Isu pajakan HDB, cukup tabungan untuk bersara antara tumpuan rapat WP
Parti Pekerja (WP) menyatakan Singapura perlu mengadakan perbincangan segera mengenai isu tempoh pajakan HDB kerana ramai rakyat yang bergantung kepada flat mereka untuk membiayai persaraan mereka.
Petikan gambar rancangan Hammer Show oleh Parti Pekerja (WP), yang distrimkan secara langsung pada 4 Jul 2020.
SINGAPURA: Parti Pekerja (WP) menyatakan Singapura perlu mengadakan perbincangan segera mengenai isu tempoh pajakan HDB kerana ramai rakyat yang bergantung kepada flat mereka untuk membiayai persaraan mereka.
Isu itu antara yang dibincangkan calon-calon WP dalam rapat online parti itu secara langsung di Facebook malam ini (4 Jul).
WP juga menggesa lebih banyak projek di bawah Skim Pembangunan Semula Secara Kelompok Terpilih (SERS) dilancarkan dan skim Beli Balik Pajakan
bagi semua jenis flat HDB.
WP pernah menimbulkan isu nilai flat yang dapat dimanfaatkan bagi persaraan di Parlimen.
"Apabila tiba masa mereka ingin menjual flat mereka, masalahnya nilai flat itu jatuh di bawah harga yang mereka beli. Ini adalah masalah yang sangat serius yang harus ditangani segera," kata Encik Yee Jenn Jong, calon WP bagi GRC Aljunied.
"Tahun lalu, Parti Pekerja siapkan kertas kerja menggesa perbincangan lebih lanjut isu itu kerana apa yang dicadangkan oleh pemerintah tidak jelas dan ramai rakyat Singapura yang bergantung pada nilai flat HDB mereka," tambahnya.
Calon-calon juga membincangkan perlunya merapatkan jurang digital sedang Singapura bergerak ke arah menjadi sebuah Negara Bijak.
Pengerusi parti, yang juga calon GRC Aljunied Cik Sylvia Lim berkata ramai warga emas rasa ketinggalan dan kurang yakin diri akibat perubahan kepada sistem pendigitalan.
Mereka juga kata Cik Lim mungkin tidak ada akses kepada internet.
Menyentuh isu yang sama, calon WP bagi GRC East Coast Encik Abdul Shariff Aboo Kassim berkata: "Dalam keadaan ekonomi yang sedang berubah ini, kita dapat melakukan lebih banyak perkara untuk mendorong pekerja yang bersedia bekerja dan meningkatkan kemahiran mereka untuk meneruskan sumbangan mereka tanpa mengira usia."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.