Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Isu kesihatan mental tidak boleh dipersalahkan atas pembunuhan beramai-ramai, kata Shanmugam

 Isu-isu kesihatan mental tidak harus dipersalahkan atas pembunuhan beramai-ramai yang kian meningkat di Amerika Syarikat, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam dalam satu catatan Facebook semalam (18 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Isu kesihatan mental tidak boleh dipersalahkan atas pembunuhan beramai-ramai, kata Shanmugam

Gambar: Rhona Wise

Diterbitkan : 19 Feb 2018 08:13AM Dikemas Kini : 19 Feb 2018 08:16AM

SINGAPURA: Isu-isu kesihatan mental tidak harus dipersalahkan atas pembunuhan beramai-ramai yang kian meningkat di Amerika Syarikat, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam dalam satu catatan Facebook semalam (18 Feb).

Amerika Syarikat adalah “sebuah negara maju yang tidak dapat melindungi orang yang paling tidak bersalah iaitu kanak-kanak kecil di sekolah,” katanya.

“Tidak wajar untuk menuding jari ke arah isu kesihatan mental. Terdapat individu-individu yang mengalami isu kesihatan mental di setiap negara termasuk Singapura. Amerika bukanlah satu-satunya negara yang mempunyai rakyat yang mengalami isu sedemikian.”

Encik Shanmugam berkata demikian beberapa hari setelah 17 orang di sebuah sekolah tinggi di Florida terbunuh dalam satu insiden tembakan yang paling dahsyat pernah berlaku di sesebuah sekolah tinggi di Amerika Syarikat. Menurut laporan, penembak itu, Nikolas Cruz, 19 tahun, menggunakan senapang dalam serangan itu.

Sejak awal tahun ini, lapan insiden tembakan di sekolah dan sekurang-kurangnya 30 pembunuhan secara beramai-ramai sudahpun berlaku di Amerika dalam tempoh tujuh minggu, tambahnya.

Anggota Parlimen GRC Nee Soon itu berkata beliau pernah menemui mereka yang mengalami gangguan mental di sesi-sesi bertemu penduduk di mana mereka “berasa sangat marah dan mahu membelasah seseorang”.

“Sekiranya mereka mempunyai akses kepada senapang yang boleh membunuh berpuluh-puluh orang dalam seminit, bayangkan apa yang boleh berlaku,” kata Encik Shanmugam.

Walaupun kebanyakan rakyat Amerika mahukan kawalan terhadap penggunaan senjata api, Encik Shanmugam berkata, kumpulan pelobi bagi mereka yang inginkan akses bebas kepada senjata api menyalurkan dana kepada sesetengah anggota Kongres dan beberapa orang yang berpengaruh di Amerika Syarikat.

Encik Shanmugam berkata: “Mereka boleh menghalang sebarang penggubalan undang-undang yang bertujuan untuk mengawal pembelian senjata api.”

“Ia membingungkan saya apabila orang ramai dibenarkan membeli senjata api secara bebas dalam sekitaran bandar.” 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan