegang Amanah Awam (IPTO).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.