Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Isu LGBT: PERGAS bentuk Pasukan Bertindak, dialog dengan LGBT Muslim

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS) akan membentuk satu Pasukan Bertindak berhubung isu LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) di Singapura.

Dialog dengan masyarakat LGBT yang beragama Islam juga akan dijalankan. 

Yang pasti, "LGBT akan menjadi salah satu daripada isu-isu" yang mahu didekati PERGAS tahun ini.

Semua ini merupakan sebahagian daripada pelan bertindak dan komitmen yang dilakarkan badan itu untuk tahun 2022 ini, demi membantu masyarakat Islam Singapura menghadapi dan menangani isu LGBT di Singapura.

'MENANGANI & MENGURUSKAN ISU LGBT DI S'PURA'

PERGAS mendedahkan demikian menerusi laman media sosialnya di Facebook dan Instagram pada 4 Januari 2022. Dalam catatan tersebut yang berjudul 'Garis Masa: Menangani dan Menguruskan Isu LGBT di Singapura'.

(Gambar: Pergas - Singapore Islamic Scholars & Religious Teachers Association/Facebook) 

Menurut PERGAS dalam catatan tersebut:

"Pelan strategik PERGAS termasuk merancang, mengarahkan dan menawarkan panduan keagamaan bagi menangani isu-isu semasa. Antara isu-isu yang menjadi keprihatinan adalah trend-trend budaya berkait dengan pergerakan LGBT dan bagaimana cara terbaik untuk menanganinya di kalangan keluarga-keluarga Muslim di Singapura."

Persatuan asatizah itu juga berharap bahawa pelan itu akan "membantu dan membimbing masyarakat Islam Singapura dalam menghadapi dan menangani cabaran ini secara bersama".

4 DIALOG MENGENAI LGBT DIADAKAN PADA 2021

Menurut PERGAS lagi ia sudahpun mengadakan dua sesi Perbincangan Kumpulan Fokus (FGD) dengan masyarakat LGBT beragama Islam pada tahun 2021, serta aktivis yang bekerja rapat dengan mereka.

(Gambar: Pergas - Singapore Islamic Scholars & Religious Teachers Association/Facebook) 

Selain itu PERGAS juga melakukan satu dialog privet dengan masyarakat LGBT Muslim pada tahun lalu.

Pada 2021 juga, PERGAS turut mengumpulkan pakar-pakar dalam pelbagai bidang termasuk asatizah, karyawan, ahli akademik dan para pengkaji dalam satu persidangan dipanggil Muktamar Ulama. 

Perbincangan-perbincangan yang diadakan bertujuan mencari saranan-saranan lanjut, sambil mengambil kira satu kajian mengenai trend-trend budaya sokongan dan penerimaan LGBT yang dikeluarkan Institut Kajian Dasar (IPS), bahan-bahan dari perbincangan-perbincangan meja bundar, serta dapatan-dapatan lain daripada sesi-sesi FGD dengan masyarakat LGBT.

PENYEDIAAN PANDUAN KEAGAMAAN YANG KOMPREHENSIF 

Pelan bertindak dan komitmen itu dibahagikan kepada dua - "Penyediaan Panduan Keagamaan Komprehensif", dan "Penyebaran dan Pendidikan". 

(Gambar: Pergas - Singapore Islamic Scholars & Religious Teachers Association/Facebook) 

Di bawah "Penyediaan Panduan Keagamaan Komprehensif", PERGAS membutirkan empat pelan tindakan dan komitmen bagi isu LGBT, iaitu:

-- Pembentukan sebuah Pasukan Bertindak

-- Mengadakan dialog dengan masyarakat LGBT yang beragama Islam

-- Mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan para pemegang taruhan seperti institusi keagamaan, institusi pendidikan Islam dan badan sosial

-- Menawarkan panduan agama berdasarkan dapatan-dapatan yang dikumpulkan.

PENYEBARAN & PENDIDIKAN

(Gambar: Pergas - Singapore Islamic Scholars & Religious Teachers Association/Facebook) 

Di bawah pelan "Penyebaran dan Pendidikan" pula, empat tindakan dan komitmen disenaraikan. Iaitu:

-- Mewujudkan pelan komunikasi untuk menangani isu-isu LGBT di pelbagai peringkat

-- Membina kepakaran asatizah menerusi kaunseling dan pendekatan terbaik dalam membantu masyarakat LGBT dan keluarga mereka

-- Menawarkan sebuah wadah bagi asatizah untuk menyumbang dan memberi nasihat menerusi 'Asatizah Solace Care' (Jagaan Tenang Asatizah) yang ditubuhkan PERGAS

-- Membincangkan garis panduan dalam menangani isu-isu LGBT menerusi program-program pendidikan. 

PENDIRIAN PERGAS PADA MASA LALU MENGENAI ISU LGBT

Pelan bertindak dan pelan strategik PERGAS itu merupakan yang paling komprehensif pernah dilakukan dan didedahkannya sejauh ini.

Pada 2014, PERGAS pernah mengeluarkan panduan agama mengenai penyertaan Muslim dalam acara-acara yang menggalakkan perbuatan tidak bermoral.

Pada 2018 pula PERGAS mengeluarkan kenyataan media untuk menegaskan bahawa ia tidak menyokong usul pemansuhan Seksyen 377A Akta Kanun Keseksaan.

Semasa menolak pemansuhan Seksyen 377A itu PERGAS menegaskan pendirian itu diambil "bukan sahaja berdasarkan pandangan agama, tetapi juga atas dasar keprihatinan moral dan sosial". 

PERDAUS ANJUR FORUM GENDER *& SEKSUALITI 

Dalam pada itu, sebuah lagi badan Islam iaitu Perdaus juga merancang sebuah forum mengenai gender dan seksualiti.

Bertajuk 'Gender dan Seksualiti: Panduan bagi Ibu Bapa yang Prihatin', forum menerusi Zoom itu akan diadakan pada 28 Januari ini. Penceramahnya ialah Encik Mohd Khair Mohd Noor, seorang konsultan perkahwinan dan keluarga dari firma SuChi Success Initiatives. 

Menurut Perdaus, sesi itu menyasarkan para ibu bapa dan mengupas takrifan seksualiti serta "pelbagai interpretasi mengenai gender dan manifestasinya".

Badan itu menambah, topik gender dan seksualiti mendapat perhatian masyarakat Melayu/Islam baru-baru ini dan ia berharap sesi itu dapat memberi ibu bapa sedikit kejelasan dan kesedaran.

Sesi tersebut akan dijalankan secara percuma.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan