Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Isu LGBT: Sikap sosial yang saksama yang boleh ditunjukkan umat Islam

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Ada perbezaan di antara menggalak gaya hidup homoseksual atau "gay" dengan menolak amalan diskriminasi, penindasan mahupun penderaan terhadap golongan tersebut. 

Menurut Ustaz Dr Muhd Haniff Hassan, asatizah dan Zamil Penyelidik dari Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang (RSIS-NTU), secara umumnya, Islam melarang bekerjasama dalam perkara maksiat dan permusuhan.

Ini termasuklah menggalak gaya hidup homoseksual dan menghadiri acara-acara yang menggalak gaya hidup homoseksual.

"Hukum agama tentang homoseksual ini adalah haram. Maka bekerjasama untuk menggalak gaya hidup ini, hubungan seks sesama jenis dan perkara sesama jenis ini adalah sesuatu perkara yang dilarang juga," jelas Ustaz Haniff. 

Beliau menyampaikan demikian dalam ceramah Islam & Homoseksual: Sikap Saksama Tentang Hubungan Sosial Dalam Konteks Singapura yang diadakan secara online hari ini (30 Januari). 

Ceramah itu diadakan dengan kerjasama pelbagai badan termasuk Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS), PERDAUS dan Masjid Darussalam.  Ceramah tersebut disiarkan menerusi laman Facebook lapan buah masjid tempatan.

Ustaz Dr Muhammad Haniff Hassan (kanan)

MENOLAK PENINDASAN, PENDERAAN TERHADAP GOLONGAN HOMOSEKSUAL 

Bagaimanapun kata Ustaz Dr Haniff, ada pula sebilangan orang yang menolak amalan diskriminasi, penindasan mahupun penderaan terhadap golongan tersebut.

Di sini beliau menekankan ini tidak bermakna mereka menggalak gaya hidup homoseksual. 

"Mereka tetap ada pendirian moral bahawa homoseksual itu adalah haram tapi mereka tidak mahu bersikap toleransi apa jua gangguan dan diskriminasi terhadap golongan ini kerana bagi mereka itu sendiri adalah benda yang salah dan harus dihentikan."

"Jadi kita harus bezakan. Bukan semua orang yang menolak diskriminasi dan gangguan terhadap gay, dia itu menghalalkan cara hidup gay dan kita harus berhati-hati untuk membezakan dua benda itu," jelasnya. 

Namun demikian, beliau mengingatkan bahawa ada garis pemisah yang halus di antara kedua-dua perkara itu. 

Ini kerana ada di kalangan golongan gay yang menggunakan diskriminasi sebagai cara untuk mengesahkan gaya hidup homoseksual. 

Jadi apa yang kita sebagai umat Islam patut lakukan agar tidak terjebak dalam agenda aktivisme gaya hidup gay? 

Ustaz Haniff menggariskan beberapa saranan. Ini termasuk bersikap lebih berhemah dan waspada dengan menjauhi usaha menggalak gaya hidup gay serta menangani masalah diskriminasi melalui wadah tersendiri dan bukan dengan para aktivis yang menyokong gaya hidup homoseksual. 

SIKAP SAKSAMA DALAM HUBUNGAN SOSIAL DENGAN INDIVIDU HOMOSEKSUAL 

Selain menerangkan tentang sikap kita terhadap pergerakan menggalak gaya hidup gay, ceramah tersebut juga menyentuh tentang sikap yang harus dipamerkan umat Islam terhadap individu gay itu sendiri. 

Menurut Ustaz Haniff, hukum agama dan sikap sosial adalah dua perkara yang berbeza. 

Menetapkan hukum haram bagi amalan homoseksual dan gaya hidup gay adalah pendirian agama. 

"Dalam Islam, isunya bukan hanya soal mengharamkan sesuatu perbuatan. Tetapi setelah kita mengharamkannya, bagaimana kita tangani individu berkenaan. Itu pun penting dalam Islam. 

"Jadi kita tak nak orang hanya mempunyai perspektif sebahagian sahaja dari sudut agama, haram. Tetapi interaksi sosial, kita sendiri tidak patuh dari sudut ketentuan agama iaitu dengan berinteraksi dengan golongan homoseksual sendiri, dengan cara-cara yang Islam sendiri tidak benarkan," jelasnya. 

Beliau menggariskan beberapa sikap sosial yang saksama yang boleh ditunjukkan umat Islam terhadap golongan homoseksual. 

Pertama, adalah dengan tidak mendiskriminasi atau meminggirkan individu yang berkecenderungan homoseksual. 

Kedua, kita tidak seharusnya mempunyai sikap menghukum mereka telah berbuat dosa. 

"Apa yang mereka lakukan mungkin berdosa, tapi Allah S.W.T. menghisab hambanya secara menyeluruh, bukan hanya pada maksiat yang dilakukan kerana mungkin dia ada buat maksiat, kerana semua hamba Allah S.W.T. ada buat maksiat. Tetapi pada waktu yang sama dia juga ada juga buat amal-amal soleh yang Allah juga akan menghisab mereka dan tidak mustahil kalau amal solehnya itu melebihi maksiat yang dia lakukan," kata Ustaz Haniff. 

Ketiga, adalah mempunyai prinsip berdakwah dengan hikmah dan mengubah seseorang itu secara bertahap-tahap. 

"Kita memang hendak seseorang itu berubah. Kita memang hendak mencegah kemungkaran. Tapi untuk menghentikan kemungkaran itu sendiri, haruslah dilakukan dengan secara bertahap-tahap. Tidak boleh jangkakan orang itu cakap sekali sahaja, terus nak dengar. Bahkan harus kita bagi dia peluang, tunjuk jalan secara bertahap-tahap," kata beliau. 

Keempat, berfikiran bahawa sebilangan golongan gay terjebak dalam keadaan homoseksual adalah kerana persekitarannya dan bukan atas pilihannya sendiri.

Pada dasarnya, Ustaz Haniff mengingatkan sebagai umat Islam, kita tidak boleh dengan mudah menghukum seseorang itu kerana tidak tahu akan kebaikan yang telah beliau lakukan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa