Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Isu keselamatan lemah' pada banyak alat IoT satu keprihatinan, kata agensi keselamatan siber

Berikutan beberapa laporan media bahawa kamera keselamatan rumah dipercayai digodam, Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) pada Selasa (13 Okt) menyuarakan keprihatinannya terhadap "peruntukan keselamatan lemah" pada banyak alat Internet Kebendaan (Internet-of-things atau IoT).

Anggaran Waktu Membaca:
'Isu keselamatan lemah' pada banyak alat IoT satu keprihatinan, kata agensi keselamatan siber

(Gambar: Corinne Kutz/Unsplash)

Diterbitkan : 14 Oct 2020 10:06AM Dikemas Kini : 14 Oct 2020 10:14AM

SINGAPURA: Berikutan beberapa laporan media bahawa kamera protokol internet (IP) bagi keselamatan rumah dipercayai digodam, Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) pada Selasa (13 Okt) menyuarakan keprihatinannya terhadap "peruntukan keselamatan lemah" pada banyak alat Internet Kebendaan (Internet-of-things atau IoT).

Menjawab pertanyaan media, CSA menasihati para pengguna untuk melaksanakan amalan keselamatan siber yang baik, "seperti mengubah kata laluan tetap alat-alat ini kepada yang lebih kuat".

Apabila tidak digunakan, pengguna juga patut melucutkan sambungan kamera IP mereka dan tontonan rakaman kamera dari jarak jauh melalui Internet, tambahnya.

Satu laporan pada Isnin mendedahkan sebuah kumpulan penggodam telah mengakses 50,000 kamera keselamatan rumah IP dan memuat naik sebahagian daripadanya di laman web pornografi.

Mediacorp telah mengemukakan pertanyaan kepada CSA dan polis sama ada mereka telah menerima sebarang laporan daripada mangsa-mangsa di sini.

Polis menekankan bahawa perbuatan "menghantar secara elektronik sebarang bahan lucah, mengambil bahagian atau meraih keuntungan dari sebarang perniagaan yang mana bahan lucah dikirim dengan cara elektronik, atau mengiklankan penjualan bahan lucah" adalah salah di sisi undang-undang.

Polis menambah: "Orang ramai boleh membuat laporan polis jika mereka tahu ada orang-orang yang terlibat dalam kegiatan sedemikian".

NASIHAT PAKAR KESELAMATAN SIBER

Para pakar keselamatan siber juga mengingatkan pemilik rumah yang ingin memasang kamera IP untuk mengambil langkah berjaga-jaga tambahan.

Encik Lim Yihao, penganalisis utama di Mandiant Threat Intelligence, berkata antara sebab kamera keselamatan IP boleh digodam dengan mudah adalah pemilik menggunakan kata laluan lemah atau tetap untuk penghala (router) rangkaian WiFi rumah dan kamera keselamatan mereka, dan tidak mengemas kini perisian kamera.

Pakar keselamatan siber Terence Siau mengambil perhatian bahawa alat penggodam boleh dimuat turun dengan mudah di internet.

"Pengguna patut menukar kata laluan mereka setiap 60 hingga 90 hari, dan jika anda tidak menggunakan alat itu, tutup saja untuk mengurangkan risiko serangan sedemikan daripada berlaku," kata ketua eksekutif Tindo itu.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan