Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Isu Laut China Selatan tidak mudah dihuraikan, rundingan kod tatalaku akan ambil masa: PM Lee

Anggaran Waktu Membaca:
Isu Laut China Selatan tidak mudah dihuraikan, rundingan kod tatalaku akan ambil masa: PM Lee

(Gambar: Arsineh Houspian/ASEAN-Australia Special Summit 2024/AFP)

SINGAPURA: Rundingan antara China dengan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) bagi menghasilkan kod tatalaku di Laut China Selatan akan mengambil masa kerana adanya sudut pandangan nasional yang berbeza mengenainya.

Demikian menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Selasa (5 Mac).

"Isu tersebut tidak mudah dihuraikan dan rundingan bagi menghasilkan kod tatalaku, tidak dapat tidak, akan menimbulkan isu tentang hasilnya," kata Encik Lee di sidang media bersama Perdana Menteri Australia Anthony Albanese.

"Disebabkan jawapan yang agak sukar, rundingan kod tatalaku, juga akan mengambil masa yang agak lama."

Encik Lee berada di Melbourne untuk menghadiri Mesyuarat Tahunan Pemimpin Singapura-Australia Ke-9 dan Sidang Puncak Khas ASEAN-Australia.

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, mengenepikan tuntutan lain daripada sejumlah negara Asia Tenggara.

Sejak kebelakangan ini, hubungan antara Filipina dan China semakin tegang, dengan Manila menuduh pengawal pantai China cuba menyekat sebuah kapal pemerintah.

Encik Lee berkata negara-negara ASEAN berkongsi pendirian yang sama mengenai isu Laut China Selatan, namun mereka mempunyai perspektif nasional yang berbeza.

Meskipun Singapura tidak menuntut perairan yang dipertikaikan itu, ia mempunyai minat dalam kebebasan navigasi dan pelaksanaan undang-undang antarabangsa, kerana Laut China Selatan merupakan "laluan penting bagi perdagangan antarabangsa", tambah Encik Lee.

Encik Albanese berkata Australia adalah penyokong kuat undang-undang kelautan, dan menekankan bahawa kebebasan pelayaran di Laut China Selatan adalah penting.

PERJANJIAN DAGANGAN BEBAS

Encik Lee dan Encik Albanese juga mengulas tentang sama ada China patut dibenarkan menyertai Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP), disebabkan sekatan perdagangan yang dikenakan ke atas beberapa produk Australia.
HUBUNGAN SINGAPURA-AUSTRALIA

Dalam pertemuan mereka sebelumnya, kedua-dua pemimpin mengesahkan hubungan dua hala yang cemerlang, menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan media.

Encik Lee dan Encik Albanese juga menarik perhatian kemajuan dalam kerjasama dua hala merentasi semua enam tunggak Kerjasama Strategik Menyeluruh (CSP) Singapura-Australia, iaitu Ekonomi dan Perdagangan, Pertahanan dan Ehwal Luar, Sains dan Inovasi, Hubungan Rakyat, Ekonomi Digital dan Ekonomi Hijau.

Kerjasama pertahanan antara Singapura dan Australia merupakan bahagian penting CSP, kata Encik Lee. Beliau menarik perhatian bahawa Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) menjalankan latihan di Shoalwater Bay di Queensland.

Kedua-dua pemimpin juga mengalu-alukan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) untuk mempercepatkan usaha mengurangkan pelepasan karbon dan pendigitalan maritim.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan