Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Isu kemurungan dan rasa resah jejas daya penghasilan; libatkan kerugian S$16 bilion setahun,menurut kajian IMH, Duke-NUS

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Isu kemurungan dan rasa resah mungkin menyebabkan Singapura menanggung kos hampir S$16 bilion setahun, atau sekitar 2.9 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP).

Ia sekali gus menunjukkan bahawa lebih banyak perlu dilakukan untuk membantu mereka yang mengalami masalah tersebut.

Dapatan itu berdasarkan satu kajian bersama oleh penyelidik dari Sekolah Perubatan Duke-NUS dan Institut Kesihatan Mental (IMH) yang menerbitkan dapatan mereka dalam jurnal perubatan BMS Psychiatry pada 14 Februari lalu.

Dalam satu kenyataan media pada Rabu (26 Apr), Duke-NUS menyatakan tinjauan itu dilakukan secara online antara April dengan Jun tahun lalu, dan melibatkan 5,725 dewasa.

Untuk mengukur beban ekonomi daripada gejala kemurungan dan keresahan, kertas kajian itu menyatakan satu tinjauan online dijalankan dalam bahasa Inggeris bagi rakyat Singapura yang merupakan anggota panel laman web negara.

Mereka dipilih oleh syarikat perunding global Kantar Profiles.

Panel itu mempunyai lebih 500,000 anggota dan mewakili pelbagai kumpulan sosio-ekonomi, jantina dan kaum di Singapura.

Menurut para pengkaji, kajian itu adalah yang pertama seumpamanya dijalankan selepas pandemik COVID-19 bagi menganggarkan kewujudan dan beban kedua-dua masalah mental itu terhadap ekonomi dalam kalangan golongan dewasa setempat.

DAPATAN TINJAUAN

Tinjauan itu mendapati:

14 peratus responden mempunyai gejala kemurungan

15 peratus, termasuk mereka yang mengalami kemurungan, mempunyai gejala serupa dengan keresahan

Di antara mereka yang dikenalpasti mengalami keadaan tersebut:

32 peratus berkata mereka mendapatkan rawatan

24 peratus berjumpa dengan penyedia khidmat kesihatan mental

Duke-NUS menyatakan 13 peratus daripada mereka yang mengalami keadaan mental tersebut, telah pergi ke jabatan kecemasan sekurang-kurangnya

9 peratus pula dimasukkan ke hospital.

Ini bermakna kos penjagaan kesihatan naik sebanyak purata S$1,050 setahun bagi individu-individu berkenaan, tambah Duke-NUS.

Dapatan lain menunjukkan bahawa dalam kalangan responden yang terjejas:

Mereka tidak datang kerja sebanyak 17.7 hari setahun, iaitu nilainya berjumlah S$4,980 bagi setiap pekerja.

Mereka juga 40 peratus kurang produktif di tempat kerja, yang bersamaan dengan kerugian dari segi ekonomi sebanyak S$28,720 setahun.

Disebabkan itu, keseluruhan nilai produktiviti yang hilang akibat keresahan dan kemurungunan di Singapura adalah S$15.7 bilion setahun.

Duke-NUS menyatakan jumlah itu sama dengan dapatan kajian di peringkat global.

BANTU MEREKA DIDIAGNOSIS DAPATKAN RAWATAN

Mengulas tentang bilangan orang yang mengalami gejala kesihatan mental, Professor Eric Finkelstein, salah seorang pengarang penyelidikan itu, berkata hasil tinjauan itu membimbangkan kerana ia mencadangkan bahawa individu-individu tersebut tidak mendapat manfaat daripada rawatan yang berkesan.

Seorang lagi pengarang bersama, Profesor Madya Daniel Fung, memberi saranan bagaimana masyarakat boleh bergerak selepas ini seperti meningkatkan usaha untuk menggalak kes yang tidak didiagnosis supaya mendapatkan rawatan, serta meluaskan akses kepada program sokongan rakan sebaya.

Profesor Madya Fung, yang juga ketua pegawai eksekutif IMH, turut bercakap tentang usaha meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental, serta menyediakan lebih banyak latihan bagi pengamal kesihatan am dan profesional untuk memberi diagnosis dan merawat gejala kesihatan mental.

TINJAUAN TERBATAS

Para penyelidik mengaku bahawa penerbitan mereka terbatas kerana bergantung bergantung kepada panel online untuk mengumpul data.

Walaupun ia mewakili demografi luas Singapura, penyelidik itu berkata mereka "tidak boleh jamin" bahawa sampel responden yang mengalami gejala kemurungan dan keresahan diwakili semuanya.

Ini kerana ia bergantung kepada kesanggupan peserta untuk megambil bahagian dalam tinjauan itu.

Satu lagi kekurangan melibatkan versi tinjauan pesakit lebih mudah yang digunakan. Ini bermakna ia tidak dapat mengenalpasti semua pesakit yang mengalami kemurungan dan rasa resah.

Kajian itu juga terbatas dari segi membuat anggaran yang lebih tinggi berhubung kesan ketidakhadiran di tempat kerja ke atas ekonomi.
 
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan